Cakap pasal petua, ramai yang memilih untuk tidak percaya. Bukan sebab apa, petua ni perlukan masa untuk menunjukkan hasil dan sedikit leceh. Tak seperti dengan penggunaan produk. Iklan produk pun dah boleh buat anda terpengaruh kan?
Tetapi percayalah, keindahan mengamalkan petua tinggalan orang tua-tua sangat lain serinya. Nak dapatkan sesuatu, kenalah berusaha kan? Ia juga ambil masa kerana kesannya bukan hanya untuk sebulan dua!
Jika anda ingin memiliki wajah yang tampak awet muda, anda boleh mengikuti cara orang-orang terdahulu. Seperti nenek anda, mereka bahkan hingga berumur lanjut masih tetap kuat menjalankan segala aktiviti. Maka anda perlu mengetahui tip daripada mereka.
Selain mengamalkan petua lama, anda juga boleh amalkan pelbagai doa dan zikir untuk awet muda. Jangan mengubah tetapi pelihara dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Yang Maha Esa. In sha Allah jika yakin pada Allah dan pasang niat yang baik, maka baiklah jadinya.
Petua Awet Muda
Petua 1 : Sejurus bangun pagi, sebelum mandi dan gosok gigi, amalkan petua ini. Urutkan wajah dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi dengan selawat Nabi tiga kali. Amalkan urutan ini setiap hari.
Petua 2 : Sejurus bangun pagi sebelum mandi dan menggosok gigi, minum air dan biarkan ia dalam mulut anda selama 10 saat sambil berselawat tiga kali. Kemudian, baharulah anda meneguknya. Air liur mempunyai enzim yang boleh menjadi ubat.
Petua 3 : Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari yang baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Amalkan menanam kuku/rambut yang dipotong atau gugur.
Petua 4 : Semasa berdandan di waktu pagi, bacalah selawat Nabi di kedua-dua tapak tangan dan sapukan ke muka berserta niat dalam hati agar diindahkan wajah anda seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.
Petua 5 : Agar wajah muda daripada umur, amalkanlah petua ini dengan jujur dan ikhlas. Setiap kali selepas solat Subuh, bacalah surah Yusuf, kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja. Wajah anda akan kelihatan muda daripada umur sebenar.
Petua 6 : Hafal ayat 35-38 daripada surah Al-Waqiah. Baca dalam hati setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.
Petua 7 : Amalkan bangun pagi dan mandi embun. Usap embun dari hujung daun pada wajah, rambut dan kulit badan. Khasiat air embun amat banyak. Wajah anda akan berseri dan tubuh badan menjadi sihat serta awet muda.
Petua 8 : Muka kita biasanya akan berminyak selepas bangun dari tidur. Inilah masanya untuk mengamalkan urutan wajah. Gunakan jari telunjuk di kedua-dua belah tangan dan letakkan di bawah mulut (dagu).
Pusingkan jari ke pipi, pipi ke hidung dan seterusnya ke bahagian dahi. Lakukan setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi. Elak mengurut wajah dari atas ke bawah kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan.
Petua awet muda ini hanyalah sekadar perkongsian yang boleh anda amalkan. In sha Allah dengan izin-Nya ia dapat membantu menyerikan wajah dan membuatkan wajah awet muda.
Kredit foto: Instagram Mira Filzah