Perubahan yang perlu dibuat selepas berumah tangga, Sweet Qismina pilih jaga aib suami walau ada masalah dan akan elak melepaskan emosi di media sosial.
Pelakon yang mendirikan rumahtangga pada 24 Oktober 2022 Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi bersama pelakon, Adam Lee akui dirinya kini makin matang.
Selepas mendirikan rumahtangga dan bergelar isteri dia lebih berhati-hati terutama apabila meluahkan perasaan atau berkongsi masalah di media sosial.
Jika dahulu sebelum mendirikan rumahtangga, Sweet memberitahu dia begitu lantang berkongsi segala masalah di media sosial. Namun kini dirinya makin matang dan sangat bersyukur dikurniakan suami yang turut banyak memberi nasihat.
“Sebelum kahwin memang saya memang lantang bersuara dan suka berkongsi di sosial media. Nak tunjukkan perasaan tak puas hati pada orang di luar sana. Bila orang tanya saya akan cakap saya general saja nak beritahu pada public bukan ada apa-apa pun,” kongsi Sweet.
Pasangan sama cantik dan sama padan ini begitu ceria. Malah sewaktu ditemubual terpancar kebahagiaan di wajah masing-masing.
Sweet dan Adam juga menerangkan mereka lebih suka berbincang jika punya masalah berbanding berkongsi di media sosial.
“Adam bukanlah seseorang yang suka tunjukkan semua di sosial media. Suami mengajar saya menjaga aib keluarga dan diri sendiri pada orang di luar sana. Pada saya less is more, Jika ada masa keluarga atau apa-apa masalah kenalah duduk berbincang dengan suami,” kongsi mereka.
Mengusik tentang kehidupan mereka sebagai suami isteri, Sweet menerangkan Adam seorang suami yang ringan tulang bila di rumah.
“Alhamdulillah dapat suami yang bekerjasama dan bantu saya buat kerja rumah. Memang Adam ringan tulang dan kami sama-sama akan buat kerja rumah. Saya sangat bersyukur. Kami memahami cara masing-masing dan kami tahu patut atau tidak lakukan selepas berkahwin,” ujar Sweet.
Sweet dan Adam juga menerangkan mereka bersyukur apabila digandingkan bersama dalam drama Cik Misi 123.
“Alhamdulillah kami digandingkan bersama dalam drama ini. Kami tak tolak rezeki jika kami digandingkan bersama dalam sebuah drama.
“Kami suka pekerjaan kami. Tak ada istilah berkepit sebab produser yang nak dan kami bersyukur bila digandingkan,” kongsi mereka.