5 CARA MENAMBAH REZEKI & KEBERKATAN DALAM RUMAH TANGGA
Berikut adalah beberapa cara menambah rezeki yang dianjurkan dalam al-Quran dan sunnah.
1. MULA DARI SUMBERNYA
Jika kita sentiasa berasa ‘kurang’ walaupun gaji dah banyak, periksa semula sumbernya. Adakah ia termasuk dengan sumber syubhah atau riba? Allah telah menerangkan larangan memakan riba ini kerana ia adalah perbuatan menganiaya hak orang lain. Mungkin itu sebabnya rezeki terasa sempit atau walaupun kuantitinya banyak.
Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba (dengan berlipat ganda) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.
(Surah Al-Imran: 130)
Di samping itu, jangan memandang remeh soal zakat sehingga lupa menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang yang berhak terhadapnya.
2. MENJAGA HUBUNGAN KEKELUARGAAN DAN SESAMA MANUSIA
Walaupun sibuk bekerja siang dan malam, luangkanlah masa untuk berkasih sayang dengan pasangan dan anak-anak. Gembirakanlah mereka walaupun kita berada dalam keletihan. Jangan sampai tak ada masa menjenguk atau bertanya khabar kepada ayah, ibu, mertua, saudara-mara, dan jiran-tetangga.
Percayalah, tidak rugi kita bersilaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia kerana dalam sebuah hadis telah menyebutkan:
“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
3. BERSEDEKAH
Begitu banyak kelebihan sedekah yang sering kita dengar, sama ada dari sudut Islam mahupun psikologi. Menurut kajian, perbuatan memberi atau menyumbangkan harta, masa, tenaga, dan sebagainya kepada orang lain yang memerlukannya telah terbukti memberi manfaat besar terhadap manusia dari segi kesihatan mahupun emosi.
Dari Amru bin Auf ra katanya Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah swt pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. MELAZIMI AL-QURAN
Allah menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Ia adalah ayat-ayat dari Allah dan mukjizat yang teragung. Maka, rugilah jika kita tidak berusaha memahami isinya dan membaca ayatNya. Bacalah al-Quran setiap hari dan ajarkannya kepada anak-anak seawal usia.
Seseungguhnya, rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya akan dipenuhi dengan berkat.
Firman Allah:
“Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan…”
(Surah al-An’am: 92)
5. SOLAT DHUHA
Dalam sibuk memfokuskan pada kerja-kerja seharian di pejabat, menjaga anak di rumah, menyediakan makanan tengahari, terdapat satu rahsia dalam membantu anda mencapai keberkatan di dalamnya, iaitu dengan mengerjakan solat dhuha.
Terdapat banyak kelebihan luar biasa bagi solat sunat dhuha yang disebutkan dalam hadis.
Memetik salah satu daripadanya, Allah berfirman:
يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِى مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِى أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ
“Wahai anak Adam, janganlah engkau luput dari empat rakaat di awal harimu (solat dhuha), nescaya Aku cukupkan untukmu di sepanjang hari itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)