Takut Hidup Makin Derita, Elak Dekati Lelaki Dengan 7 Ciri-Ciri Kuat Mengongkong Ini

Share

Pasangan yang kuat cemburu pastinya merimaskan dalam perhubungan yang dijalinkan. Namun, ada satu lagi perkara yang tidak disukai dalam hubungan cinta iaitu suka mengongkong. Belum ada ikatan yang sah tapi ada hati nak mengongkong hidup pasangan.

Sikap lelaki yang suka mengongkong secara keterlaluan akan menyebabkan pasangan cepat bosan dan hubungan anda tidak kekal lama. Bagi wanita, sikap ini harus dibuang agar hubungan yang dibina lebih harmoni dan sejahtera.

Oleh itu wahai wanita, pastikan anda elak 7 ciri-ciri lelaki yang kuat mengongkong ini agar hidup anda tidak menderita.

1. INGIN TAHU SEMUA PERKARA

Apa juga yang anda lakukan perlu mendapat kebenaran dan di dalam pengetahuannya. Rahsia bukan kegemarannya. Jika dia tahu anda berbohong, dia akan merungut dan menganggap anda tidak menyayanginya. Dia akan mempersoalkan kesetiaan anda kerana dia sendiri tegar memberitahu anda kata laluan untuk akaun bank serta laman sosial seperti Twitter atau Facebook.

2. MERENDAHKAN KEBOLEHAN ANDA

Walau apapun yang anda lakukan, semuanya tidak sempurna. Dia tidak ingin anda terlalu bangga dengan pencapaian yang dilakukan. Dia lebih senang jika anda meminta pertolongannya, sekali gus menjadikan dia dominan dalam perhubungan ini. Biar tanpa bahasa yang kasar, namun ia mengurangkan keyakinan diri dan menjadikan anda beranggapan hidup tanpanya adalah mustahil.

3. CEMBURU BUTA

Tidak salah cemburu. Namun jika cemburu pada perkara yang tidak sepatutnya, ia hanya mengundang rimas dalam jiwa. Ia buat anda rasa tertekan. Cinta seharusnya merapatkan hubungan antara manusia. Namun, jika kekasih anda lebih tegar memiliki diri anda seorang diri dan menjauhkan anda daripada keluarga dan rakan tersayang, ini menunjukkan dia adalah lelaki yang suka mengongkong.

4. TIADA KEYAKINAN DIRI

Panas hatinya melihat anda keluar bergaya. Lelaki yang suka mengongkong kebiasaannya rasa rendah diri dengan diri sendiri lalu melarang anda untuk bergaya dan bersolek walau senipis mungkin kerana dia tidak mahu lelaki lain memandang atau bercakap mengenai dirinya yang tidak secocok apabila jalan beriringan dengan anda.

Jika anda ada kekasih begini, tidak semestinya anda perlu terus menolak dia dari hidup anda. Sementelah dia bukan menggunakan kekerasan terhadap anda, apa kata beri peluang untuk dia berubah. Bawa berbincang dan minta dia memahami situasi diri anda. Sayangilah manusia berpada-pada, khuatir jika terlalu berlebihan ia akan merosakkan diri sendiri dan orang yang disayangi.

5. MENYEKAT KEBEBASAN

Bukan hanya disekat kebebasan untuk anda keluar bergembira bersama rakan-rakan, malah dihalang daripada menyuarakan pendapat dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Setiap minit perlu bersama si dia dan anda tidak digalakkan untuk berjaya di atas kaki sendiri. Segala keputusan hanya dia yang perlu lakukan tanpa mengambil kira apa yang anda inginkan. Bukankah ia membebankan jiwa dan raga?

6. TIDAK BOLEH BERGEMBIRA TANPANYA

Hatinya jadi resah bila mengetahui anda sedang menikmati saat gembira bersama rakan-rakan tanpa dia di sisi. Jika boleh, dia ingin menjadi yang pertama membuat sesuatu perkara yang baharu bersama anda. Bila ditanya mengapa muka masam mencuka, dia memberi alasan bertentangan dan menyalahkan anda kerana menyebabkan harinya tidak gembira.

7. BERLAINAN PRINSIP

Dia menyekat anda daripada bertemu rakan-rakan atau bergembira bersama, namun tidak untuk dia. Jika anda langsung tidak boleh bertemu rakan-rakan lelaki, dia boleh keluar bersama rakan wanitanya untuk makan tengah hari. Dia membuat peraturan berat sebelah yang kesemuanya hanya memihak kepada dia.

Published by
Fadhli Ismail