Sejak bergelar isteri dan ibu, pelakon cantik Tasha Shilla kelihatan semakin bahagia dan berseri-seri. Berusia 34 tahun, isteri kepada Muhammad Atiq Idris ini sangat menitikberatkan soal penjagaan kecantikan dan kesihatan. Seperti mana sebelum berkahwin, begitulah juga rutinnya selepas berkahwin.
“Syukur, saya dikurniakan suami yang memahami dan ringan tulang. Dari awal kami kahwin hingga ke hari ini, suami sentiasa peka dengan kebahagiaan rumahtangga tak kira apa jua keadaan. Atiq juga seorang Daddy, suami dan anak yang bertanggungjawab serta berdikari. Beliau juga seorang yang peramah dan disenangi semua. Suami juga seorang yang tahu membuat saya bahagia dan ketawa, namun pada masa sama seorang yang tegas dan tahu bila untuk mengambil momen serius dalam sesuatu situasi atau perkara.
Sejak bergelar ibu kepada Raees Zander Muhammad Atiq yang kini berusia 8 bulan, banyak mengajar saya erti sabar. Ia juga amanah Allah maka fokus utama saya kini adalah anak dan keluarga. Setiap hari akan ada benda baru yang saya belajar seperti komunikasi antara anak dan ibu. Pengalaman paling teruja semestinya saat pertama kali dapat melihat bayi di hospital. Memang tak percaya akhirnya selepas 9 bulan mengandung saya dan suami dapat melihat zuriat yang dinanti-nantikan, Alhamdulillah.
Tip sihat dan cantik saya ialah mendapat rehat dan tidur yang cukup. Tak kira berapa usia kita, rehat yang cukup sangat penting bagi bekalan tenaga sepanjang hari. Dari segi dalaman, petua saya ialah tak minum minuman berais, banyak minum air mineral dan amal diet seimbang. Dari segi luaran, saya kerap menggunakan losyen pelembap dan produk penjagaan kulit. Paling penting, sentiasa mulakan dari hati iaitu sentiasa tenang, gembira dan bersyukur atas segala nikmat Allah.
Untuk perkembangan terkini, saya banyak fokus kepada kolaborasi dengan produk-produk untuk marketing di social media. Buat masa sekarang, keadaan belum mengizinkan sepenuhnya buat saya untuk terlibat dalam proses penggambaran. Saya ambil saranan untuk stay safe and stay healthy sebagai langkah keselamatan diri dan keluarga. Saya memang rindu nak berlakon. Karier seni lakonan sentiasa akan ada dalam diri saya.”
Kredit Foto: Instagram @tashashilla