Hubungan

Suami Yang Baik Tidak Akan Memperbesar-Besarkan Kelemahan Isterinya

Share

Isteri merupakan anugerah untuk kita.

Ketika ramai orang yang masih belum mempunyai isteri, kita yang telah memilikinya.

Kehadirannya sangat berharga dalam hidup kita. Tiadanya, fitrah kita bagaikan tidak lengkap.

Seperti kita, isteri juga manusia biasa.

Punya kelemahan, kesilapan dan kekurangan.

Seperti mana kita juga, isteri tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

Ini normal dalam fitrah kita sebagai manusia.

Apatah lagi dengan pelbagai komitmen serta tanggungjawab, ruang untuk kita dan dia melakukan kesilapan itu sentiasa terbuka.

Cuba kita bertanya kepada diri sendiri:

— Apakah sikap dan perangai kita yang tidak disenangi orang lain?

Sudah tentu ada.

Jika tidak ramai yang tahu, paling tidak isteri kita tahu kerana dialah orang yang paling rapat dengan kita.

Isteri tahu benar apa yang terbaik dan kurang baik tentang kita.

Begitu juga dengan isteri.

Pasti ada sikap atau kelakuannya yang tidak kita gemari.

Namun, apa yang ingin ditekankan di sini adalah bagaimana kita boleh menguruskan kekurangan isteri kita.

Betapa ia mengajar kita agar tidak hanya melihat kepada kelemahan isteri.

Cari & Lihatlah Pada Kebaikan Isteri Kita
Pasti ada banyak kebaikan yang tidak dapat kita nafikan.

Maka, sekiranya kita ingin memarahi isteri atas kesilapannya, maka ingatlah kebaikan yang telah dilakukannya.

InsyaaAllah pasti akan selamat rumah tangga kita.

Disebabkan itu jika kita kaji orang tua-tua zaman dahulu, jodoh mereka kekal sehingga kini atau kekal sehingga akhir hayat.

Tidak pula mereka bercerai-berai dan bergaduh sehingga dilaporkan dalam media arus perdana.

Cuba kita tanya mengapa mereka boleh kekal?
— Jawapannya adalah kerana suami isteri tidak memfokuskan kepada kelemahan masing-masing.

Sebaliknya mereka hanya mengutamakan dan hanya melihat kebaikan yang ada pada diri pasangan.

Kita tanya kepada orang yang rumah tangganya kekal sehingga kini.

Sudah pasti ada perkara yang dia tidak setuju dengan pasangannya.

Pasti ada yang tidak berkenan di hati.

Tetapi alangkah bahagianya apabila mereka juga kekal sehingga kini.

Inilah seni berumah tangga apabila suami tidak melihat kepada kekurangan isteri.

Ada isteri yang memiliki wajah yang kurang cantik.

Tetapi bila ditanya kepada suaminya, apakah yang menyebabkannya kekal setia dengan isterinya itu – maka jawabnya, ketika dia jatuh sakit, isterinya sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaganya.

Ketika dia mahukan zuriat, isterinya bersusah payah mengandung dan melahirkan anaknya.

Ketika dia dilanda musibah, isterinya tidak pernah meninggalkannya.

Itulah sifat suami yang baik.

Dia tidak nampak kekurangan pada wajah isterinya.

Namun dia yakin bahawa kecantikan isterinya terletak pada nilai pengorbanan.

Ada isteri pula, walaupun suaminya seorang yang sedikit pengotor, tetapi kerana suaminya juga banyak berkorban, mereka tidak bergaduh.

Ada yang menceritakan kepada saya, bahawa suaminya seorang perokok dan menyebabkan lantai rumah kehitaman akibat terkena abu rokok.

Tetapi dia tetap sabar kerana suami tidak kedekut menolong keluarganya di kampung.

Ya, inilah yang dikatakan saling memandang kebaikan masing-masing.

Apabila kebaikan ini diutamakan, maka kita tidak akan nampak sebarang keburukan.

Kita Tidak Menafikan Kekurangan Itu Ada…
Tetapi setelah kebaikan dan jasa yang dicurahkan itu menjadi perhatian, ia akan mengurangkan rasa tidak puas hati terhadap pasangan masing-masing.

– Cuma ada yang bertanya, mengapa masih ada suami isteri berkelahi?

Jawapan saya adalah kerana pasangan suami isteri itu saling mencari salah masing-masing.

Jika pembaca mencari salah saya, tentu akan jumpa.

Jika isteri membangkitkan kekuarangan suami, dia tidak akan dapat menutup kesalahannya.

Sebab itulah kita dianjurkan untuk tidak mencari salah orang lain.

Tetapi carilah kebaikannya dan temukanlah kesalahan diri sendiri.

Mari Melihat Dengan Pandangan Mata Lebah
Pandangan manusia terbahagi kepada dua jenis:

Satu ‘mata lebah’ dan satu lagi ‘mata lalat’.

Mata lalat hanya akan mencari sesuatu yang kotor sahaja. Walaupun ada yang wangi, dia tetap akan mencari yang kotor.

— Ada sahaja yang tidak kena pada matanya.

Orang yang memiliki mata lalat, semuanya serba tidak kena untuknya.

Jika dia bersolat di belakang imam, sekiranya imam membaca surah yang panjang, dia akan mengata.

Esoknya jika imam membaca surah yang pendek, dia tetap juga akan mengata.

Seolah-olah tiada yang baik baginya. Semuanya serba tidak kena.

sekadar gambar hiasan

Cubalah jadi manusia bermata lebah.

Bayangkan lebah terbang tinggi dan jauh-jauh, mereka hanya mencari sesuatu yang baik sahaja.

Akhirnya dia menemui wangian atau madu yang terbaik. Inilah sifat mata lebah.

Maka orang yang bermata seperti mata lebah ini tidak akan mencari kebaikan yang anda pada diri seseorang semata-mata.

Bahkan Allah SWT sendiri menjelaskan kepada kita perihal lebah ini seperti firmanNya yang bermaksud:

Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.

— Surah al Nahl 68-69

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT memerintahkan kepada lebah agar membuat rumah (sarang) di tiga tempat.

Pertama, buat rumah di bukit bukau. Kedua, membuat rumah di pokok. Dan ketiga, buat rumah di tempat manusia mendirikan bangunan atau rumah.

Maknanya adalah manusia boleh membuat rumah dan manusia boleh membuat sarang lebah di situ.

kemudian Allah SWT mengatakan kepada lebah agar bertebaranlah mencari bunga-bungaan dan buah-buahan.

Kemudian ambillah madu-madunya dan kembalilah ke sarangnya semula melalui jalan-jalan yang telah ditetapkan.

Kemudian keluarkanlah hasil yakni madu yang menjadi penawar untuk manusia.

Itu namanya madu lebah.

Benar, inilah bandingan lebah untuk manusia.

Apakah yang boleh kita pelajari daripada perihal lebah berkenaan?

Pertama, jadilah orang yang memiliki mata lebah yang hanya mencari kebaikan orang.

Jangan hanya pandai mencari kejahatan dan keburukan orang.

Pembaca sekalian, jika hidup berjiran, pandanglah yang baik tentang jiran kita.

Memang mungkin dia tidak rajin bersolat jemaah di surau seperti kita.

Tetapi mungkin dia adalah seorang yang sangat suka bersedekah.

Maka, bukanlah lebih baik kita menanamkan azam untuk bersama-sama mengajaknya menunaikan solat di surau dengan kita?

Betul dia tidak menunaikan solat berjemaah.

Namun kita tetap tidak boleh menafikan kebaikan lain yang ada pada dirinya.

Dia menutup aurat adalah baik. Dia rajin menolong orang lain juga adalah baik.

Cuma apa yang kurang padanya adalah tidak berjemaah di surau.

Maka yang satu itulah tanggungjawab kita. Inilah yang dipanggil sebagai mata lebah.

Berbanding orang yang memiliki mata lalat, hanya kerana dia tidak menunaikan solat jemaah, kita canang-canangkan dan perbesarkan yang itu sahaja.

Sehingga ada orang yang bertekad tidak mahu memijak rumah jirannya itu.

Jika diadakan kenduri, dia tidak akan hadir, hanya kerana jirannya itu tidak menunaikan solat berjemaah.

Ini kerana jirannya itu tidak menunaikan solat berjemaah.

Inilah yang dikatakan bermata lalat.

Selain itu, antara pengajaran yang boleh diambil daripada kisah lebah adalah kita mestilah mempunyai ‘sarang’ yang kuat yang dinamakan sebagai Islam.

Manakala kewajipan setiap umat Islam adalah bertebaran ke seluruh pelosok bumi ini untuk menyebarkan Islam.

Ada orang yang mengutip ‘madu bunga’ di kampung. Ada orang mengutip madu bunga di bandar. Ada yang mengutip di negeri ini, ada yang mengutip di negara luar.

Kutiplah dimana sekali pun, kemudian kembalilah ke sarang kita untuk mengeluarkan hasil.

Maknanya, buatlah apa kerja sekali pun, asalkan ia dapat memenangkan Islam dan memberikan manfaat kepada agama ini.

Setiap kita mempunyai peranan tersendiri.

Semuanya berfungsi mengikut kemampuan masing-masing.

Cuma hindarilah sikap cuba menjadikan orang hanya untuk mengikut selera, kemampuan dan ruang kita sahaja.

Ini tidak boleh.

Namun, Masalah Kita Pada Hari Ini Adalah Suami Hanya Mencari Kesalahan Isteri

Jika terjadi apa-apa perkara yang tidak menyenangkan, suami cuba mengelak daripada memikul tanggungjawab.

Kemudian dipersalahkan isterinya.

Maka dicarilah kelemahan dan kekurangan isteri untuk dipersalahkan.

Inilah perkara yang kita kesalkan.

Sudahlah isteri dipersalahkan, dimarahi lagi.

Apakah sikap ini yang mahu dilakukan suami terhadap isteri?

Sayang seribu kali sayang kerana seharusnya suami menjaga aib isterinya.

Malah merekalah yang perlu mendidik isteri sekiranya ada melakukan kesalahan.

 

Suami Yang Baik Tidak Akan Memperbesar-Besarkan Kelemahan Isterinya

Suami lihatlah kebaikan yang ada pada isteri.

Memanglah tidak dinafikan isteri ada kekurangannya tersendiri.

Tetapi sudah pasti disebalik kekurangannya, ada kebaikan. Cuba cari dan kutip kebaikan itu.

— Maka kita tidak akan nampak kekurangannya.

Suami yang baik tidak akan memperbesar-besarkan kelemahan isterinya. Malah jika ada, dia akan membantu mengatasinya.

Dia merasakan adalah tanggungjawabnya untuk menampung kekurangan isteri.

Jika ini mampu diamalkan para suami sekalian, sudah pasti akan wujud rasa hormat isteri kepada mereka.

 

Published by
Kim