Sikap romantis antara suami isteri penting sebagai pengikat pada kemanisan rumah tangga. Selain bermanja dengan pasangan, kalimat ‘perencah’ bahagia juga boleh menjadikan hubungan tambah lebih bererti.
Jadi, suami isteri jangan lokek untuk mengungkapkannya kepada pasangan. Percayalah, jika anda berdua rajin menyebut kalimat-kalimat manis ini pastinya hari-hari yang dilalui akan lebih ceria dan bersemangat. Malah menjadikan rumah tangga lebih romantis.
AKU CINTA PADAMU
Kalimat agung yang menggambarkan cinta anda kepada pasangan ini jangan sesekali lupa untuk diluahkan kepada pasangan. Tidak dinafikan ramai pasangan yang telah berkahwin mengambil remeh tentang kalimat ini kerana beranggapan anda telah memiliki pasangan anda itu. Namun percayalah, kalimat ini boleh mengimbas kembali memori indah saat anda dan pasangan bercinta dahulu sekali gus membuatkan hati pasangan anda ceria.
SAYA BAHAGIA MENJADI ISTERIMU/SUAMIMU
Memang anda berdua hidup bahagia. Namun belajarlah untuk memberitahu pasangan bahawa anda sememangnya bahagia menjadi pasangannya walaupun pasangan anda itu mengetahuinya. Kalimat ini sebagai tanda yang anda bersyukur dan berbangga memilikinya sebagai pasangan hidup.
TERIMA KASIH ABANG/SAYANG
Kalimat ini besar peranannya kerana ia membuatkan anda berdua rasa lebih bersyukur dengan segala nikmat yang dimiliki tanpa perlu mengeluh. Pastikan luahan ini diungkapkan selalu bagi membuktikan yang anda menghargai apa jua yang telah pasangan lakukan walaupun kerja yang dilakukannya mudah dan kecil.
CERITAKAN BAGAIMANA HARIMU
Setelah dari pagi anda berdua berpisah kerana masing-masing menuju ke tempat kerja, apa kata pulang dari tempat kerja anda tanyakan kepada pasangan tentang aktiviti yang dilakukannya sepanjang hari. Bukan ingin menyibuk hal yang remeh-temeh namun perkongsian ini boleh memberi kelegaan dalam diri pasangan jika ada perkara yang merunsingkannya ketika di pejabat siang tadi sekali gus membuktikan yang anda peduli terhadapnya.
AWAK SANGAT CANTIK/HENSEM
Jangan berat mulut atau rasa malu untuk memuji pasangan anda dengan kalimat ini. Apabila anda meluahkan kalimat ini, pasangan anda akan sedar bahawa anda sentiasa memberi perhatian terhadap dirinya. Malah pujian ini akan memberi keyakinan dan motivasi kepada pasangan yang anda menerima diri dia seadanya tanpa perlu mengubah menjadi orang lain. Janganlah hanya memuji pasangan ketika dia kelihatan cantik dan rapi sahaja, sebaliknya pujilah pasangan setiap masa walaupun dia baru bangun tidur.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI