Lima hingga tujuh tahun pertama dalam usia perkahwinan adalah masa yang paling mencabar. Inilah masanya untuk suami isteri mengenali satu sama lain dengan lebih baik dan belajar menyesuaikan diri dengan sikap dan personaliti pasangan.
Berikut adalah beberapa masalah yang dihadapi pada tahun-tahun awal perkahwinan dan cara penyelesaiannya:
- Kekurangan informasi
Beberapa masalah timbul disebabkan beberapa isu penting tidak dibincangkan oleh pasangan sebelum berkahwin seperti:
- Sama ada isteri perlu bekerja di luar rumah atau tidak
- Adakah mereka perlu merancang menangguhkan untuk menimang anak
- Di mana mereka akan tinggl selepas berkahwin nanti
- Adakah mereka akan tinggal bersama ibu bapa atau berasingan
Masalah-masalah ini boleh diatasi dengan perancangan awal sebelum berlangsungnya perkahwinan.
- Tugas siapa?
Suami adalah ketua dalam rumah tangga, tetapi dia tidak boleh memerintah seperti diktator. Perlu ada perbincangan tentang tugas suami dan isteri. Walaupun suami adalah ketua, tetapi dia mestilah juga boleh merendah diri dan sanggup mendengar pandangan isterinya. Sekiranya berlaku perbezaan dalam cara berfikir, suami hendaklah kembali kepada petunjuk Al-Quran dan sunnah, dan janganlah biarkan perkara tersebut menjadi sumber tekanan dan masalah dalam perhubungan suami isteri.
- Masalah seksual
Adakalanya seorang isteri atau suami mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi dari pasangan masing-masing. Mereka juga mengharapkan pasangan masing-masing memahami kehendak mereka.
Dalam realiti, persefahaman dalam perkara ini tentulah mengambil masa untuk setiap orang menyesuaikan diri dengan pasangannya. Sebelum perhubungan seksual berjalan dengan jayanya, adakalanya ia didahului dengan kekecewaan. Tetapi sekiranya kedua-dua pihak berusaha untuk menyesuaikan diri dengan sabar, mereka pasti berjaya.
- Keluarga Ipar
Perhubungan dengan keluarga pasangan hendaklah dilakukan dengan baik dan saling hormat-menghormati. Membeza-bezakan suami atau isteri dengan ahli keluarga hendaklah dielakkan sama sekali kerana setiap manusia adalah berbeza. Perhubungan ini hendaklah dieratkan melalui ziarah, telefon dan sebagainya.
- Realistik
Adakalanya pasangan melangkah ke alam perkahwinan dengan harapan menggunung tinggi terhadap pasangan masing-masing. Tetapi manusia dicipta oleh Allah memiliki kelebihan dan juga kelemahan. Suami dan isteri hendaklah belajar menerima kelebihan dan kelemahan pasangan masing-masing.
- Menyusun Program
Menyusun program atau aktiviti yang hendak dilakukan akan dapat mengeratkan perhubungan, terutama jika kedua-dua suami dan isteri bekerja.
Antara program yang boleh dirancang:
- Solat berjemaah
- Menghadiri majlis ilmu bersama sekali seminggu
- memikirkan bersama menu untuk hujung minggu
- Menetapkan hari untuk membersihkan rumah bersama-sama
- Menetapkan masa untuk berbincang tentang kewangan dan budget
- Merancang masa untuk balik kampung
- Rakan dan Aktiviti Luar
Berada bersama rakan-rakan adalah perkara yang menyeronokkan. Tetapi rakan adakalanya menjadi sumber pertikaian dalam rumah tangga. Sekiranya terlalu banyak masa dihabiskan bersama rakan, bererti semakin kurang masa untuk bersama pasangan.
Kadangkala rakan sebaya juga memberi nasihat yang salah dalam hal perkahwinan, yang berdasarkan pengalaman mereka sendiri dalam perkara tersebut.
Antara penyelesaian kepada masalah ini ialah suami dan isteri membina rangkaian rakan yang sama-sama sudah berkahwin. Dengan cara itu mereka boleh bertemu bersama-sama dengan membawa pasangan masing-masing.
- Kewangan
Perkara ini boleh mencetuskan ‘perang besar’ antara suami dan isteri. Bagi mengelakkan masalah, suami dan isteri hendaklah merancang baget bersama.
- Memberi ruang kepada pasangan
Perkahwinan tidak bererti segala-galanya mesti dilakukan bersama. Yang penting masing-masing hendaklah saling mengambil berat, saling memberi dan menerima. Dengan cara ini akan wujud keseimbangan dalam perhubungan suami isteri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI