Persefahaman antara pasangan yang sedang bercinta penting untuk memastikan perhubungan dibina terjalin semakin erat. Antara resipi persefahaman yang paling utama ialah menjadi seorang pendengar yang baik. Tetapi bukan semua mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang pendengar yang berkualiti.
Ramai lelaki ternyata gagal menjadi pendengar yang baik. Apabila pasangan mula meluahkan perasaan atau menceritakan sesuatu, lelaki mula hilang konsentrasi. Apabila ini berlaku, pastinya pasangan anda akan berasa tidak dipeduli, tertekan dan akhirnya perhubungan mula menjadi renggang. Akhirnya mungkin mengundang perpisahan. Jadi, bagi membantu anda untuk menjadi pendengar yang baik dan setia, Pesona Pengantin senaraikan 8 tip penting untuk anda praktikkan.
1) BERI SEPENUH PERHATIAN
Tiada apa yang lebih penting melainkan memberi sepenuh perhatian kepada si dia. Walaupun isu yang dibangkitkan membosankan mahupun tidak relevan, gagahkan diri anda untuk memberikan tumpuan setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya. Hentikan segala apa yang tengah anda lakukan. Contohnya bersms, makan, online atau merokok. Dengarlah dengan penuh teliti.
2) JANGAN MENCELAH
Ini pula merupakan langkah yang wajar anda jauhi. Elakkan dari mencelah sesuka hati ketika si dia sedang asyik berbicara mengenai sesuatu. Jika anda lakukan, pastinya si dia akan lokek, bosan, marah dan sudah pasti anda bukan lagi pilihan untuknya meluahkan apa-apa sahaja. Jadi, elakkan!.
3) BERTENTANG MATA
Ini merupakan tip paling penting untuk menjadi pendengar yang baik. Apabila anda melihat ke arah matanya, secara tidak langsung si dia pasti akan merasa selesa dan seronok untuk meluahkan segalanya kepada anda. Renung sedalam-dalamnya dan mula berikan perhatian.
4) TANYAKAN SOALAN
Untuk menunjukkan bahawa anda kini memberikan tumpuan sepenuhnya, anda bebas untuk gunakan tip ini. Tanyakan soalan, namun soalan yang ditanya perlulah berkaitan, rasional dan munasabah. Jika anda mengajukan apa-apa soalan, si dia pasti tahu yang anda berminat dan akan bertambah ‘mood’ untuk menceritakan dengan lebih lanjut. Sebelum bertanya, biarkan si dia habiskan apa yang ingin dinyatakannya.
5) BERI PENDAPAT BERNAS
Tip ini kadang-kala wajar, namun anda perlu memastikan masa yang sesuai untuk diutarakan. Kadang-kala kita lebih suka memberikan pendapat mahupun pandangan yang tidak rasional, kelakar dan tidak boleh diterima pakai ketika si dia tengah meluahkan sesuatu. Oleh itu, berfikir dahulu sedalam-dalamnya. Jika pendapat atau cadangan yang anda berikan bernas, itu cukup baik. Jika tidak? Silap-silap anda ditempeleng.
6) EKSPRESIKAN EMOSI
Wajar untuk anda lakukan. Ketika si dia sedang meluahkan, selang-selikan dengan mood dan emosi mengikut kesesuaian jalan ceritanya. Jika hal yang dibincangkan itu menyedihkan, mainkan emosi anda mengikut mood yang bersesuaian. Anda tidak perlu berpura-pura atau mengajuk-ajuk dengan ekspresi yang menjengkelkan. Be natural and don’t be stone!
7) ULANG LUAHANNYA
Selain mengajukan soalan dan pendapat, langkah lain yang boleh anda cuba ialah mengulangi apa yang sedang dibicarakan. Anda harus kreatif. Sudah pasti anda tidak mahu dianggap bodoh kerana tidak berupaya memahami apa yang disampaikan bukan? Jadi, selepas si dia cakap, luahkan balik apa yang dibicarakannya sambil memberikan pandangan atau cadangan. Perkara ini penting untuk memastikan si dia sedar anda betul-betul berminat dengan apa yang ingin disampaikan.
8) JANGAN KATA APA-APA
Sekiranya topik luahan perasaan itu punya kaitan dengan anda, lebih baik anda berdiam diri dan dengar penuh teliti . Dengar apa saja yang si dia katakan dan beri respon apabila dia inginkan jawapan. Biarkan si dia luahkan segala yang terbuku. Dengan cara sebegini akan membuatkan si dia lebih reda dan tenang kerana perasaan marah itu akhirnya berjaya dikeluarkan. Ingat! Jangan tambah kemarahan atau kepedihan hatinya.
Tip Cinta
-Wanita akan merasakan dirinya disayangi dan diutamakan apabila luahan perasaannya didengari oleh pasangan.
-Jadilah pendengar yang baik, kerana itu salah satu resepi untuk membina sebuah percintaan yang bahagia dan kekal untuk selamanya.
-Jangan sesekali membuat lawak atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya ketika si dia meluahkan sesuatu. Nampak seperti anda tidak matang dalam perhubungan malah sebagai teman lelakinya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI