Tanggung Jawab Jaga Mak Ayah

Ramai lepas tangan bab tanggung jawab jaga mak ayah selepas sudah sah jadi milik orang. Ada yang tolak pada anak lelaki sahaja dan begitu juga sebaliknya.

Hakikatnya anak perempuan atau anak lelaki, kedua-duanya punya tanggung jawab untuk menjaga ibu bapa. Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah tanggung jawab anak-anak.

Tanggung Jawab Jaga Mak Ayah

Tanggung Jawab Jaga Mak Ayah, Lepas Kahwin Pun Kena Fikir Soal Ini

Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggung jawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung, bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan.

Bukan anak lelaki sahaja perlu dipertanggung jawabkan menjaga ibu bapa yang sakit. Malah kerana tanggapan ‘wajib’ itu, tugasan berkenaan diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya yang sama sekali tidak benar.

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Pakar motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata hukum menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki, bahkan anak perempuan.

Seandainya ibu bapa kandung isteri uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya, suami tidak boleh menghalang sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan serta kebajikan mentua.

Sama-sama Jaga Mak Ayah

Tanggung Jawab Jaga Mak Ayah, Lepas Kahwin Pun Kena Fikir Soal Ini

Apabila perempuan berkahwin, memang isteri dan segala dibawa adalah di bawah tanggung jawab suami termasuk nafkah ibu bapa isteri sekiranya mereka dalam kalangan orang miskin atau memerlukan bantuan perubatan. Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya.

Bayangkan sekiranya anak lelaki sahaja dituntut menjaga ibu bapa, mungkin ramai dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin mengabaikan orang tua mereka.

Di sinilah ditunjukkan pembelaan Allah SWT terhadap ibu bapa yang tidak berbelah bahagi dan saksama kerana tidak mengira sama ada kewajipan menjaga ibu bapa kandung atau mentua.

Suami yang menghalang isteri menjaga ibu bapanya apatah lagi dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, ini bermakna golongan itu memutuskan hubungan ibu bapa dan anak yang hukumnya jelas haram.

Hukum Isteri Yang Tak Benarkan Jaga

Tanggung Jawab Jaga Mak Ayah, Lepas Kahwin Pun Kena Fikir Soal Ini

Begitu juga dalam situasi suami ingin menjaga ibu bapanya yang sakit, jatuh hukum haram kepada isteri yang tidak membenarkannya. Namun, keadaan berbeza bagi menantu perempuan yang tidak diwajibkan menjaga ibu bapa suami yang sedang sakit.

Tanggung jawab menjaga ibu bapa suami yang sakit terletak sepenuhnya kepada tangan suami tetapi boleh berbincang dengan isteri atau jika mampu sediakan pembantu rumah bagi meringankan tugasan isteri.

Mengikut hukum, isteri wajib diberikan upah jika suami ingin pasangan menjaga ibu bapanya yang uzur. Jadi masyarakat tidak boleh melabelkan menantu perempuan yang menolak menjaga mentua sebagai kejam atau tidak berhati perut kerana ini hukum asas dalam agama.

Amat pelik bagi sikap sesetengah pasangan suami atau isteri yang sengaja tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing.

Bila Diuji Mak Ayah Sakit

Apabila diuji menjaga ibu bapa sakit, apa yang lebih penting adalah melakukan persiapan mental dan emosi dengan rapi. Ibu bapa yang tinggal bersama perlu diutamakan keselesaan mereka dengan menyediakan keperluan sepatutnya termasuk tempat tidur kondusif dan aktiviti harian yang diisi dengan perkara bermanfaat.

Perbuatan mencela, menghamburkan kata kesat atau memperlekehkan ibu bapa atau mentua perlu dielakkan dengan sentiasa mengingati azab Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang derhaka.

Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka.

Sumber: Mingguan Wanita

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI