Sebut saja perkataan poligami memang kaum wanita boleh naik darah mendengarnya, apatah lagi perkara itu dikongsikan di media sosial pasti akan menjadi perdebatan.
Baru-baru ini tular satu Tweet dari seorang netizen yang berkongsikan kenyataan daripada seorang ustaz yang menjadi salah seorang penceramah di kursus perkahwinan yang berat sebelah mengenai isu poligami.
Menurut Tweet tersebut, ustaz itu menyatakan tiada istilah curang bagi kaum lelaki kerana mereka mempunyai hak untuk berkahwin lebih daripada satu.
Seperti sudah dijangka, perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang menghentam pandangan ustaz tersebut yang seolah membenarkan pelakuan curang oleh mereka bergelar suami.
Kata netizen, Islam membenarkan lelaki berpoligami tetapi tidak bermakna suami boleh menggunakan alasan tersebut untuk tiket berlaku curang.
Menurut netizen lagi, tiada salahnya jika kursus kahwin dipenuhi dengan lawak berkaitan poligami, tetapi adakah penceramah memikirkan tentang perasaan bakal-bakal isteri yang berada di dalam kursus tersebut.
Dalam pada itu, ada seorang netizen meluahkan rasa bengang dengan menyifatkan rata-rata ‘ustaz’ kursus kahwin bodoh malah turut meluahkan rasa bimbang dengan kandungan serta latar belakang penceramah yang diundang bagi memberikan kursus kahwin kebelakangan ini.