Siapa yang mahu hidup sengsara setelah berumah tangga? Semua orang mahu bahagia dan hidup senang lenang dengan orang yang mereka sayang tetapi takdir Allah tidak seperti yang kita rancang.
Apa yang kita tidak mahu, itulah yang kita dapat. Mahu tidak mahu, harus reda dan harungi kepayahan itu walaupun hidup sengsara dan terseksa. Ingat satu perkara, Allah sedang menguji hambaNya yang tabah.
Inilah mukadimah catatan saya minggu ini. Kisah seorang isteri yang nekad menuntut cerai kerana tidak larat lagi menanggung suami yang malas dan tidak bekerja.
Ini kisahnya.
“Nama saya Yatie (bukan nama sebenar). Saya berusia awal 30-an, dikurniakan dua orang anak perempuan berusia enam dan tiga tahun, hasil pernikahan dengan seorang lelaki yang saya kenal di alam maya.
“Saya bekerja di sebuah bank di pinggir bandar raya. Sebelum kahwin, hubungan kami mendapat restu keluarga kedua-dua pihak walaupun saya tidak tahu apa pekerjaan suami yang sebenar. Katanya, dia jual insurans.
“Kami berkawan hampir dua tahun. Saya langsung tidak tahu dia kerja apa, sebab pada saya, dia tidak pernah berbohong sepanjang kami berkawan. Silap saya juga tidak siasat betul-betul latar belakangnya.
“Setelah bernikah, baru rahsianya terbongkar. Rupa-rupanya dia tidak ada kerja tetap. Saya bertahan dan tidak menunjukkan rasa marah kerana saya yakin satu hari, dia akan berubah dan berusaha mencari kerja tetap untuk menyara saya dan anak-anak.
“Saya berdoa agar dia akan berubah demi rumah tangga kami. Sekurang-kurangnya, carilah apa sahaja kerja, asalkan halal. Dua tahun berlalu tanpa ada sebarang perubahan.
“Saya terus terbeban dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga. Sewa rumah, kereta dan bayaran nurseri, saya yang tanggung. Dia rileks sahaja di rumah…, makan, tengok TV, tidur.
“Selama dua tahun itulah juga hidup saya terumbang-ambing. Keluarga mula menyisihkan saya dan anak. Mentua turut pandang sinis. Anak-anak membesar dalam suasana yang tidak selesa, sebab ayah tidak bekerja.
“Saya pula terpaksa bekerja keras untuk mencari duit bagi menampung hidup kami. Penat saya dibuatnya. Ketika usia anak menjejak dua tahun, saya mengandung lagi. Suami tetap tidak bekerja. Bayangkan dalam pantang, semua buat sendiri. Harapkan dia, tak makanlah saya.
“Saya mula risau. Anak kedua bakal lahir tetapi suami buat tidak tahu. Saya umpama menanggung biawak hidup di dalam rumah. Kerja suami…, tidur, makan…, tidur, makan. Sedangkan saya ke hulu ke hilir, urus anak-anak.
“Tanggungjawab tidak ditunaikan. Saya suruh cari kerja, dia mengamuk. Yang dia tahu minta duit. Memang hidup perlukan duit. Tapi gaji saya cukup untuk tanggung saya dan anak kami, di samping bayar ansuran kereta, sewa rumah dan upah orang jaga anak.
“Setiap bulan setelah ditolak semua itu, lebihan duit cukup-cukup untuk minyak, tol pergi kerja dan makan. Suami terus minta duit setiap hari. Saya cadang jual burger, dia kata sudah ramai orang jual. Semua cadangan saya, dia tak terima.
“Bila saya tidak bagi, dia mengamuk dan memukul saya. Bukan sekali dua, tapi banyak kali. Akhirnya saya laporkan kepada pihak berkuasa kerana dia mengancam nyawa saya. Dia didapati bersalah kerana memukul saya dan mengancam keselamatan kami anak beranak dan dipenjara setahun.
“Saya terus hidup dalam kepayahan. Saya nekad akan menuntut cerai. Bukan sebab saya tidak sayangkan suami tetapi saya tidak mahu masa depan anak-anak saya menjadi gelap dan tidak ada arah.
“Setelah mendapatkan nasihat peguam dan pejabat agama, saya failkan tuntutan cerai. Saya sedih terpaksa buat keputusan nekad ini tetapi pada saya, ia lebih baik untuk masa depan saya dan anak-anak kami. Biar tidak ada suami daripada ada tapi menyusahkan.
“Saya tahu suami tidak akan berubah kerana apabila keluar nanti, dia akan kembali kepada perangai lamanya. Sudah lama saya bersabar. Dia macam itu juga. Baran tak menentu. Malah kadang kala saya takut tinggal bersamanya dalam rumah.
“Mungkin ramai yang kata saya kejam tetapi saya harus fikirkan masa depan saya dan anak-anak. Orang hanya tahu bercakap, saya yang menanggungnya. Sebelum terlambat dan keadaan menjadi lebih teruk, saya perlu buat keputusan. Saya tidak boleh harapkan sesiapa lagi kerana keluarga juga tidak mahu ambil tahu.
“Saya perlu teruskan hidup sebab anak-anak perlukan saya. Saya mahu tutup buku lama dan buka buku baharu, nak lupa semua masalah sebelum ini. Nak bahagia dengan cara saya sendiri
“Nasihat saya kepada wanita di luar sana, berhati-hati apabila mencari suami terutama yang dikenali di alam maya. Baik siasat dahulu latar belakang, asal usul, pekerjaan dan sebagainya.
“Jangan jadi seperti saya, menyesal kemudian sudah tidak berguna. Cinta jadikan saya buta hati, terus terima tanpa usul periksa. Akhirnya inilah harga yang perlu saya bayar kerana terlalu ikut kata hati. Bagaimanapun saya anggap ini sebagai ujian untuk saya.
“Semoga Allah permudahkan urusan hidup saya dan lindungi saya dan anak-anak di dunia dan akhirat. Saya tetap sayangkan suami tetapi saya lebih sayangkan masa depan anak-anak.
“Kepada Allah, saya panjatkan doa. Semoga Allah bagi saya ruang untuk bahagia bersama anak-anak saya. Saya tidak akan pisahkan anak-anak dari ayah mereka. Jika jodoh kami masih kuat, Insya-Allah, Dia akan tunjukkan jalan,” kata Yatie menamatkan ceritanya.
Begitulah ragam rumah tangga. Ada bahagia dan ada yang derita. Semuanya kehendak Allah, dan saya rasa Yatie telah membuat satu keputusan yang bijak untuk masa depan dia dan anak-anaknya.
Pesan saya buat Yatie, jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Kuatkan semangat dan reda dengan keputusan yang telah dibuat. Saya sangat kagum dengan keberanian Yatie.
Menamatkan catatan pesanan saya, bahagia akan wujud apabila kedua-dua pihak suami dan isteri saling lengkap melengkapi dan mengisi ruang yang ada dalam diri untuk istiqomah. Kesetiaan dan kasih sayang akan bertahan bila kita saling memberi dan menerima.