Tangani Rasa Cemburu Dengan Baik, Barulah Hubungan Jadi Mesra

Share

Cemburu adalah lumrah dalam kehidupan suami isteri dan kebiasaannya wanita yang banyak dikaitkan dengan sifat sedemikian. Bagaimanapun, tidak semua sifat cemburu mendatangkan keburukan dan boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga.

Menjaga perasaan pasangan satu daripada sunah Rasulullah SAW dan Baginda memberi garis panduan termasuk menangani rasa cemburu. Caranya, sentiasa menerapkan sifat sabar melayan kerenah isteri dan mengalah demi menjaga perasaan mereka.

Isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah RA tidak terlepas menzahirkan perasaan cemburu dan Baginda menangani situasi itu dengan penuh hikmah.

Pendakwah Muhammad Luqman Makhtar, berkata cemburu sebenarnya sifat semula jadi manusia yang diiktiraf bahkan dipuji dalam agama, bahkan Allah SWT menisbahkan sifat cemburu pada zat-Nya.

Beliau berkata, jika difahami kepentingannya, sikap cemburu boleh berperanan dalam memelihara kehormatan diri dan ahli keluarga, mengagungkan syiar Allah SWT, menjaga batasan agama serta membela hak orang lain.

“Cemburu menurut agama adalah perasaan iri atau terasa hati terhadap seseorang berkaitan haknya. Perbuatan salah atau keterlanjuran yang lahir daripada sikap cemburu dimaafkan selagi tidak menzalimi orang lain,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dengan merujuk kisah Aisyah RA yang pernah memecahkan pinggan milik madunya, Zainab Jahsy, yang menghantar makanan kepada Rasulullah SAW disebabkan perasaan cemburunya.


.

Dalam satu riwayat menyebut: “Nabi pun meletakkan semula makanan di atasnya. Baginda bersabda: Puan kamu tengah cemburu. Makanlah! Maka sahabat pun makan.” (HR Bukhari)

“Ketika kejadian ini berlaku, ramai sahabat berkumpul bersama Rasulullah SAW di rumah Aisyah RA. Walaupun perbuatan Aisyah itu tidak manis, namun Baginda tidak bersifat menghukum sebaliknya menjaga air muka Aisyah.

“Sabda Rasulullah SAW ‘puan kamu cemburu’ adalah permohonan maaf bagi pihak isterinya dan melalui cara itu Baginda menjelaskan lumrah sifat cemburu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Muhammad Luqman berkata, dalam kalangan ulama yang mentafsirkan hadis ini turut menerangkan tidak dihukum orang yang sedang cemburu atas tindakannya kerana ketika itu akalnya sedang terhalang disebabkan dibelenggu sifat marah.

Justeru, beliau menasihatkan setiap pasangan untuk mengenali serta memahami personaliti masing-masing sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menyedari sifat cemburu Aisyah berbanding isterinya yang lain.

Katanya, suami isteri yang saling memahami dengan mengamalkan sikap tolak ansur akan dapat menangani krisis rumah tangga lebih baik. Pasangan yang mengikut sunah bukan sahaja boleh bergurau ketika ceria, juga boleh bersabar dan saling memaafkan ketika krisis.

Daripada Ibnu Mas’ud, katanya: “Sungguh Allah sudah tetapkan rasa cemburu pada wanita. Sesiapa yang bersabar dengan mereka baginya pahala orang seorang mati syahid.” (Fath al-Bari)

Bagaimanapun, menurut Muhammad Luqman, terdapat sifat cemburu yang tercela dan perlu dielakkan bagi memastikan keharmonian dalam rumah tangga terutama cemburu yang mengakibatkan perbuatan menzalimi pasangan.

“Cemburu membuta tuli yang sering kali berlaku, biasanya pasangan tidak mahu mendengar penjelasan atau menerima kebenaran. Oleh itu, perlu tahu cara mengawal rasa cemburu supaya tidak menimbulkan kemudaratan,” katanya.

Beliau berkata, perasaan cemburu bukan sebab pasangan tidak bahagia kerana ia bergantung kepada bagaimana mengendalikan hak, perasaan dan kebajikan pasangan supaya tidak timbul konflik dan munculnya cemburu yang tidak sihat.

“Seharusnya kita bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan pasangan hidup. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah SAW menyantuni, melayani dan menjaga setiap isterinya walaupun terpaksa berdepan pelbagai kerenah mereka.

“Sebaiknya ambillah pedoman dan teladan daripada rumah tangga Rasulullah SAW kerana melaluinya dapat kita mengetahui cara Baginda mendekati isteri-isterinya dengan penuh berhikmah.

“Walaupun kita merasakan keserasian dengan pasangan di tahap yang terbaik, namun realitinya sukar untuk lari daripada berlakunya salah faham dalam rumah tangga yang perlu ditangani mengikut kaedah dianjurkan Islam,” katanya.

Published by
Anis Nor