Masih ramai lelaki di Malaysia kurang peka terhadap penjagaan wajah. Penjagaan wajah penting bagi memastikan keterampilan diri lebih meyakinkan dan tampak kemas. Nescaya dengan penjagaan wajah yang sempurna, wajah anda tampak lebih menyerlah untuk menambat hati si dia. Ikut tip penjagaan kulit dan wajah lelaki agar tampil lebih tampan menjelang hari paling bahagia.
SENTIASA BERSIHKAN WAJAH
Pastikan anda mencuci wajah dua kali iaitu di waktu pagi dan malam untuk menghilangkan minyak yang berlebihan dan sisa kekotoran yang melekat pada wajah. Apabila wajah bersih, ia akan membantu menyerlahkan ketampanan sekali gus membuatkan wajah anda terhindar daripada pelbagai masalah kulit.
GUNA PENYENTAL MUKA
Walaupun anda menggunakan pembersih muka setiap hari, wajah anda sebenarnya masih belum cukup bersih. Ini kerana penyental wajah atau skrub merupakan cara terbaik untuk mendapatkan kulit yang lebih bersih. Cara ini membantu untuk mengangkat sisa kekotoran yang menempel lebih dalam pada liang kulit, selain menghilangkan sel-sel kulit mati dan bintik-bintik hitam serta mengurangkan pori-pori pada wajah. Jangan gunakan penyental kulit setiap hari sebaliknya gunakan 2-3 kali seminggu sahaja.
PAKAI PENYEGAR KULIT
Penyegar merupakan salah satu alternatif untuk memastikan kulit agar sentiasa segar dan lebih bermaya. Bagi lelaki yang mempunyai kulit jenis berminyak, tumpukan pada bahagian yang berminyak terutamanya pada dahi dan hidung. Gunakan penyegar sebelum masuk tidur di malam hari atau pada waktu pagi ketika anda mencuci muka lepas mandi.
PENTINGNYA PELEMBAP
Adalah penting untuk melembapkan kulit namun pastikan lembapan itu tidak berlebihan bagi mengelakkan anda berdepan dengan pelbagai masalah kulit yang disebabkan oleh liang-liang pori tersumbat. Gunakan pelembap daripada tekstur yang ringan selepas anda mencukur dan sebelum tidur.
GUNA KRIM MALAM
Krim malam boleh didapati dalam pelbagai jenis antaranya dalam bentuk krim dan juga gel. Biasanya lelaki lebih gemar menggunakan jenis gel kerana ia lebih sejuk dan menenangkan. Krim malam dapat membantu menenangkan kembali otot-otot muka agar kembali segar dan lebih berseri. Gunakan krim malam selepas anda memakai penyegar sebelum masuk tidur.
ELAK MAKANAN PUNCA JERAWAT
Elakkan makanan yang boleh mengakibatkan timbulnya masalah jerawat seperti makanan yang terlalu berminyak, tinggi berlemak, bergoreng, kafein dan terlalu manis. Malah ada sesetengah makanan dan minuman yang berunsurkan susu juga boleh menimbulkan jerawat pada wajah. Oleh itu, pastikan anda ikuti diet yang seimbang untuk mengurangkan keradangan pada kulit dan kunyah makanan dengan cara yang betul.
ATASI KULIT KERING
Jika anda bekerja di bilik yang berhawa dingin, pastikan anda memakai losen atau krim pelembap dan minum air secukupnya kerana ia merupakan antara langkah-langkah asas untuk mengatasi kulit kering. Jika kulit anda kering sehingga bersisik, sebaiknya guna pelembap khas. Selain itu, banyakkan makan tinggi fiber seperti buah-buahan dan sayur-sayuran agar kulit anda sentiasa sihat dan lembap.