Tak Ramai Yang Buat Dan Tahu Pentingnya Solat Istikharah Dalam Soal Jodoh

Share

Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.

Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Perlaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah saw. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting. Rasulullah menyatakan;

“Apabila kamu merancang sesuatu perkara, maka dia melakukan solat sunat dua rakaat”.

(Hadis ini direkodkan daripada Bukhari)

Hadis ini hadis umum. Tidak disebutkan hukum wajib melakukan istikharah. Ini terbukti, apabila Rasulullah sendiri, tidak pula melakukan istikharah dalam beberapa hal. Kemudian, tidak pernah direkodkan apabila Rasulullah sudah membuat keputusan, nabi beristikharah lagi.

Istikarah bukan sahaja untuk memilih jodoh

Istikharah ini sebenarnya bukan satu perkara khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ siapa yang menjadi pasangan kita. Istikharah ini adalah apa yang terdidik oleh Rasulullah kepada kita dalam membuat apa-apa sahaja keputusan.

Namun, apabila sesetengah pihak mula mengganggap ia ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya tepat 100 peratus, maka istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Istikharah bukan lagi membantu menenangkan jiwa dan menetapkan hati kita.

Berkait dengan hati

Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ?

Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.

Istisyarah atau mesyuarat

Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya.

Sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.

Sumber : BaitulMuslim

Published by
NanyRahman