Soalan: Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang diberi oleh suaminya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sedekah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam apabila seseorang itu memiliki wang yang berlebihan. Tambahan pula, ganjaran atau pahala bersedekah ini amatlah besar sehinggakan ia disebut di dalam al-Qur’an:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
al-Baqarah : 261
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 602/1]
Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tujuan agar kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menunjukkan kelebihan seorang isteri bersedekah dengan menggunakan harta suaminya. Antaranya adalah:
إِذَا تَصَدَّقَتِ المَرْأَةُ مِنْ بَيْتِ زَوْجِهَا كَانَ لَهَا بِهِ أَجْرٌ، وَلِلزَّوْجِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلِلْخَازِنِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلَا يَنْقُصُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ مِنْ أَجْرِ صَاحِبِهِ شَيْئًا، لَهُ بِمَا كَسَبَ، وَلَهَا بِمَا أَنْفَقَتْ
Maksudnya: “ Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” [Riwayat al-Tirmizi (671)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih]
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
Penutup
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita juga. Akan tetapi, apa yang penting buat para isteri adalah perlu meminta izin suami jika itu adalah harta suaminya. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta pada jalan Allah SWT. Amin.
SUMBER : http://muftiwp.gov.my