Mengejar cinta yang sempurna boleh membuatkan kita lupa kesempurnan itu hanya ada pada Allah Taala. Menang sudah ditakdirkan pasangan yang bertemu di bumi Allah ini adalah untuk saling melengkapi kekurangan dan kelebihan pasangan. Janganlah meletakkan impian yang melangit dan mengharapkan rumahtangga sentiasa berada dalam kebahagiaan sempurna.
Dari sebelum berkahwin lagi, persiapkan sahaja mental dan fizikal untuk menempuhi dugaan. Bukan nak menakutkan bakal pasangan suami isteri tetapi itulah asam garam rumahtangga. Lebih padu lagi, hasil nukilan Dr Azirawati Ismail, Pakar Perubatan Kecemasan HRPZ II merangkap Ketua Jabatan Hal Ehwal Wanita (WARAK PAPISMA) menggambarkan sebuah hubungan suami isteri yang sarat dengan pengajaran tentang KESETIAAN.
************************************************************************
Mahalnya nilai sebuah ‘kesetiaan
Di dalam kehidupan berumahtangga, mendapat pasangan yang serasi adalah satu bonus. Orang kata ada ‘chemistry’ antara satu sama lain.
Tetapi kebanyakan pasangan adalah saling lengkap melengkapi terhadap kelemahan dan kelebihan masing-masing. Sebab itu ada yang menyatakan di dalam rumahtangga ini bukan kisahnya mencari yang sempurna tetapi menyempurnakan antara satu sama lain. Sesungguhnya tiada yang paling sempurna selagi bernama manusia.
Setelah akad dilafaz maka termeterailah sebuah ikatan dan janji antara suami isteri bagi melayari sebuah mahligai rumahtangga yang entah bila akan dilanda badai atau hanya setenang lautan yang dalam. Tiada siapa yang dapat meneka kehidupan yang bakal berlaku selepas disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Yang menjadi pengikat kesetiaan dalam melayari bahtera ini adalah saling mempercayai antara satu sama lain. Sementelah musim pkp ini tidak kurang pasangan yang berpangkat PJJ (perhubungan jarak jauh) yang semestinya memerlukan kesabaran dan ketahanan jiwa dan mental yang tinggi untuk menghadapinya di saat ini.
Jika salah seorang pasangan dikhianati tidak kira pihak suami atau isteri, maka hilanglah sebuah kepercayaan yg boleh diumpamakan seperti gelas kaca yang pecah berderai. Sudah semestinya boleh dikutip dan dicantum tetapi mustahil untuk membentuk sebiji gelas yang sama.
Dan disinilah kesetiaan kepada pasangan akan diuji sama ada suami atau isteri ini akan terus setia atau mengambil jalan keluar untuk membubarkan sebuah mahligai yang dibina kesekian kalinya.
Banyak faktor yang menyebabkan pasangan mengambil langkah untuk terus setia terutama apabila melibatkan anak-anak. Bimbang dengan berlakunya perceraian anak-anak akan menjadi trauma dan akan menimbulkan banyak masalah sosial yang lain.
Ini akan menyebabkan pasangan mengambil jalan selamat untuk terus setia dan semestinya untuk terus setia setelah dikhianati adalah dengan bersyarat. Jika peluang kedua ini tidak digunakan dengan sebaiknya berkemungkinan pasangan ini tidak akan memberi peluang yang seterusnya lagi dan lebih baik masing-masing melangkah ke hadapan bagi memberi peluang masing-masing mencapai kehidupan yang lebih baik.
Namun walaubagaimanapun sekali lagi yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Maka bagi pasangan yang diberi peluang kedua oleh pasangannya gunakanlah peluang yang diberi sebaiknya. Peluang yang diberi inilah sebenarnya memberi ruang untuk setiap pasangan saling mengenali antara satu sama lain dan saling menghargai.
Walaupun sebenarnya untuk memberi peluang kali kedua semestinya mengambil masa bagi suami atau isteri untuk membentuk semula sebuah kepercayaan terhadap pasangan yang mengkhianati. Ini memerlukan mujahadah yang tinggi demi memperbaiki sebuah perhubungan dan menyelamatkan masjid yang dibina selama ini.
Muhasabah diri adalah yang terbaik untuk tetap setia. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada suami atau isteri yang menyebabkan pasangan dikhianati yang Allah sebenarnya hendak menegur pasangan melalui pengkhianatan tadi. Kembali kepada Allah, berdoa, berusaha dan bertawakkal adalah jalan terbaik ketika ditimpa sesuatu musibah.
Dia mengetahui apa yg terjadi kepada hamba-hambaNya dan Dia juga yang akan membuka jalan dan memberi pertolongan dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dia mahu supaya kita kembali kepadaNya.
Namun, jika pengkhianatan ini sudah melibatkan sesuatu diluar jangkaan seperti melibatkan kecederaan fizikal, mental dan tekanan jiwa yang teruk, maka bertindaklah dengan bijak dengan mencari jalan penyelesaian terbaik.Rujuk kepada mereka yang boleh dipercayai selain berdoa dan bertawakkal supaya Allah tunjukkan jalan yang terbaik.
Jangan mengikat diri dengan sesuatu yang tidak menguntungkan kerana anda layak untuk bahagia.
Bahagia paling utama adalah dengan membahagiakan dirimu dan barulah orang lain dapat merasai aura itu yang boleh membahagiakan orang di sekeliling.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI