Bajet perkahwinan merupakan suatu perkara yang perlu dititikberatkan agar majlis berjalan seperti yang dirancang. Namun, kos yang dikeluarkan haruslah mengikut kemampuan dan tidak terlalu membazir. Pesona Pengantin memberi tip berguna buat anda untuk berjimat dan memastikan bajet yang dikeluarkan terkawal.
Tetapkan jumlah tetamu yang hadir supaya anda dapat merancang bajet perkahwinan dengan baik. Dengan ini, anda dapat mengira bajet untuk perbelanjaan makanan, cenderamata, kad kahwin dan sebagainya.
Gotong-royong dapat menjimatkan kos kerana anda hanya mengeluarkan wang untuk membeli bahan mentah. Selain itu, acara gotong-royong dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran dan keluarga. Jika anda memilih perkhidmatan katering, pastikan anda membuat tinjauan bagi mendapatkan katering yang paling berpatutan.
Elakkan daripada menempah busana perkahwinan yang baharu kerana khidmat menyewa busana jauh lebih murah. Lebih baik jika anda menyewa busana perkahwinan yang termasuk di dalam keseluruhan pakej seperti pelamin, dekorasi meja makan dan lain-lain.
Jimatkan kos dengan mengadakan majlis akad nikah dan resepsi pada hari yang sama. Misalnya mengadakan majlis kad nikah pada sebelah pagi dan resepsi pada waktu tengah hari ataupun malam. Dengan cara ini kos perbelanjaan dapat dijimatkan.
Jangan menempah kad perkahwinan yang terlalu mahal. Cukup sekadar sedap mata memandang dan berpatutan untuk dijadikan pilihan. Selain itu, anda boleh menggabungkan majlis persandingan pihak perempuan dan lelaki di dalam kad yang sama. Cara ini boleh menjimatkan kos dan ternyata ia praktikal.
Elakkan berbalas hantaran dengan jumlah yang banyak. Cukup sekadar lima berbalas tujuh. Selain itu, jangan memilih barangan yang terlalu mahal untuk dijadikan hantaran. Sebaiknya pilihlah barangan yang bakal anda gunakan kelak.
Ini merupakan perkara yang paling penting bagi memastikan kos dan bajet perbelanjaan berada dalam keadaan yang terkawal. Melalui senarai semak, anda boleh mengetahui jumlah yang dibelanjakan dan ini dapat membantu bajet perkahwinan anda jika terlebih ataupun terkurang.