Tip Kemas Kain Baju Bila Serumah, Barulah Senang Cari Waktu Nak Pakai

Share

Bijak kemas kain baju, rumah akan nampak bersih senang nak cari pakaian setiap kali nak pakai. Nak-nak kalau anda baru berumah tangga, mestilah rasa kurang cekap nak atasi bab menyimpan dan menyusun.

Sampai satu tahap, almari menjadi penuh dengan pakaian, sekali gus membuatkan si pemilik rimas untuk menguruskannya.

Menurut Hani Mynis menerusi perkongsiannya, anda sepatutnya membuat spring cleaning pakaian yang dimiliki secara berkala.

Jom semak tujuh tip pengurusan pakaian:

1. Spring cleaning

Kena buat spring cleaning baju yang banyak, sebetulnya enam bulan sekali kena rombak baju. Baju yang dah tak muat boleh diberi kepada orang, baju yang koyak boleh dibuang. Begitu juga dengan tuala serta cadar yang kotor, ia juga perlu dibuang.

2. Satu masuk, satu keluar

Gunakan ‘rule’ ini, satu baju masuk satu baju mesti keluar. Selagi tak perlu baju baharu masuk, jangan beli. Perempuan nak bersederhana bab ni memang payah. Tapi dah dua tahun, inilah prinsip Hani. Kalau nak membeli juga, maknanya ada satu helai yang kita takkan pakai, bolehlah dijual atau diberi orang.

3. Penyangkut baju

Gunakan penyangkut baju yang satu jenis, bentuk dan paling tidak pun satu warna je. Supaya semua nampak kemas dan seragam.

4. Gosok awal

Menggosok pakaian dan tudung ke tempat kerja seminggu sekali (gosok lima pasang terus; jimat masa dan jimat tenaga). Suai padankan terus pakaian dan tudung. Jimat masa pagi-pagi nak pergi kerja.

5. Tuala

Untuk tuala, khaskan dua helai tuala untuk seorang. Sebab setiap minggu kita akan basuh tuala, nak tunggu tuala tu kering, ada tuala ganti. Rumah kami tak ada dryer. Sediakan dua tuala untuk tetamu.

6. Cadar/sarung bantal

Untuk cadar dan sarung bantal – masa lipat cadar, masukkan sekali set sarung bantal dalam lipatan cadar tu. Ini akan memudahkan proses menukar cadar setiap minggu. Boleh belajar cara yang sebetulnya untuk melipat cadar supaya lebih kemas.

7. Lebihan pakaian

Mana-mana pakaian yang lebih, yang rasa nak simpan, boleh simpan tapi simpan dalam bekas tertutup (untuk elakkan debu bertahun) dan pastikan bekas berlabel. Hani prefer bekas tak transparent supaya tak nampak isi barang dalam tu.

Jadi, tak ada lah masalah kain baju yang tak kemas dan susah nak cari bila anda guna tip ini. Nanti cuba, ya!

Published by
Nadia