Hubungan

Suri Rumah Burnout Akibat Uruskan Rumahtangga, Sampai Upah Orang Untuk Jadi Kawan Berbual

Share

Tak pelik bila ada suri rumah burnout akibat membuat rutin yang sama dalam rumahtangga. Bukan kerana tidak pandai bergaul, tetapi lebih kepada tiada kawan untuk dibuat sembang.

Inilah yang berlaku kepada seorang wanita yang juga suri rumah apabila dia sampai mencari ‘kawan upahan’ selepas mengalami tekanan melampau (burnout), akibat tiga tahun terperap menguruskan rumah tangga.

Suri Rumah Burnout Akibat Uruskan Rumahtangga

Kawan upahan tersebut hanya perlu datang ke rumahnya, bersembang, dan membuat kerja harian bersama-sama.

“Ada tak sesiapa di kawasan Melaka, sudi berkawan dengan saya. Datang rumah saya sembang-sembang, masak dan buat kerja rumah sama-sama, bayar pun tak apa asalkan saya ada kawan.

“Saya jadi suri rumah sepenuh masa dah tiga tahun tanpa cuti. Maksud saya memang tak ada ‘healing’, keluar dengan kawan, lepak ke, tak ada tu semua.

“Memang tiga tahun berturut-turut saya hadap kerja rumah, anak-anak, dinding, kipas,” kongsinya.

Wanita itu juga seolah-olah cemburu melihat suami yang berkesempatan untuk keluar dan melakukan hobinya, tidak seperti dirinya itu.

“Saya rindu nak ada kawan-kawan macam zaman kolej, zaman belum kahwin. Saya tak ada kawan, yang ada semua berhubung menerusi WhatsApp, Facebook dan Instagram sahaja.

“Saya bosan. Seronok tengok suami boleh keluar, buat hobi dia. Saya tak dapat tu semua, sampai tahap saya dengar anak panggil pun saya rasa penat.

Bukan Tak Bersyukur Tapi Nak Ada Kawan

“Tolong jangan salah faham, saya bukan tak bersyukur ada anak, suami ada rumah, tersangatlah bersyukur cuma perlu rehat sebentar tapi tak boleh. Saya cuma nak ada kawan,” luahnya.

Jadi suami, sesekali bila ada peluang, bawalah isteri keluar kejap. Walau cuma duduk dalam kereta dan pusing-pusing taman, itu lebih dari cukup sebenarnya.

Published by
Nadia