Mendirikan rumahtangga pastinya perkara yang diidamkan semua orang lebih-lebih jika mereka ini akan memanjangkan keturunan dan melahirkan zuriat sendiri.
Ada pasangan yang lambat dikurniakan anak namun ada juga yang ditakdirkan untuk memiliki anak sejurus selepas mereka bernikah.
Dan ini bermakna, pasangan pengantin baru ini hanya akan mempunyai tempoh 9 bulan untuk ‘berbulan madu’ sebelum tibanya kehadiran anak di dalam kehidupan mereka.
Secara tidak langsung, ianya turut memendekkan tempoh anda dalam mengenali pasangan dengan lebih mendalam kerana pastinya kehidupan anda akan bertukar secara 360 darjah apabila anda mempunyai anak.
Perubahan Isteri Selepas Ada Anak
Dan antara salah satu isu yang sering diutarakan oleh para suami adalah tentang perubahan sikap yang dialami isteri mereka setelah mereka mempunyai anak.
Malah keperluan si suami juga sudah seperti tidak mampu diuruskan dengan baik kerana si isteri lebih mengutamakan anak-anak dari diri mereka.
Dimanakah silapnya?
Adakah salah si isteri semata-mata, ataupun ada perkara yang para suami sering terlepas pandang sehingga membuat si isteri berubah sebegitu rupa?
Dan adakalanya masalah-masalah seperti ini membawa kepada penceraian kerana masing-masing saling tidak mengambil peduli dan melihat isu ini sebagai sesuatu isu yang serius di dalam rumahtangga.
Perubahan Wanita Sangat Kompleks
Sebagai seorang wanita, pelbagai perubahan yang akan dilalui mereka sejak dari awal perkahwinan sehinggalah mereka meningkat usia.
Selepas berkahwin, tanggungjawab dan tugasan mereka bertambah. Dari hanya perlu menguruskan diri sendiri, kini turut perlu menjaga makan pakai si suami, malah rumah juga perlu dijaga rapi agar kekal bersih dan selesa untuk di didiami.
Jika dikurniakan suami yang ringan tulang tidak mengapa, namun jika suami hanya pandai mengarah sahaja memang berat untuk si isteri melakukan semuanya seorang diri.
Belum lagi aspek penjagaan anak, terlalu banyak kisah-kisah sedih yang dikongsi para isteri tentang sikap suami mereka yang sering lepas tangan dalam bab tanggungjawab terhadap anak-anak.
Sampaikan ada suami yang kencing berak anak-anak pun tidak pernah dicebukkan.
Dan ini adalah realiti kehidupan rata-rata para isteri di zaman moden ini, mungkin ianya sama sahaja seperti zaman dahulu cuma bezanya isteri-isteri sekarang mempunyai medium digital dan atas talian untuk meluahkan rasa hati mereka dan berkongsi pendapat dengan isteri-isteri lain.
Wahai Suami, Fahamilah Isteri Anda
Bukan mudah untuk membina persefahaman antara suami dan isteri lebih-lebih lagi apabila permikiran kedua-dua individu begitu berbeza dari pelbagai aspek.
Namun perbezaan tersebutlah yang perlu dirai dan dihargai oleh kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam urusan menguruskan rumahtangga.
Keharmonian rumahtangga hanya dapat disemai jika kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing dan saling bertolak ansur dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Namun ramai lelaki yang begitu ego untuk melakukan tugas-tugas dirumah kerana mengganggap itu semua adalah kerja wanita dan mereka tidak sepatutnya disuruh melakukan kerja-kerja tersebut.
Sedangkan, mana-mana agama di dunia mengajar suami untuk berbuat baik kepada isteri dan saling tolong-menolong.
Bila sebelah pihak hanya pandai melepas tangan, pastinya akan menimbulkan rasa tidak puas hati bagi pihak yang satu lagi.
Akhirnya, mereka bergaduh dan memilih untuk bercerai dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak.
Punca Isteri Memberontak
Sikap lepas tangan ini tidak dinafikan sering menjadi punca ramai wanita seperti lebih suka bercerai dan hidup sendiri membesarkan anak-anaknya daripada terus menerus diperhambakan oleh si suami.
Salah wanitakah jika mereka lebih memilih untuk bersikap begitu?
Atau salah para suami yang tidak pernah mahu ambil tahu?
Yang penting, setiap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga perlu sedar akan realiti sebenar kehidupan selepas berkahwin dan bukanlah terpengaruh 100% dengan lakonan-lakonan indah yang mereka tonton dalam drama-drama Malaysia.
Dari aspek anak pula, tidak salah bagi pasangan yang masih belum bersedia menimang cahaya mata untuk merancang kehamilan mereka.
Ini kerana bukan sahaja aspek mental malah fizikal juga perlu kuat dalam membesarkan anak-anak, tiadalah nanti isu anak terabai dan kurang kasih sayang ditularkan satu Malaysia.
Rancang keluarga dan rumahtangga anda sebaiknya dan tahu tahap kemampuan anda dan pasangan bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku di masa hadapan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI