Secara tiba-tiba ibadah yang dilakukan tidak lagi dia merasa nikmat indah seperti sebelumnya. Jika sebelum ini solat yang dilakukan membuatkan dirinya berasa tenang dan lapang, namun kini ia seolah-olah tidak begitu berbekas di dalam hati malah seperti kosong dan sepi.
Untung jika kita menyedari sedari awal akan keadaan itu. Inilah sebenarnya hikmah muhasabah diri agar kita selalu boleh mencari jalan memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t. Berikut adalah beberapa tips bagi mengekalkan nikmat beribadah untuk diusahakan:
.
1- Berusaha Bersungguh-sungguh Untuk Taat Kepada Perintah Allah
Memang adakalanya perasaan menjauh ada mengusik jiwa. Justeru, penawar terbaiknya adalah berusaha melawan dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan perintah Allah. Paksa diri melakukan amal ibadat dengan penuh kesabaran serta yakin dengan janji Allah kepada orang-orang yang bertakwa.
2- Menjauhkan Diri Dari Dosa
Tidak kira sama ada ia dosa kecil atau pun besar, elakkan daripada menjerumuskan diri dalam perkara yang mengundangnya. Dosa memberi kesan kepada hati di mana hati menjadi keras, kasar dan kosong. Maka, semakin banyak ia menakluki diri, dosa menghilangkan ketenangan, kemanisan iman dan seterusnya nikmat dalam melakukan amal ibadat. Lama-kelamaan, kita juga kehilangan cinta Allah s.w.t.
3- Menjadi Manusia Berakhlak Mulia
Perbuatan yang dilakukan walaupun makan, minum dan bercakap, hendaklah tanpa berlebih-lebihan. Nafsu tidak akan kenyang, maka latihlah diri untuk bersederhana dalam perbuatan kerana berlebih-lebihan itu tidak disukai Allah. Kita mestilah menjaga setiap kalimah yang keluar dari bibir. Pastikan kita mengucapkan kata-kata yang baik sahaja.Jaga hati agar tidak terlalu membenci atau terlalu ghairah dalam hal-hal duniawi.
.
4- Menjadikan Ibadat Sebagai Jalan Mendekati Allah
Kita hidup di dunia untuk menyembah Allah. Tujuan ibadah kita adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata. Setiap kali kita melakukan amal ibadat, niatkan ia untuk mendapatkan cinta Allah s.w.t. Sebagai ganjarannya, Allah amat menyayangi hambaNya itu sehingga Dia membimbingnya dalam setiap urusan hidup makhluknya. Hidup yang paling bernilai adalah apabila semuanya berada dalam petunjukNya.
5. Meyakini Bahawa Ibadat Bernilai Di Dunia Dan Akhirat
Segala apa yang dilakukan di dunia ini akan menjadi bekalan di dunia dan akhirat. Maka tiada satu pun yang dilakukan adalah sia-sia melainkan semuanya memberi nilai.
Allah menjanjikan balasan buat setiap satu amalan. Jika kita berpuasa, solat, bersedekah, menjaga lidah dan hati, dan sebagainya, maka kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Jika kita melanggar perintah Allah, tempatnya adalah neraka. Maka tiada satu pun yang kita lakukan yang tidak akan menghasilkan sesuatu.
Daripada Anas bin Malik r.a, bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”
Riwayat Muslim
Sumber: tazkirah.net
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI