Untuk mengumpul wang demi mendirikan rumah tangga sememangnya satu agak sukar. Apatah lagi jika anda mempunyai gaji yang kecil dan cukup-cukup makan. Ia memerlukan masa untuk mengumpul wang tersebut.
Antara jalan mudah dan cepat untuk berkahwin tentunya dengan membuat pinjaman bank. Bukan setakat buat majlis kahwin, anda boleh honeymoon ke luar negara menggunakan duit tersebut. Tak perlu susah-susah nak simpan duit dan ikat perut.
Perkara ini sebenarnya sangat membimbangkan kerana kehidupan selepas berkahwin memerlukan lebih banyak wang berbanding majlis perkahwinan itu sendiri.
Jika anda berhutang, anda mungkin bakal berdepan dengan masalah-masalah ini selepas berkahwin nanti:
1. Semakin besar hutang, semakin terbeban
Ramai yang tidak sedar atau mereka sebenarnya tidak ambil peduli tentang hal ini. Apabila anda membuat pinjaman yang besar, ia akan membebankan diri anda. Mana tidaknya, anda perlu membayar hutang serta bunga yang telah ditetapkan oleh pihak tersebut. Sukar untuk anda lari dari bebanan ini. Jika anda melengahkan bayaran, semakin tinggi beban yang terpaksa ditanggung.
2. Ambil masa yang lama untuk selesaikan
Nak pinjam duit untuk majlis perkahwinan tidak cukup hanya seribu atau dua ribu. Tentunya anda akan meminjam belasan atau puluhan ribu. Tentu anda tidak mampu selesaikan dalam dua atau tiga bulan. Paling tidak, anak dah 3 pun hutang masih belum selesai.
3. Tambah hutang makin kurang keselesaan rumah
Anda pasti akan terbeban dengan hutang-hutang seperti hutang kereta, perkahwinan, rumah dan banyak lagi. Pastinya keadaan ini buat anda tidak selesa dan keadaan di rumah terabai. Mana tidaknya, wang yang sepatutnya digunakan untuk memberi keselesaan di rumah perlu digunakan untuk membayar hutang.
4. Perlu tunda keinginan dan kemahuan
Apabila berhutang, anda perlu bersedia banyak perkara. Keinginan dan kemahuan anda juga terpaksa disekat. Anda tidak boleh membeli barangan idaman anda.
5. Punca salah faham dan perbalahan
Bila anda tertekan dengan bebanan hutang, secara tidak langsung ia akan menyebabkan terjadinya perbalahan antara anda dan pasangan. Tekanan itu terpaksa anda tanggung seorang diri.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pengantin Baru Kena Tahu Menguruskan Wang Dengan Bijak Untuk Ke Fasa Seterusnya
Anda yang akan baru berkahwin nanti mesti dah habis banyak duit kan. Lepas kahwin lagi banyak duit nak guna. Jadi, anda kena la ada perancangan untuk hidup selepas kahwin jugak. Bila baru kahwin, bersederhanalah dalam setiap perbelanjaan. Lebih baik simpan duit untuk perbelanjaan yang lebih penting. Jangan ikut hati sangat bila berbelanja.
Kalau bakal suami kau jenis boros, nasihat la sikit. Begitu juga sebaliknya. Jangan kumpul duit untuk buat belanja kahwin je. Kena fikir juga perbelanjaan selepas kahwin. Berikut ada 10 panduan pengurusan kewangan buat pasangan muda yang baru berkahwin:
1. Beli Rumah Yang Kecil Dulu
Beli rumah yg selari dengan perkembangan family kau terlebih dahulu. Biar kecil asalkan ada tempat utk keluarga kau berteduh drpd kau duk menyewa sampai ke tua. Tak payah nak ikut orang. Orang beli rumah banglo, kau pun nak ikut jugak.
2. Beli Kereta Biar Sepadan Dengan Gaji
Belilah kereta yg rendah harganya. Keluarga kau masih kecil, elok beli kereta kecil dulu. Asalkan sampai ke destinasi yang dituju dan selesa untuk isteri dan keluarga kau. Beli kereta yang sesuai dgn income.
3. Jangan Ada Banyak Credit Card
Kad kredit tak payah banyak-banyak. Kalau suami dah ada kad kredit, isteri tak perlulah ada kad kredit lagi. Cukuplah satu untuk sekeluarga. Kalau kau bayar separuh je tiap bulan, baik tak payah guna kad kredit.
4. Buat Financial Budget Keluarga
Cuba buat financial budget setiap bulan. Baru kau tahu ke mana aliran wang kau pergi. Financial Budget penting untuk kau mengatur kewangan keluarga kau. Dah buat mestilah ikut ye.
5. Belanja Ikut Kemampuan
Bila kau tengok kawan kau beli kereta baru, kau pun rasa nak tukar kereta baru. Bila kau tengok kawan Fesbuk kau pergi travel oversea, kau menggelupur nak pergi sama. Jangan begitu. Seeloknya kau tangguh dulu kehendak dan utamakan keperluan.
6. Elakkan Pembiayaan Peribadi Dan Loan Yang Tak Diperlukan
Kalau boleh jangan buat langsung pembiayaan peribadi. Kadar keuntungan bank tinggi. Melainkan hutang yang mampu mengembangkan lagi nilai bersih aliran tunai keluarga kau.
7. Simpan Untuk Masa Depan
Simpanan setiap bulan yg minima mengikut kemampuan kewangan secara KONSISTEN. Bina tabung utk masa depan, contohnya tabung pendidikan anak-anak menggunakan tools ASB Financing ataupun Tabung Haji. Simpanan untuk membina aset, simpanan untuk long term.
8. Jangan Beli Perabot Baru
Kalau perabot tu masih baru, tak rosak jgn mengada nak beli baru. Ini tiap raya je nak tukar baru. Perkakas elektrik selagi belum rosak pun guna je dulu.
9. Cipta Tabung Berwarna
Cipta tabung berwarna biru (RM1), hijau (RM5), merah (RM10), oren (RM20). Ikutla mana yang kau suka. Buat tabung berwarna keluarga lagi seronok rasa nak menyimpan.
10. Banyakkan Bersedekah
Selalunya kalau kau rajin bersedekah, kau akan murah rezeki. Rezeki yang datang tanpa kau duga. Kau sekeluarga tidak akan miskin pun kalau kau bersedekah. Lagi banyak kau bagi kat orang, lagi banyak Tuhan bagi kat kau.
Kredit : awantona
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Boleh, Sebelum Jadi Suami Isteri, Buatlah Solat Taubat Agar Hidup Berumahtangga Lebih Berkat
Di hujung-hujung Ramadan ini, terlalu banyak hikmah yang menanti umat Islam. 10 malam terakhir ini boleh dimanfaatkan dengan melakukan seberapa banyak amal ibadah demi mencari malam Lailatul Qadar.
Disarankan, pada malam-malam terakhir ini untuk melakukan solat sunat taubat demi memohon keampunan dari Allah SWT. Bagi anda yang bakal berkahwin pula, perbanyakkanlah amalan dan pohon agar urusan jodoh dan majlis anda dipermudahkan.
************************************************************************
Taubat Nasuha Dan Cara Melaksanakan Solat Sunat Taubat.
Dalam Islam seluas-luas pintu adalah pintu taubat. Allah S.W.T tidak akan jemu untuk mengampunkan hambaNya selagi hambNya percaya bahawasanya Allah S.W.T adalah satu-satunya Tuhan Yang Maha Mengampunkan hambaNya.
Dalam kalangan kita,mungkin ramai yang ingin bertaubat namun tidak tahu ke mana arah untuk mencari panduan. Berdampinglah dengan orang-orang soleh, jagalah solat, bacalah Al-Quran.
ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Syarat-syarat taubat :
- Ikhlas ingin bertaubat
2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Waktu melaksanakan taubat :
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara melaksanakan solat taubat :
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
- Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
- Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
- Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
- Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
- Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
- Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,
Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.
- dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”
- Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.
*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;
Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:
- Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.
- Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.
- Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).
- Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.
- Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.
Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.
Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.
Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.
p/s : jangan pernah jemu untuk memohon keampunan kerana syaitan tidak pernah jemu untuk menarik anak Adam untuk bersamamya didalam neraka..nauzubillah..
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita, Jangan Mudah Terpengaruh Dengan Pujukan Kahwin Lari!
Isu kahwin lari, tanpa pengetahuan keluarga adalah benda yang paling ngeri bagi mak dan ayah. Bahkan, banyak juga isu sebegini ada dalam drama tv, novel dan lain-lain.
Cuma kalau nak tahu lebih jelas kesannya, boleh baca perkongsian saudara Fahmi Ramli ini, moga kita boleh didik anak-anak dan berikan kesadaran dari awal.
Kahwin Lari
Rakyat Malaysia ini biasa dengar isu sebegini. Bahkan ada dikalangan mereka ini memang lebih suka berkahwin disana. Tambah-tambah pasangan lelaki yang bakal menjadi suami tersebut adalah ‘suami orang’. Ada juga yang pilih untuk berkahwin disana disebabkan tidak mendapat restu daripada wali atau keluarga.
Tapi, apa yang menjadikan saya nak berkongsi dengan pembaca adalah tentang kesan yang buruk kepada wanita. Ramai wanita tak tahu, bila perkahwinan berlaku di sempadan Thailand ini misalnya, kesan yang paling buruk akan berlaku adalah kepada wanita itu sendiri berbanding lelaki tersebut. Antara kesannya adalah:
1. Boleh jadi tak sah
Mungkin perkahwinan yang nampak macam ‘real’ sebab ada tok kadi semua, tapi ramai juga yang tertipu dengan agen yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Tempat pernikahan yang berlaku tersebut adalah menjadi perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu kerana hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf.
Bahkan, ada juga wanita yang jarak dia dengan wali tidak melebihi dua marhalah dan bermacam lagi alasan. Jadi, kesan yang paling buruk adalah kepada wanita tersebut kerana bila perkahwinan yang tidak sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang ini, akan muncul kesan yang lain hanya disebabkan pernikahan tidak sah. Persetubuhan suami isteri juga menjadi persetubuhan syubhah.
2. Anak Tak Sah Taraf
Inilah kesan utama yang akan menyusul sekiranya berlaku pernikahan di Sempadan Thai. Anak yang akan dilahirkan tidak boleh ber ‘bin’ atau ‘binti’ kan kepada bapanya disebabkan tidak mempunyai sijil pernikahan Siam. Jadi, yang ada hanya maklumat ibu semata-mata. Jika si bapa ini masih hidup dan belum buat pengesahan mungkin tak menjadi masalah besar.
Tapi, cuba bayangkan jika bapa tersebut telah meninggal atau hilang sebelum dibuat pengesahan. Menjadi satu masalah besar untuk si ibu berseorangan membuat pengesahan nikah di Mahkamah dan kemudian membuat pengesahan nasab anak untuk di’bin’ atau ‘binti’ kan anak tersebut kepada bapanya.
3. Tanggung Nafkah Anak Sendiri
Rentetan daripada kelahiran anak tak sah taraf, isu yang akan timbul adalah ibu dan keluarga ibu tersebut yang akan menanggung segalanya nafkah anak tak sah taraf ini. Si bapa tidak bertanggungan untuk memberi nafkah kepada anak tidak sah taraf kerana ia bukan dinasabkan kepada dirinya. Bahkan, jika si ibu nak tuntut perintah nafkah anak di Malaysia ini, ibu tersebut mesti melalui proses mengesahkan pernikahan, mengesahkan nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak.
Ada banyak peristiwa yang pihak suami enggan peduli nafkah anak yang dilahirkan hasil pernikahan di Malaysia apatah lagi pernikahan di Siam. Meskipun dari segi benih biologi (sperma) tu datang daripada lelaki tersebut, tapi dari segi hukum dan undang-umdang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.
4. Sukar bercerai di Malaysia
Jangan ingat langit itu selalu cerah. Rumahtangga ini sifatnya pasang surut. Masa nak pujuk kahwin tu lemah lembut la sifatnya. Pijak semut pun tak mati. Tapi lepas kahwin, timbul pulak isu tak dapat nafkah, kena pukul, tak dapat giliran bermalam yang adil bagi poligami, curang dengan perempuan lain pulak dan macam-macam lagi.
Jadi, isteri ni mula tidak puas hati dan nak mohon cerai. Isteri ini perlu pilih antara dua, cerai semula di tempat pernikahan mereka di Siam tersebut atau membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah dalam Malaysia dan kemudian baru boleh buat permohonan cerai.
5. Abai hak isteri
Bila dah kahwin di Siam, tak ada jaminan pun suami tu akan bertanggungjawab berkaitan nafkah dan giliran yang adil untuk berpoligami. Pasangan yang bernikah dalam Malaysia pun ada masalah inikan pula yang bernikah di sana.
Jadi, si isteri ini, jika nak tuntut nafkah diri di Mahkamah, perlu dapatkan pengesahan nikah dahulu. Begitu juga dengan hak bermalam. Ada wanita yang teraniaya dimana suami pernikahan Siam ini tinggalkan terus dan hilang begitu sahaja tanpa nafkah dan sebagainya selepas berjaya melepaskan nafsunya semata-mata.
6. Hak selepas cerai
Jika berlaku perceraian, pastinya ramai wanita yang akan membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan. Selagimana wanita tersebut tidak ada Sijil Perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di Mahkamah.
Banyak wanita yang teraniaya pada isu ini. Sudahlah dipukul, diambil duit dan melahirkan anak tak sah taraf, kemudian bila dicerai atau ditinggalkan, tak dapat pula nak tuntut hak selepas cerai. Tambah-tambah harta sepencarian yang melibatkan hartanah.
7. Pusaka suami
Bila suami tersebut meninggal dunia, pasti akan timbul banyak isu besar kepada pasangan yang bernikah di Siam ini tentang Pusaka. Harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami seperti wang di bank, kwsp, insuran, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya tidak boleh diperolehi sedangkan wanita tersebut memang isteri.
Tapi, disebabkan pernikahan tersebut tidak disahkan oleh Mahkamah , maka, isteri tersebut tidak boleh menuntut pusaka tersebut. Akhirnya semua pusama itu hanya dapat kepada isteri pertama sahaja sedangkan dia juga isteri kedua kepada si mati.
Mungkin ada lagi isu lain yang wujud bila berlaku pernikahan di Siam ini. Tapi, pastinya wanita yang akan menjadi mangsa terbesar lelaki yang memujuk untuk bernikah di Siam. Percayalah, isu sebegini masih terus berlaku disebabkan kita mudah terdorong dengan tipu daya dan hawa nafsu. Jangan mudah termakan dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya akan berlaku adil dan bertanggungjawab selepas balik ke Malaysia.
Berapa ramai dah yang tertipu dek kerana janji tersebut. Kita berharap akan ada kesedaran kepada wanita tentang isu sebegini. Yang menjadi mangsa terbesar adalah wanita. Tolong sampaikan amanat ini pada wanita lain supaya mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI