Suara Lunak, Wajah Ayu Dan Menawan Mampu Menarik Jodoh Datang Mendekat

Share

Pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah atau nama komersialnya, Wany Hasrita memiliki pakej lengkap sebagai seorang penyanyi. Punya seraut wajah yang ayu serta penampilan yang sopan bertudung menjadi inspirasi kepada hijabi untuk lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu yang diimpikan.

Memiliki suara yang lunak, mantap dan mengasyikkan, Wany berjaya memikat selera ramai pencinta lagu-lagu berentak balada. Malah buat peminat setia Wany, kebanyakan mereka tidak hanya meminati kehebatan suaranya semata-mata malah mengakui gadis ini memiliki seraut wajah yang ayu dan menawan.

Menebak tentang perasaannya ketika menyarungkan busana pengantin, akui gadis berkulit cerah ini, ada satu perasaan yang sukar diungkapkan. Pertama kali menggayakan gaun pengantin membuatkan dirinya terasa seperti tidak percaya yang dia sedang memakai gaun pengantin.

Jodoh Pilihan

Berkongsi kisah apa yang tersemat di dalam kalbu yang selama ini menjadi rahsia peribadi, ternyata seperti gadis-gadis lain yang seusia dengannya, Wany juga ingin mengecapi indahnya pelayaran alam rumah tangga. Jauh di sudut hati, sudah sesuai untuk Wany menyemai harapan untuk dirinya bertemu si dia, jodoh yang dinantikannya.

“Sesungguhnya jodoh telah ditentukan oleh Allah. Namun pilihan jodoh saya mestilah mendapat restu daripada keluarga. Restu keluarga itu amat penting untuk keberkatan ke arah membina keluarga yang bahagia. Mengenai calon suami, saya tidak kisah sama ada dia sama bidang dengan saya ataupun tidak. Saya bukanlah seorang yang terlalu selektif dalam memilih calon suami. Jika dia jodoh saya maka saya akan terima dengan hati yang terbuka.

 

“Jika boleh, saya mahu mengelak daripada memilih calon suami yang lebih muda daripada saya. Sebenarnya ia bergantung kepada pembawaan diri masing-masing. Yang penting cara kita berfikir dan juga bertindak. Jujurnya, tidak pernah terlintas di benak fikiran untuk saya jatuh cinta dengan lelaki yang lebih muda. Ini kerana saya mendambakan calon suami yang berumur lebih tua daripada saya iaitu sekitar lewat 20-an. Walau bagaimanapun jika sudah tersurat yang jodoh saya dengan lelaki yang lebih muda, saya terima sahaja,” ujar Wany sambil tersenyum manis mengatur pembuka kata.

Menyingkap tentang takrifan cinta, Wany punya pengertian yang tersendiri. Bagi Wany, cinta itu berkait rapat tentang sikap saling bertolak ansur dan juga memperbaiki kekurangan yang ada pada diri masing-masing.

“Tentang calon suami, biarlah atas pilihan sendiri. Bukannya saya menolak jodoh pilihan keluarga namun apabila melibatkan masa hadapan, saya lebih selesa untuk membuat keputusan sendiri. Namun begitu, jika pilihan ibu seorang jejaka yang sesuai dengan saya, apa salahnya. Yang penting perkahwinan yang saya akan bina nanti direstui oleh semua pihak,” ujar Wany penuh makna.

Pertunangan

Kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat. Sudah menjadi kelaziman sebelum uda dan dara disatukan, alam pertunangan merupakan tempoh untuk saling menyesuaikan diri antara satu sama lain. Apa pula pendapat Wany tentang alam pertunangan.

“Saya memilih untuk tidak melalui tempoh pertunangan kerana seperti yang kita ketahui, alam pertunangan ialah satu fasa yang amat mencabar dan penuh dengan liku-liku dugaan. Lagipun pada pendapat saya, jika alasan tempoh pertunangan itu bagi memberi peluang kepada pasangan bakal mempelai mengenali lebih rapat lagi, ia tidak relevan. Ini kerana kita hanya akan tahu sikap sebenar seseorang itu hanya apabila kita telah hidup sebumbung dengannya.

 

“Oleh itu saya memilih untuk terus melangsungkan perkahwinan tanpa melalui proses pertunangan. Jika ada pun majlis pertunangan, biarlah sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ia sebagai syarat selain memenuhi permintaan ahli keluarga,” tutur Wany.

5 Ciri-Ciri Calon Suami Pilihan Wany Hasrita

1. Penyabar dengan kerenah saya.
2. Pendengar yang baik sebab saya suka bercakap.
3. Boleh membimbing saya ke arah kehidupan yang diredai oleh Allah.
4. Lelaki yang membuatkan saya selesa dan selamat bersama dengannya.
5. Berilmu agar si dia dapat mengajar saya tentang ilmu dunia dan akhirat.

 

Published by
Ros Nana