Viral satu video terima duit palsu masa salam kaut, pengantin agak terkejut dengan pemberian tetamu yang hadir dalam majlisnya.
Sepatutnya tak perlu lah begitu, pemberian kena ikhlas. Memang kalau ikutkan, budaya ini sudah lama menjadi tradisi dalam setiap majlis masyarakat Melayu sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia.
Namun, ada segelintir yang merasakan adat duit salam kaut ini sebagai satu beban sehingga ada yang memberi sampul kosong atau memberi alasan tidak dapat menghadiri kenduri tersebut.
Namun baru-baru ini seorang pengantin di Indonesia terkejut apabila menerima wang salinan fotokopi yang diberikan oleh tetamu majlis perkahwinannya.
Memetik laporan portal Wolipop, wanita bernama Nuriaraziz menunjukkan helaian wang kertas palsu bernominasi 50,000 rupiah (RM15.13) yang diletakkan di dalam sampul.
Terdapat sehelai kertas putih yang mempunyai empat salinan fotokopi wang kertas tersebut di atasnya.
“Hidup sudah terlalu penat, tiba-tiba ada juga manusia yang memberikan wang fotokopi,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Lebih baik daripada mendapat sampul kosong. Namun, ini sangat lucu,” kata seorang netizen.
“Ketika saya berkahwin dahulu, ada yang memberikan resit perubatan dalam sampul,” kata pengguna lain.
Begitulah ragam manusia bila pergi majlis kenduri, tengok orang salam kaut, dia pun nak buat juga tetapi tak ikhlas. Semoga kejadian ini tidak berulang dan kita boleh bagi kesedaran pada generasi akan datang tentang sebuah pemberian kepada pengantin baru.