Isteri, belajarlah untuk menghargai suami, pandang pada setiap kelebihannya dan bantu dia atasi kekurangannya. Janganlah kita para isteri asyik merasa hebatnya suami orang lain kerana suami dia boleh buat itu dan ini.Ini kerana sikap membanding-bandingkan dengan melihat kehebatan suami orang lain,menyebabkan kita akan HANYA nampak kekurangan yang ada pada suami sendiri.Paling penting dalam hubungan suami isteri adalah komunikasi serta dapat menerima setiap kelebihan dan kekurangan yang ada pada pasangan.
Berikut antara pesanan yang dikongsikan oleh Puan Anisah Husna Ismail sebagai renungan bersama supaya para isteri tahu menghargai suami.
HARGAILAH SUAMI ANDA
Suami adalah orang asing yang Allah takdirkan jodoh kita dengan dia. Berlainan latar belakang dan berbeza cara fikir. Nak dapat persefahaman antara suami isteri bukanlah mudah. Ia bukan kerja untuk sebulan dua, tetapi bertahun-tahun. Malah perkenalan hati budi antara suami isteri sentiasa berlaku setiap masa.
“Awak untunglah, suami nak tolong buat kerja-kerja rumah. Saya ni, kencing berak anak, semua saya. Kemas rumah, basuh kain, memasak… Semua saya buat.”
Kawan… Bila kita ada terbaca terutama di FB tentang betapa mulianya seorang suami yang tolong isteri buat kerja rumah, jangan sesekali kita terus memandang senget pada suami kita sekiranya dia tidak membantu kita buat kerja rumah.
“Ada suami yang tidak mahir dalam kerja-kerja rumah, tapi bila bab bertukang, dialah hero kita.”
“Ada suami yang tak reti nak beri hadiah pada isteri, tapi setiap minggu dia akan bawa isteri pergi makan di tempat yang istimewa”.
“Ada suami yang tak pandai nak pujuk isteri, tapi itu lebih baik daripada suami yang sikit-sikit naik tangan bila tidak sefahaman dengan si isteri.”
PANDANG KELEBIHAN SUAMI
Wahai isteri, pandanglah kelebihan yang ada pada suamimu. Suami hanya manusia biasa yang ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga kita. Kita sebagai isteri juga pasti ada banyak kekurangan. Tidak sempurna.
Suami kita adalah manusia terbaik yang Allah takdirkan untuk kita. Janganlah kita asyik merasa hebatnya suami orang lain kerana suami dia boleh buat itu dan ini. Jika kita hanya nampak kehebatan suami orang lain, memanglah kita hanya akan nampak kekurangan suami kita.
Percayalah, sekeras mana pun hati suami, dia tetap akan cair dengan kelembutan isteri. Isteri nak suami tolong dalam urusan rumah tangga, mintalah pertolongan suami dengan cara baik-baik. Perlu cakap dengan jelas ingin minta tolong apa. Jangan mengharap suami boleh faham sendiri.
“Ish… Suami aku ni tak nampak ke aku ni dari tadi tak rehat. Lepas masak, hidang makanan. Suap anak makan. Mandikan anak. Tidurkan anak. Anak dah tidur, ingat aku boleh tidur sekali ke? Masa anak nak tidur ni la aku boleh buat kerja.” Merungut si isteri dalam hati bila tubuhnya rasa tersangat penat dek kerja yang tidak pernah habis.
PENTINGNYA KOMUNIKASI
Sebenarnya, banyak perselisihan faham dalam rumah tangga boleh selesai hanya dengan komunikasi. Isteri mengharap, suami membantunya tanpa perlu diminta. Bila suami tidak menolong, merajuklah si isteri, muka masam mencuka, hati menjeruk rasa. Suami pula terkebil-kebil sendiri buntu kepala. Tak ada angin tak ada ribut, kenapa pula si isteri tiba-tiba moodnya ibarat awan mendung menanti hujan diselang-seli dengan petir sabung-menyabung.
Isteri menganggap, suami sengaja buat-buat tak nampak, buat-buat tak faham. Sedangkan mungkin, suami memang betul-betul tak tahu apa yang dia boleh bantu. Isteri pula, bila badan sudah penat, emosi sudah terganggu, barulah bersuara untuk meminta tolong. Waktu ini, memang bukan pertolongan yang diminta, tapi arahan yang diberi kepada suami untuk buat itu dan ini. Inilah antara sebab suami isteri boleh bermasam muka. Nauzubillah min zalik.
MINTA BANTUAN SUAMI SECARA HIKMAH
Ibu… Kita lebih kenal diri kita. Kita lebih tahu potensi dan limitasi diri kita. Sekiranya emosi kita mudah terganggu kerana penatnya tubuh, maka, elakkan diri kita dari terlalu penat. Sebelum diri merasa penat, cepat-cepat minta tolong pada suami dengan hikmah. Contohnya, minta suami tolong jemurkan kain. Sebabnya kita ingin memasak. Nanti lepas makanan dah sedia, kita boleh makan bersama-sama. Sekiranya komunikasi antara suami dan isteri berlaku dengan baik, insyaAllah pasti mudah suami dan isteri sama-sama bertolak ansur.
Melakukan kerja rumah memang sangat memenatkan. Kalau tidak, mengapa Saidatina Fatimah boleh mengadu kepada ayahnya Rasulullah untuk ada pembantu. Tapi, Nabi ajarkan zikir Fatimah untuk ‘membantu’ dan mengurangkan lelah anakandanya yang tercinta.
SUAMI JUGA MANUSIA, TIDAK SEMPURNA
Duhai suri, sampai mati pun, suamimu tidak akan sempurna. Pasti akan ada kekurangan. Kerana dirimu juga tidak sempurna. Dirimu juga penuh dengan kekurangan. Memang inilah lumrahnya. Kerana kita hanya manusia, makhluk yang dicipta Tuhan. Mana mungkin makhluk itu akan sempurna tanpa ada cacat cela. Jangan sesekali diimpi suami yang hebat lagi sempurna. Bimbang kita akan merana. Apa yang harus kita usahakan adalah bagaimana cara agar kita boleh memberi yang terbaik kepada orang lain.
Menjadi hamba Allah yang terbaik. Menjadi pasangan yang terbaik. Menjadi ibu ayah yang terbaik buat anak-anak.
Isteri belajarlah untuk menghargai suami. Pandang pada kelebihannya. Bantu dia atasi kekurangannya. Dan suami, anda juga harus tahu, lumrahnya isteri sanggup berkorban dan setia kepada suami sekiranya mereka merasa bahagia. Bahagiakanlah isteri anda, pasti anda akan lebih bahagia. Suami adalah kunci kepada pintu syurga isteri. Maka, jagalah kunci itu sebaiknya bermula dengan belajar menghargai suami.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
KREDIT : Puan Anisah Husna Ismail