Apa yang berlaku menjadikan saya tawar hati untuk meneruskan ikatan perkahwinan ini.
Adakah wajar saya menuntut cerai atas sebab ini?
Walau bagaimanapun, sebelum menuntut kerana sebab di atas, sewajarnya pihak isteri mengambil kira beberapa perkara berikut terlebih dahulu.
1.Bukti dan maklumat yang diterima itu perlu dinilai terlebih dahulu sama ada sahih atau tidak.
Jika maklumat datang daripada orang lain, maka perlu diteliti kewibawaan pemberi maklumat itu dan perlu juga disiasat sama ada benar atau tidak.
Jika bukti itu diperoleh dari gambar, video atau rekod komunikasi melalui telefon bimbit dan seumpamanya, perlu diselidiki juga sama ada tulen atau rekaan.
Juga perlu diambil kira kemungkinan maklumat itu adakah hanya berbentuk gurauan atau permainan.
Prinsip menyiasat maklumat yang diterima ini berasaskan ayat al-Quran:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
2.Jika maklumat itu benar sekali pun, perlu juga dinilai kemungkinan suami telah bertaubat dan meninggalkan terus perbuatan terkutuk itu.
Taubat suami ini boleh dilihat melalui beberapa petanda seperti dia melaksanakan amal ibadahnya yang fardhu dengan cukup, melakukan amalan-amalan sunat, bersedekah, membaca al-Quran dan meninggalkan tabiat-tabiat buruk.
3.Jika pasti suami terlibat dalam dosa besar itu dan dia masih tidak bertaubat dengan taubat nasuha, menjadi peranan isteri untuk menegur, menasihati dan menghalang kemungkaran itu mengikut kemampuan.
Jika perlu, bolehlah mendapatkan bantuan daripada rakan, ibu bapa, guru atau orang-orang yang lebih berpengalaman untuk menasihatinya.
Nasihat dan perbincangan mungkin boleh mencetuskan kesedaran dan membuka jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.
4.Jika segala ikhtiar tidak mendatangkan hasil, maka sewajarnya isteri menimbangkan kembali ikatan perkahwinan yang wujud itu.
Pertimbangan ini perlu dibuat kerana beberapa sebab, termasuklah:
- Keterlibatan dalam dosa besar secara berterusan akan menjejaskan peranan seorang suami yang sepatutnya memimpin dan membimbing keluarga menuju kebahagiaan dan takwa
- Zina boleh mendedahkan isteri kepada penyakit seperti AIDS dan seumpamanya
- Akhlak seorang bapa boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Oleh itu, faktor pendidikan anak juga perlu dipertimbangkan.
- Rumah tangga yang berkat dan sakinah adalah rumah tangga yang bersih daripada dosa-dosa besar. Hakikat kebahagiaan emosi dan rohani berkait rapat dengan ikatan manusia dengan Allah Yang Maha Pengasih.
Apa yang penting, pertimbangan mestilah dibuat berasaskan kepada iman, maklumat yang jelas dan pertimbangan yang waras.
Bukan bersandarkan kepada emosi dan perasaan.
Sumber : Aku Islam
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI