Saya sedang menunggu bidadari yang dicintai. Saya menunggu di sebalik pintu bersempena ulangtahun perkahwinan kami.
Tadi daripada pagi saya keluar dan maklumkan ada kerja mahu berjumpa dengan orang bawah jambatan dan mahu mencari tanah untuk resort iman.
Rasa tidak sabar nak membuat kejutan istimewa buat bidadari, saya sediakan bunga dan pavlova. Tetapi hati saya ini rasa rindu sangat nak ucapkan terima kasih kepada bidadari tercinta.
Masa menaip ni, saya tengah berasa sedih dan syukur sangat. Hari ini, hari yang sangat saya nantikan.
Bidadariku, jika hari ini hari terakhir abang. Terima kasih, Allah yang Maha Baik kerana anugerahkan saya bidadari yang menjadi penyejuk mata dan menawan. Terima kaseh Ya Allah.
Bidadariku,abang tidak tahu kenapa sayang baik sangat pada abang, sayang sudi terima abang masa susah dan tiada apa-apa dari dulu.
Saidina Ali R.A berkata;
“Kebaikan dunia ini ialah wanita solehah.”
Abang rasa benarlah. Tanpa bidadari abang apalah rasa nikmat dunia ini. Terasa nikmat terbesar dalam dunia ini memiliki wanita ini dalam hidup ini. Mak, mak mertua juga bidadari dan dirimu bidadariku anugerah Allah.
Terima kasih Allah, hadiahkan diri aku ini bidadari hebat ini. Abang tidak tahu mahu ungkapkan macam mana tetapi melihat sayang dari awal pagi sampai tengah malam tidak berehat.
Terfikir dari mana kekuatan bidadari ini dapat. Benar, abang tidak sekuatmu wahai bidadariku.
Dari doa dan sokongan sayang abang jadi kuat. Senyuman kamu menjadi ubat kepada hati ini. Doa mu menguatkan langkah kaki ini. Abang minta maaf kerana selalu tiada disisi sayang.
Air mata ini selalu mengalir melihat pengorbanan sayang. Memegang tangan sayang yang sentiasa penat mengurus semuanya.
Mengusap wajahmu yang selalu menangis demi seorang suami yang berjuang di jalan Allah. Pengorbanan kamu menjadi air mata yang dialirkan di dalam doa. I love you sayangku. Maaf di atas segala kekurangan abang, sayang.
Selamat ulangtahun perkahwinan sayang. Tahun ini, tahun yang abang rasa paling sebak sebab pengorbanan ini Allah hadiahkan paling ramai orang menerima Islam dan dapat ramai berjumpa remaja ditepi jalan. Hati ini makin mencintai dan merinduimu bidadari sayangku.
Terima kasih sayang. Jom kita sama-sama terus saling mencintai sampai syurga yang kita impikan. Terima kasih Allah. Terima kasih bidadariku. I love you.
Melihat dengan cinta dan melalui hidup ini dengan cinta. Tidak semuanya indah tetapi menghargai perjalanan hidup ini terlalu indah dan teramat indah.
Semuanya dari hati bila belajar kenal Allah yang mendatang rasa syukur dan bahagia.