Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang… (ar-Rum: 21)
Bagaimanapun, pada 22 April lalu, kisah ustaz selebriti, PU (Pencetus Ummah) Abu atau nama sebenarnya, Mohammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi, 25 mengesahkan telah menceraikan bekas isterinya, Ain Afini Latif, 22, ketika wanita itu sedang sarat hamil tujuh bulan pada Mac lalu agak mengejutkan.
Islam benarkan perceraian apabila tidak ada lagi persefahaman antara suami isteri dan bahagia sudah hilang. Cuma umumnya, talak ini adalah benda yang menyakitkan. Yang biasa menjadi mangsa adalah isteri dan anak-anak. Lebih memilukan jika talak ‘dilafazkan’ melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp atau media sosial. Syukurlah, PU Abu mengakui kesilapannya menceraikan isteri yang sedang hamil. “Saya memohon maaf di atas kesalahan menceraikan isteri ketika mengandung dan amat menyesali keterlanjuran dilakukan,” katanya.
Talak akan jatuh jika dilafaz oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas) sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Pendek kata, talak akan jatuh sama ada disebut ketika normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak dan rujuk. (Riwayat Abu Daud)
Namun demikian, keterlanjuran yang berlaku itu sedikit sebanyak memalit imej negatif kepada golongan ustaz. Sebabnya, sebagai golongan agamawan, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Tanggapan masyarakat umum. ustaz patutnya lebih berhikmah dan tebal sabarnya. Ini termasuklah bab talak.
Dalam bab ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-55 yang bersidang pada 27 Julai 2003 telah membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian melalui SMS sebagaimana berikut:
i) Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimile, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak berbentuk kinayah dan sah jika disertai dengan niat.
ii) Semua perceraian perlu dikemukakan ke Mahkamah Syariah untuk mensabitkan talak tersebut.
iii) Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah perceraian yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan oleh syarak.
Kepada sang suami, kenanglah saat-saat manis dan episod indah bersama isteri supaya jika berlaku perceraian ia dilakukan secara baik dan gentleman sebagaimana saat indah anda menyunting gadis tersebut untuk memperisterikannya dulu.
Majoriti ulama mengharuskan talak semasa isteri sedang hamil. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Dari Ibnu Umar r.a bahawa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khattab r.a menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar al-Khattab r.a: “Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar) supaya kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil.” (Sahih Muslim 1471)
Cuma sebagai insan yang ada hati dan perasaan, isteri yang hamil menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Janganlah menambah kekusutan fikiran si isteri.
SUMBER : UTUSAN
OLEH : Mohd. Radzi Mohd. Zin