Suami Perut Boroi Bukan Bukti Mereka Bahagia, Sila Tengok-Tengok Perut Suami Anda

Share

Masa saya melancong di Mesir dulu, alahai rendah dan kecil diri sangat dengan wanita-wanita di sana sebab badan mereka besar-besar dan gemuk-gemuk.

Kata kawan saya, adat mereka, suami memang suka kalau isteri mereka gemuk tandanya mereka dah beri makan yang cukup kepada isteri. Berbeza dengan keadaan di Malaysia, isteri-isteri yang pandai dan rajin masak untuk ‘membesarkan’ suami.

Rata-rata lelaki yang sudah kahwin, mesti perut pergi depan lebih dulu berbanding isterinya. Lepas itu, tidak tahu datang mazhab dari mana yang mengatakan suami boroi petanda senang hati, rumah tangga bahagia, isteri pandai masak. Bersuamikan lelaki boroi sangat membahagiakan, boroi itu seksi dan lain-lain.

 

Kalau sayangkan suami, tolonglah dia untuk kurangkan keboroian mereka itu. Memanglah boroi itu seksi dan comel. Akan tetapi kalau isteri sayangkan suaminya, tidak usah dibiarkan lagi dia dalam keadaan macam tu, kerana boroi merupakan salah satu petanda sindrom metabolik atau sindrom X.

Apa pula sindrom X tu? Sindrom songsang ke?

Sindrom X ini merupakan kumpulan penyakit-penyakit yang mempunyai punca yang sama iaitu ‘kerintangan insulin’ dalam badan atau dalam English insulin resistance. Boroi adalah salah satu penyakit dalam sindrom X ini, iaitu obesiti.

Sindrom ini sangat berkaitan dengan pemakanan harian kita. Diet orang Asia terutamanya Malaysia mengandungi karbohidrat dan lemak yang tinggi. Akibatnya lebih banyak insulin yang diperlukan untuk menurunkan paras gula dalam darah. Proses ini berterusan dan berulang, lama-kelamaan badan akan menjadi kurang sensitif kepada insulin. Maksudnya walaupun paras insulin tinggi dalam darah, tapi tindak balas dengan sel kurang baik dan gula tak dapat dikurangkan.

Gula tu satu hal. Masalah dengan sindrom X ini ialah paras insulin yang tinggi yang boleh menyumbang kepada masalah kesihatan yang lain, seperti:-

  • Keradangan dan kerosakan pada saluran darah atau arteri —> meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
  • Perubahan keupayaan ginjal untuk menyingkirkan bahan kumuh —> tekanan darah tinggi, kerosakan buah pinggang.
  • Lemak triglyceride dan LDL (kolesterol jahat) meningkat, HDL (kolesterol baik) berkurang —> meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular
  • Darah lebih pekat dan cenderung untuk membeku —> Menyumbat saluran darah dan meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
  • Menganggu rembesan dan fungsi insulin —> Risiko kencing manis jenis 2.
  • Berat badan tidak terkawal —> obesiti.

Sumber : Fyda Noh

Published by
Kim