Tak Tahu Nak Pilih Bunga Apa Untuk Gubahan Hantaran, Ini Cara Paling Selamat & Bajet!

Share

Ada pasangan yang nak berkahwin sebolehnya cuba untuk mengeluarkan perbelanjaan paling minimum. Pada waktu penularan wabak macam ni, ramai juga yang memilih untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan. Untuk lebih menjimatkan, ada yang gigih menyiapkan semuanya sendiri, dari gubahan hantaran, pelamin dan baju persandingan.

 

Yang mana boleh buat kerja-kerja kreatif, memang seronoklah menggunakan skil yang ada tapi buat anda yang tidak mahir, mungkin kami boleh kongsikan sedikit sebanyak tip untuk anda DIY gubahan hantaran.

 

Terfikir untuk gubah hantaran sendiri? Nampak macam susah tetapi ada banyak perkongsian terutamanya dari Pesona Pengantin yang boleh anda jadikan inspirasi. Layari sahaja laman web, Facebook, Youtube dan Instagram Pesona Pengantin untuk ‘curi’ ilmu tu.

 

Ok, asas untuk membuat gubahan hantaran adalah dengan mencari bunga-bungaan yang sesuai. Kalau anda mahukan jenis-jenis bunga eksklusif seperti lily atau hydrangea, anda boleh ke kedai-kedai pemborong bunga yang terdapat di Petaling Street Kuala Lumpur. Harganya jauh lebih murah dan segar!

 

Jenis-jenis bunga yang sering menjadi perhatian bakal pengantin, penggubah bunga, penggubah hantaran dan perancangn perkahwinan adalah bunga hydrangea, ros dan lily. Gabungan ketiga-tiga bunga ini sangat eksklusif. Lihat sahajalah hasil gubahan pereka fesyen terkenal tanah air, Man Kajang yang turut membuat gubahan hantaran. Cantik kan?

 

 

Hydrangea

Bunga hydrangea bermaksud mengungkapkan rasa syukur dan tulus sepenuh hati seseorang itu.

 

Cara penjagaan: Nak pastikan bunga ini sentiasa dalam keadaan segar, anda perlu membiarkan bunga ini di dalam bilik berhawa dingin. Jangan sesekali membiarkan kelopak bunga ini terkena air kerana ia sangat sensitif. Kena angin kuat pun tak boleh tau!

 

Ros atau mawar

Bila bercakap mengenai ros, semua orang tahu bunga ini mempunyai makna yang sangat kuat dalam perhubungan. Ros merah, merah jambu, putih dan ungu adalah gabungan rasa cinta, sayang, ketulusan hati dan kemegahan.

 

Cara penjagaan: Sewaktu membeli bunga ros, pilih bunga yang kelopaknya masih di dalam plastik. Selepas menggubah, jangan terus dibukakan plastik tersebut kerana kita tidak mahu bunga ros menjadi terlalu kembang. Biasanya, gubahan hantaran akan dibuat pada malam sebelum hari bahagia. Keesokkan harinya, baharulah cabut plastik bunga agar ia tetap segar. Pastikan juga anda gunakan semburan air dan gubah di atas span yang sudah dibasahkan.

 

Lily

Bunga lily putih misalnya menunjukkan kesucian, kemurnian, ketulusan dan kemuliaan. Manakala lily kuning pula menunjukkan perasaan bahagia seseorang.

 

Cara penjagaan: Bunga lily tidak boleh dibiarkan di kawasan yang panas dan kering. Pastikan anda meletakkan bunga ini di dalam bilik yang berhawa dingin. Buangkan dedaun yang berlebih pada batang bunga lily agar ia tidak terlalu terhidrat. Biasanya bunga lily hanya digunakan sebagai pelengkap gubahan. Jadi, apabila selesai menggubah bunga-bunga lain, barulah anda mencucuk bunga lily pada gubahan. Jangan lupa semburkan air!

Published by
Anis Nor