Ditegur suami kerana masalah bau badan mungkin satu igauan ngeri buat semua wanita bergelar isteri. Kalau boleh sebaiknya jauhkanlah kata-kata macam ni daripada suami. Rasa down yang amat sangat. Mungkin?
Sebelum suami buka mulut menegur atau kawan sebelah pun dah rasa tak selesa, apa kata ada baiknya anda mencuba petua yang disediakan ini. Wangi bukan hanya untuk suami, kita pun akan lebih yakin kalau sentiasa rasa wangi dan segar.
Masalah bau badan berlaku bukan hanya disebabkan oleh peluh semata-mata. Bau yang timbul ini sebenarnya diolah daripada bakteria dan virus yang membiak dengan baik sehingga mengeluarkan sejenis bau yang kurang enak.
Kombinasi antara bakteria dan peluhlah yang menyebabkan bau-bauan yang membuatkan anda tidak selesa sehingga ada yang mula menjauhkan diri tanpa sedar.
Macam mana nak atasi masalah bau badan menggunakan kaedah tradisional dan menjimatkan? Ada baiknya anda cuba langkah ini!
1. Guna Daun Sirih
Daun sirih antara tumbuhan yang dapat menghilangkan bau badan. Menurut petua sesetengah pihak, daun sirih yang diramas dengan campuran tawas kemudiannya diletakkan dibahagian-bahagian tubuh yang cenderung untuk berbau seperti ketiak, celahan paha dan juga bahagain tubuh lain dapat menghilangkan masalah bau badan ini.
2. Mandian Susu
Selain itu, mandi susu juga dapat memulihkan masalah bau badan. Rawatan dengan susu yang dikombinasikan dengan campuran susu soya, susu kambing, madu dan juga aromaterapi memberi impak segar dan harum kepada tubuh. Berendamlah selama 15 hingga 20 minit, sekali setiap minggu. Lama kelamaan masalah bau badan anda akan dapat dikurangkan.
3. Ratakan Timun
Timun juga dikatakan dapat menghilangkan masalah bau badan. Potong timun kepada beberapa kepingan kecil kemudian gosok dan jadikan sabun ketika mandi. Ratakan keseluruh tubuh kemudian barulah dibilas dengan air bersih.
4. Air Cengkih
Bunga cengkih yang kita gunakan sebagai tumisan boleh juga dijadikan sebagai pengubat menghilangkan bau badan. Rendam dalam air panas, suamkan dan kemudian minum airnya. Amalkan.
Dalam apa jenis keadaan dan cara rawatan sekalipun, pastikan anda melakukan penjagaan diri yang tepat dan munasabah. Tip di bawah ni akan kena buat untuk elakkan badan berbau.
1. Usahlah memakai pakaian yang berulang kali tanpa dibasuh. Ini untuk mengelakkan bakteria yang terlekat dipakaian kembali ke tubuh gara-gara pakaian yang tidak dibasuh.
2. Pastikan mandi diatur dengan baik. Sebaik berpeluh, mandi dan bertukarlah kepada pakaian yang baru.
3. Amalkan penjagaan diri yang bersih dan terpelihara.
4. Jangan kerap makan makanan jenis berbau seperti bawang besar yang meninggalkan bau badan kurang enak.
5. Jika anda jenis berpeluh, bijaklah dalam memilih fabrik. Fabrik cotton yang lembut amat disarankan.
Bagaimana Perpeluhan Berlaku?
Peluh terjadi daripada lapisan kulit kasar yang mengalami proses pengelupasan atau sel kulit mati. Sel kulit mati ini pula datangnya daripada lapisan epidermis yang mengandungi sekitar 2.4 juta kelenjar. Ia akan berlaku dalam kepelbagaian kadar kepekatan pada daerah badan yang berbeza secara purata pada 1500 hingga 3000 sentimeter.
Kelenjar peluh berada pada kawasan-kawasan yang mempunyai daya kepekatan yang tinggi biasanya pada sekitar tapak tangan, tapak kaki sebaliknya bukan pada permukaan halus pada bibir.
Kelenjar peluh yang terdiri daripada lingkaran tiub yang berbentuk saluran yang bersambung pada hujung liang roma. Dinding tiub meliputi sel-sel yang mana air dan garam berkumpul dari saluran darah dan keluar dari salur yang khusus.
Perpeluhan atau keringat normal adalah penting untuk menjaga suhu badan. Perpeluhan adalah mekanisme pengatur suhu tubuh, penting bukan sahaja untuk kesihatan tetapi juga untuk kecantikan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Sejak suami menganggur, suami mula tunjuk sikap malas kerja, dia beri alasan mahu rehat dulu. Sekarang saya seorang usahakan jualan nasi lemak, dia hanya makan tidur. Saya risau juga, apa kata adik-beradik yang lain, tapi suami buat tak faham.”
Keluhan demi keluhan disampaikan oleh isteri perihal kepincangan peranan suami sebagai ketua keluarga.
Kerukunan rumah tangga ditandai dengan keupayaan suami mengemudi bahtera rumah tangga dengan adil dan penuh kasih sayang.
Matlamat utamanya ialah untuk memandu isteri dan anak-anak bersama-sama menuju ke syurga. Allah S.W.T berfirman;
“(iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama orang-orang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya.”Surah Ar-Ra‘du: 23
Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah akan mengumpulkan seseorang bersama keluarganya, orang tua, isteri dan anak cucunya di syurga.
Suami itu sifatnya melindungi. Dengan kelebihan yang Allah S.W.T anugerahkan, seorang suami itu wajar dihormati oleh isteri dan anak-anak. Suami ini berwatak seperti seorang “rijal” sebagaimana dalam firman Allah;
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita ) dan kerana mereka menginfakkan sebahagian harta mereka.”Surah An-Nisa’: 34
Terdapat 8 langkah bagaimana caranya untuk menjadi seorang suami berperwatakan “rijal”. Di dalam bukunya, ‘Mr. Gentleman dambaan Wanita’, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin memberikan panduan yang amat jelas ciri-ciri suami hebat berwatak “rijal”.
#1- Boleh Membuat Keputusan
Secara fitrahnya, isteri menyukai suami yang boleh merancang perjalanan kehidupan rumah tangga dan yang prihatin tentang ilmu kekeluargaan.
Suami merancang, memberi pendapat, berbincang dengan isteri dalam melaksanakan misi dan visi keluarga.
Suami wajar raikan cadangan dan pendapat isteri, namun jangan biarkan isteri sahaja yang membuat keputusan dalam hal ehwal rumah tangga.
Berlalu masa, isteri akan meragui kepimpinan suami dalam membuat keputusan dan berani membangkang pendapat suaminya. Ada 4 cara terbaik dalam membuat keputusan;
#1- Melalui solat istikharah #2- Berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabi. #3- Berbincang #4- Kecerdikan
#2- Tidak Membela Suatu Kesalahan Dan Mudah Memaafkan
Suami berwatak rijal tidak mempertahankan sesuatu yang nyata kesalahannya walaupun kesalahan itu datang daripada suami tersebut.
Seorang suami biasanya akan menjadi defensif kerana ego dan mahu kelihatan mulia di hadapan isteri. Sepatutnya suami wajar meminta maaf dan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri. Seseorang akan jadi mulia apabila mahu memperbaiki keaiban diri.
#3- Memahami Komunikasi Dan Pertengkaran
“The biggest communication problem is we do not listen to understand. We listen to reply.”
Komunikasi yang tidak baik di antara suami dan isteri merupakan salah satu sebab berlakunya pertengkaran. Fokus kepada solusi, bukan menyebut semula perkara yang menjadi pertikaian.
Ads
Ustaz Amin menggariskan ada beberapa waktu yang sesuai untuk berkomunikasi seperti mana yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W;
#1- Di atas kenderaan #2- Waktu makan #3- Selepas solat #4- Ketika mandi #5- Ketika mahu tidur
#4- Mengetahui Hak Dan Batasan
Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Dalam masa yang sama, isteri wajib mengetahui hak-hak yang perlu dipenuhi oleh suaminya.
Dalam menyempurnakan hak-hak ini, suami wajar mengetahui batasan hak isteri dan keluarganya. Terdapat 3 kategori hak yang perlu difahami oleh suami dan isteri.
#1- Dharuriyat: Perkara-perkara asas yang penting seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Suami perlu berusaha memenuhi segala keperluan dharuriyat dalam rumah tangganya.
#2- Hajiyat: Contohnya kereta. Pada zaman kini, penggunaan kereta menjadi keperluan untuk menghantar anak sekolah, ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan dan sebagainya. Begitu juga dengan penggunaan telefon bimbit. Suami perlu menyediakan keperluan ini mengikut kemampuan.
#3- Tahsiniyat: Perkara berbentuk kemewahan seperti barang kemas, aksesori perhiasan wanita dan sebagainya. Perkara ini merupakan ihsan daripada seorang suami kepada isteri dan suami tidak wajib memenuhi hak tahsiniyat sekiranya tidak mampu. Isteri pula tidak seharusnya menekan suami dengan hak tahsiniyat. Utamakan yang utama dan mengikut keperluan.
Ads
#5- Belajar Mengurus Nafsu (Syahwat Dan Amarah)
Nafsu merupakan makhluk yang Allah ciptakan, dimasukkan ke dalam manusia bersama-sama dengan akal. Oleh hal yang demikian manusia boleh mengawal nafsu. Antara kaedah mengawal nafsu syahwat ialah memperbanyakkan puasa.
Seorang suami wajar mengenali kelemahan nafsu syahwatnya supaya mudah untuk suami mengurus dan mengawalnya daripada terbabas.
Begitu juga dengan sifat marah. Sifat marah termasuk dalam sifat-sifat mazmumah dan jika tidak dikawal akan menjerumuskan diri ke dalam lembah kehinaan. Salah satu cara iblis dapat masuk ke dalam tubuh manusia ialah melalui kemarahan.
Kesannya amat buruk. Ini adalah kerana marah ialah kunci kepada bercambahnya hawa nafsu, peruntuh akhlak, permulaan kepada perkara tidak baik dan perosak kepada kasih sayang.
#6- Menjaga Nafkah Zahir Dan Batin
Di dalam institusi rumah tangga terdapat dua bentuk pengurusan yang sangat penting iaitu pengurusan diri dan pengurusan kewangan.
Pengurusan diri merujuk kepada cara untuk menangani dan mengawal tekanan dalam kehidupan berumah tangga, tanggungjawab suami dan isteri dan rujukan jika berlaku permasalahah dalam keluarga.
Pengurusan kewangan merujuk kepada cara menguruskan kewangan yang betul seperti mana yang disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W;
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”Surah At-Talaq: 7
#7- Elakkan Berpoligami Jika Tidak Berkemampuan
Poligami dibenarkan apabila terdapat keharusan-keharusan tertentu selari dengan ketetapan syarak antaranya keuzuran isteri sedia ada, suami yang mempunyai daya kesihatan, memiliki harta benda dan keadilan yang mutlak antara para isterinya.
Ads
Kemampuan material seorang suami wajar diperhalusi. Ini adalah kerana mungkin dahulunya suami tidak berkemampuan seperti yang dipunyai pada masa kini.
Elakkan berpoligami dikhuatiri suami akan memakan wang yang sepatutnya menjadi hak isteri dan anak-anaknya. Hukumnya adalah haram.
Begitu juga dari aspek kemampuan mental seperti mampu menangani tekanan. Contohnya apabila suami berkahwin lagi, isteri yang pertama pasti terguris perasaannya.
Suami wajar menunjukkan kasih sayangnya kepada isteri pertama dan bersedia untuk bertanggungjawab dan memberi kasih sayang seadilnya.
#8- Menjaga Keluarga Dengan Ayat Suci Al-Quran
Institusi rumah tangga merupakan gedung pahala. Di dalamnya sarat dengan pintu-pintu pahala yang mencambahkan keberkatan keluarga. Dengan sebab itu jugalah syaitan sangat membenci rumah tangga.
Di dalam kitab Talbis Iblis, terdapat satu puak syaitan yang digelar Dasim yang tugasnya ialah meruntuhkan rumah tangga. Di antara jenis-jenis bisikan syaitan yang merosakkan rumah tangga ialah;
#1- Membisikkan peraaan jemu #2- Membisikkan perasaan tidak menghormati #3- Membisikkan perasaan bersangka-sangka #4- Membisikkan perasaan tidak bertimbang rasa #5- Membisikkan perasaan tidak cukup #6- Membisikkan perasaan sentiasa berasa betul #7- Membisikkan perasaan untuk menzalimi
Suami yang berwatak rijal wajib menjaga keluarganya dengan amalan ayat-ayat al-Quran dalam kehidupan misalnya mengamalkan bacaan surah al-Kahfi ayat 1-10, ayat Kursi dan surah Thaha ayat 1-5.
Demikian 8 ciri-ciri suami berwatak rijal yang menjadi dambaan para wanita. Semoga dengan paparan ini institusi keluarga akan jadi lebih harmoni, dipenuhi kasih dan sayang hingga ke syurga.
SUMBER : https://tzkrh.com/
OLEH : AZIAN MOHAMED ISA
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jodoh, ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Hanya Allah yang tahu bila jodoh kita akan tiba. Ada sesetengah individu, terpaksa memberi laluan kepada adik mereka untuk berkahwin dahulu kerana jodoh mereka masih belum tiba. Dalam perumpamaan orang dulu-dulu, ia dipanggil ‘langkah bendul’.
‘Langkah bendul’ adalah istilah yang digunakan orang dulu-dulu yang berkaitan dengan seorang adik yang berkahwin dahulu daripada kakaknya. Ia ibarat satu perkara yang bertentangan dengan adat dan budaya masyarakat dahulu. Mungkin ia masih diamalkan lagi orang sesetengah orang pada zaman sekarang.
Bagi mereka, kakak perlu berkahwin terlebih dahulu demi menjaga hati si kakak yang lebih berumur. Jadi, jika si adik ingin berkahwin juga, dia harus menyediakan ‘hadiah’ kepada si kakak. Pada asalnya, ia bukanlah satu perkara yang menyalahi syarak.
Namun, jika ia berlebihan hingga membebankan kepada pasangan yang ingin berkahwin, maka ia menyalahi syarak Islam yang memudahkan perkahwinan. Jadi, kepada anda yang bergelar kakak, jika si adik memaklumkan yang mereka mahu berkahwin, sokonglah mereka. Ini antara perkara yang boleh anda lakukan sebagai tanda sokongan.
1. Sokong Niat Mereka
Walaupun adik bertemu jodoh dahulu sebelum anda, sokonglah niat mereka. Berkahwin lebih baik daripada keluar berdua tanpa ikatan yang halal dan sah. Sokongan keluarga amat diperlukan ketika ini.
2. Jangan Susahkan Perkahwinan Dengan Meminta Hadiah
Jika boleh, tidak perlu meminta hadiah atau sesuatu daripada adik dan bakal pasangannya sebagai ganti kerana mereka berkahwin dahulu. Ia akan menyusahkan adik dan bakal pasangannya. Jika mereka mampu, tidak mengapa. Tetapi jika mereka sendiri tidak mempunyai bajet yang banyak, bantulah dengan meringankan beban mereka.
3. Minta Doa Daripada Adik Anda
Mintalah adik dan bakal pasangannya untuk mendoakan diri anda supaya bertemu jodoh yang baik. Tidak perlu berkecil hati dengan adik anda yang bertemu jodoh terlebih dahulu. Siapa tahu keikhlasan anda serta doa daripada mereka akan memudahkan urusan jodoh anda kelak.
4. Berfikiran Positif & Mendoakan Kebahagiaan Mereka
Janganlah berfikiran negatif. Betulkan minda anda untuk sentiasa berfikiran positif. Bila anda positif, maka anda tidak akan bersedih kerana masih belum bertemu jodoh. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Teruskan berusaha untuk mencari pasangan yang baik.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Harga hartanah kediaman dijangka akan terus susut dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang berikutan lambakan unit rumah tidak terjual di Malaysia yang kini mencecah nilai sebanyak RM29.47 bilion.
Pengarah Penyelidikan dan Perancangan Strategik di Rahim & Co International, Sulaiman Saheh, berkata trend penyusutan itu dijangka berterusan sehingga 2021 sehingga pasaran kembali pulih dengan peningkatan kadar pembelian rumah.
“Trend penurunan harga rumah bermula sejak 2016 pada kadar satu hingga lima peratus bergantung kepada faktor lokasi serta nilai hartanah di kawasan itu.
“Harga rumah terus merosot disebabkan kadar pembelian yang kurang, dipengaruhi beberapa faktor antaranya ketidakmampuan kewangan pembeli, kesukaran mendapatkan pinjaman dan kelemahan elemen nilai tambah hartanah terbabit seperti kekurangan kemudahan pengangkutan dan jaringan lebuh raya yang baik,” katanya pada taklimat media liputan pasaran hartanah Malaysia oleh Rahim&Co International Sdn Bhd dan tinjauan prospek 2019, di sini, hari ini.
Berdasarkan laporan syarikat perunding hartanah itu, terdapat 149,889 transaksi bernilai RM67.74 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2018.
Melihat kepada tiga tahun sebelum, trend penurunan sudah menyusut dengan ketara sejak tempoh separuh pertama 2015/separuh pertama 2016 di mana peratusan penurunan adalah setinggi 12 hingga 16 peratus bagi bilangan dan nilai transaksi.
Laporan itu menyatakan, ia menunjukkan petanda baik bagi 2019 dan ia dijangka dapat menghasilkan pergerakan positif walaupun tidak ketara.
Bagi suku ketiga 2018, pergerakan bertambah perlahan dilihat dengan bilangan transaksi mengalami penurunan kepada -0.3 peratus, manakala nilai kepada -1.4 peratus.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata pasaran hartanah pada tahun ini dijangka masih mendatar tetapi mempunyai harapan berterusan ke arah pemulihan.
Beliau berkata, pasaran dijangka akan pulih dengan adanya pengenalan dasar dan insentif baharu yang menyasarkan kepada pasaran hartanah seperti Dasar Perumahan Negara (DRN) 2.0 dan platform pendanaan awam hartanah (property crowdfunding).
“Secara keseluruhan, tindak balas bercampur dilihat dalam pasaran hartanah Malaysia mencerminkan pasaran berada dalam fasa penyesuaiannya dengan persekitaran ekonomi dan politik semasa.
“Justeru, secara kolektif, kesinambungan kepada sentimen tunggu dan lihat serta kesukaran berterusan pembeli bagi mendapatkan pinjaman perumahan menyumbang kepada kemerosotan pasaran dan kenaikan tahap inventori,” katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!