Jodoh adalah misteri yang ditentukan tuhan. Ia melibatkan adanya kesamaan antara dua insan yang punya ikatan emosi, spiritual dan fizikal untuk hidup bahagia bersama. Walaupun mungkin anda tidak dapat mengungkapkan misteri itu, namun sekurang-kurangnya anda mampu melihat tanda-tanda bahawa dia pilihan tepat untuk anda.
Oleh itu, perlu untuk anda ketahui tanda-tandanya sebelum anda memastikan dia jodoh anda. Apabila masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan benarlah dia insan yang ditakdirkan untuk hidup bersama anda, jangan sesekali pula anda melepaskan.
“Jangan takut untuk jatuh cinta. Percayalah, ada seseorang yang akan hadir dalam hidupmu, mengubah segalanya dan membuatmu tertawa bahagia…”
1. Terima anda seadanya
Apapun anda sebelum ini atau apa yang pernah anda lakukan dahulu, dia langsung tak ambil kisah kerana yang penting siapa anda sekarang. Dia sedar bahawa setiap manusia ada kelemahan dan keburukan masing-masing. Malah siapalah dia yang ingin menghukum anda atas kelemahan anda itu.
2. Bersahaja di depan anda
Dia tidak berpura-pura menjadi orang lain, bahkan selesa menjadi dirinya sendiri dan bersikap bersahaja di depan anda. Jika anda amati tingkah laku, cara pertuturan, caranya makan dan sebagainya yang menunjukkan sikapnya yang dibuat-buat atau pelik, sah dia berlakon di hadapan anda. Tapi jika dia tampil bersahaja maka benarlah dia calon hidup anda yang tepat.
Ads
3. Rasa senang apabila bersamanya
Bukan hanya dirinya, malah apabila berada di sampingnya anda tidak akan rasa jemu. Ini menandakan yang anda miliki kesamaan dengannya. Apabila ada daya tarikan antara anda berdua secara automatiknya akan muncul perasaan tenang, gembira dan rasa tidak tertekan apabila bersama. Malah kehadirannya dalam hidup anda menjadi pengubat ketika anda senang mahupun susah.
4. Sentiasa jujur dengan anda
Kejujuran merupakan kunci utama dalam membina sebuah hubungan. Selagi kejujuran bertakhta di hati, kebahagiaan akan menjadi milik anda berdua. Dengan adanya sikap jujur, hubungan yang terjalin antara anda berdua akan menjadi lebih ikhlas. Namun jika anda miliki pasangan yang tidak jujur maka akan wujud kecurangan dalam hubungan. Sebaiknya gabungkan sikap jujur dan kesetiaan bagi menghangatkan lagi sebuah percintaan yang sejati.
5. Memahami diri anda
Dia hendaklah sentiasa memahami diri pasangannya dan berada bersama anda dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang. Apabila anda hadapi kesulitan, dia berusaha untuk menghulurkan bantuan dan menjadi penawar pada kesulitan yang anda hadapi. Bukan itu sahaja, dia juga sanggup mengharungi ranjau duri yang anda berdua hadapi dalam hubungan.
Ads
6. Tidak malu tampilkan kelemahannya
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini jadi tidak hairanlah jika kita punya kelemahan tertentu. Apabila dia ditakdirkan untuk menjadi pasangan anda, dia tidak akan pernah menutup kelemahan yang dimilikinya serta bersedia memberitahu anda mengenainya. Memang benar, bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan otang yang dicintai. Namun yang baiknya apabila anda berdua tahu kelemahan masing-masing, maka dari situ anda berdua boleh berusaha untuk membaiki kelemahan tersebut menjadi lebih baik.
7. Saling mempercayai antara satu sama lain
Dalam sesebuah hubungan, penting anda dan pasangan miliki sikap saling mempercayai antara satu sama lain. Ia penting bagi mengelakkan timbul rasa ragu-ragu antara anda dan pasangan. Malah apabila ada sikap percaya, hubungan yang dibina akan menjadi lebih tulus. Apabila anda berdua saling mempercayai, pastikan anda berdua akan rasa selamat memberitahu apa jua rahsia kerana anda berdua tahu rahsia itu akan tersimpan kemas dalam diri masing-masing. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.
8. Dia menginspirasikan anda menjadi lebih baik
Kehadirannya dalam hidup anda membuatkan anda sentiasa rasa bersemangat. Sokongan positif yang sentiasa didorongkan kepada anda membuatkan anda ingin menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Hubungan yang saling menyokong antara satu sama lain ini bakal menjadikan hubungan anda berdua lebih berjaya di masa akan datang.
Ads
9. Orang sekeliling menerimanya dengan tangan terbuka
Apabila keluarga terutamanya orang tua dan kawan-kawan anda boleh menerima kehadirannya, itu petanda dia jodoh anda. Sudah tentu kehadirannya disenangi oleh orang penting yang ada di sekeliling anda. Penerimaan keluarga dan kawan-kawan anda itu sebagai bukti bahawa mereka yakin dia boleh memberikan kebahagiaan kepada anda hingga akhir hayat.
10. Dapat membayangkan masa depan bersamanya
Apabila anda sudah boleh membayangkan masa depan anda untuk hidup bersama dengannya, memang dialah jodoh anda. Biasanya kalau sesebuah hubungan itu dijalin secara serius, pasangan anda tidak ragu-ragu untuk membincangkan tentang masa depan misalnya tentang tarikh untuk berjumpa orang tua anda, merisik, bertunang dan berkahwin.
11. Dengarkan kata hati
Dengarlah kata hati anda saat anda ingin membuat keputusan untuk hidup bersama seseorang. Manusia dikurniakan Allah dengan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangan. Dengan deria ini anda akan saling mengetahui perasaan, membaca fikiran dan dapat menduga reaksi serta tindak balas pada situasi tertentu. Apabila ada keyakinan dengan pilihan anda, berdoa dan berserahlah pada ketentuan Ilahi agar jodoh yang ditakdirkan ini tepat untuk anda.
12. Lakukan solat Istikharah dan bertawakal
Jodoh dan pertemuan merupakan ketentuan Allah SWT. Jika dia pilihan anda, buatlah keputusan dengan sebaiknya. Namun jika dia bukan jodoh anda, tolaklah dia dengan sebaiknya. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada-Nya. Teruskan berdoa dan lakukan solat Istikharah agar anda diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang sebaiknya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tersenyum bila orang menyapa wanginya, “you pakai minyak wangi apa?”. Tiap hari datang wangi je, bau you pun melekat bila you pergi. Perlu faham apa sebenarnya perkataan wangi itu ye? Tidak perlu sembur minyak wangi bergelen-gelen untuk wangi semalaya. Malahan anda akan membuat orang sekeliling anda berasa loya dan pening dengan bau minyak wangi anda yang kuat dan bukan lagi wangi tapi perit untuk menghidunya.
Cuba anda fikir kalau tetiba anda lupa hendak menyembur wangian atau minyak wangi habis tak sempat nak beli. Apa langkah anda perlu lakukan? Pasti rasa tak selesa pada sepanjang hari tu kan. Mudah sahaja amalkan langkah di bawah ini untuk anda tampil lebih baik dan sempurna sepanjang hari dengan bauan yang menyenangkan.
Pakai pakaian yang dah berbasuh, jangan pakai baju kitar semula. Walaupun anda rasa pakai baju tu semalam sekejap sahaja tapi bau peluh ada jugak melekat berserta habuk dan debu yang memang tidak nampak.
Masa membasuh baju guna sabun yang wangi dan letak pelembut kain yang macam-macam brand anda boleh dapati di luar sana. Pasti 100% bertambah-tambah la wangi pakaian anda dan baju anda pun terjaga.
Ini perkara wajib. Pastikan bilik atau ruang dalam rumah anda sentiasa harum dan menyenangkan. Kadang-kadang kalau anda tidak sempat hendak sembur miyak wangi, bilik anda dan ruang dalam kediaman yang tersedia wangi itu dapat membantu apabila baunya melekat pada baju anda dengan secara tidak langsung.
Cuba titiskan sedikit minyak wangi dalam mandian.
MANDI la hari-hari, syampu rambut 2 atau 3 hari sekali. Sekarang pun dah ada syampu rambut yang boleh guna tiap hari. Kalau cuci rambut tiap hari lagi bagus.
Rajin-rajin la wanita di luar sana yang baru nak bernikah ni, sapu losyen badan lepas mandi dan juga kerap-keraplah sapu losyen pada kulit anda agar sentiasa lembut dan berbau harum yang menenangkan.
Istimewanya tip di atas, hanya orang yang dekat dengan anda sahaja dapat bau kewangian anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Antara tanggungjawab penting yang suami perlu jaga adalah bab pemberian nafkah. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri meskipun isteri bekerja. Jadi jumlah nafkah tersebut terpulang kepada hasil perbincangan suami isteri. Isteri perlulah juga bertimbang rasa seandainya nafkah yang diberi tidak mencukupi.
Perkongsian menarik ini sangat memberi inspirasi. Idea dari Maryam Elyas boleh anda praktikkan bersama suami.
Antaranya firman Allah:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Sebak rasa bila benda ni sampai kat tangan. Sebak sebab inilah hasil menabung nafkah duit selit yang suami bagi.
Sikit, sikit, CikYam simpan. Nafkah CikYam bukan dapat selepuk. CikYam kumpul dengan penuh kesabaran. Bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi makan tahun weh!
Orang lain mungkin boleh tergerak hati nak beli, terus beli. CikYam tak macam tu. Bukan orang senang. Rezeki masing-masing, kan? CikYam menabung hasil Mr Mama niaga burger dan buat servis angkut sampah.
Serius, bukan nak menunjuk. Just nak share inspirasi menabung nafkah duit selit. Kalau kira mampu ke tak, memang CikYam sikit pun tak mampu beli emas. Mr Mama pun takkan mampu belikan CikYam rantai impian.
Last CikYam gi kedai emas masa nak kahwin. Lepas tu, emas takde dalam kamus hidup sebab mahal. Tapi hari ni dapat emas. Macam mana orang miskin macam CikYam ni boleh beli emas? Kuncinya kat sini, simpan duit. Paksa diri simpan duit. Kalau tak simpan, duit nafkah tu pun tak nampak ke mana perginya.
Lepas dah sampai satu amaun duit yang disimpan, CikYam survey harga emas kat kedai, masih mahal. Tengok harga segram, macam nak pitam. Ada upah pulak.
Dengan duit nafkah selit ni, CikYam peratikan purata sebulan CikYam boleh dapat 1 gram emas. So CikYam target, sampai je simpanan ni kat berat emas yang CikYam nak, CikYam akan beli.
Tapi CikYam masih nak berjimat. Belek fb, jumpa dengan cara penjimatan beli emas harga kilang.
Inilah hasilnya selepas lebih setahun menabung nafkah duit selit yang Mr Mama bagi setiap hari. Sikit, sikit, lelama dapat emas. Mujur la ada emas harga kilang. CikYam dapat emas lebih murah berbanding kat kedai.
TQ abang. Alhamdulillah dapat rantai hari ni.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keluarga adalah teras dan asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia. Jika hubungan keluarga sudah berantakan, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami. Jangan harap seseorang mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpin orang rumah.
Apabila berbicara tentang perkahwinan semua menganggapnya indah, namun sedarkah mereka dalam sesebuah perkahwinan ada turun naiknya. Ini pesanan buat ketua rumah tangga, dan imam buat keluarga oleh Pahrol Mohamad Juoi.
Sebuah rumah tangga juga bolehlah diumpamakan sebagai sebuah kapal yang sedang belayar. Suami ialah nakhodanya. Peranan nakhoda sangat penting kerana dia bukan sahaja perlu memastikan keselamatan para penumpang tetapi pada masa yang sama dia perlu memastikan kapal yang dikemudikannya itu sampai ke matlamat. Begitulah suami, dia mesti menyelamatkan isterinya daripada kesengsaraan hidup dunia sekali gus mencapai keredaan Allah di akhirat.
Rasulullah SAW berpesan terus kepada suami: ”sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin) yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infra struktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggung-jawab paling asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga.
PENUHI 4 KEPERLUAN ISTERI
Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan isterinya.
Pertama- keperluan fizikal dan material, seperti soal makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini merupakan keperluan paling asas. Selagi keperluan ini dipenuhi, maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.
Kedua- keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya ilmu fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain. Adalah menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengamalan nilai-nilai mulia pada diri (adab & akhlak).
Ketiga – keperluan emosi. Seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada isterinya. Untuk membina dan mengekalkan kasih sayang, maka suami harus menjadi pendengar yang baik pada isterinya. Ingatlah, tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik ialah seorang pendengar yang baik.
Keempat- keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada keperluan seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama dibandingkan keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang dipentingkan hanyalah keperluan fizikal dan akal semata-mata.
Islam juga sangat mementingkan persoalan ini berdasarkan perintah Allah dalam Al Quran:“Wahai orang yang beriman, selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada azab api neraka.”
Ada suami yang bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal isteri dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas suami dengan baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah suami yang baik kerana mengabaikan keperluan emosi dan hati isteri. Sebab itulah tidak hairan jika kita dapati ramai isteri yang tertekan emosi dan terdera jiwanya kerana rohani mereka kosong, tidak pernah terisi.
KAHWIN BUKAN UNTUK SERONOK
Perkahwinan bukan hanya hubungan badan, tetapi merupakan hubungan fikiran, perasaan dan hati antara suami isteri. ‘Orang rumah’ bukanlah wanita yang hanya tinggal serumah tetapi sama-sama mendirikan sebuah rumah tangga.
Suami seharusnya sentiasa ingat, isterinya adalah seorang wanita yang telah meninggalkan ibu, bapa dan seluruh anggota keluarganya untuk hidup bersama kita. Untuk mendapat haknya yakni kesetiaan dan kepatuhan, seorang suami perlulah terlebih dahulu menunaikan hak isterinya.
Ingatlah, sukar bagi seorang suami ke syurga sekiranya isterinya tidak ikut serta. ‘Lesen’ seorang suami ke syurga hanya dapat dimilikinya setelah dia ditanya tentang segala tanggungjawabnya melindungi, memimpin dan menyayangi isterinya.
Ayat Quran yang berbunyi, “selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka” sesungguhnya ditujukan untuk pertama dan paling utama ialah kepada para suami!
Sumber : JK PEKA IKRAM
Kredit foto: Instagram Oktovia Manrose dan Uqasha Senrose
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!