Menjadi pengantin yang anggun dan menawan adalah impian setiap gadis di majlis perkahwinan yang penuh gilang-gemilang. Trend baju kahwin pengantin berhijab bagi tahun 2018 tentunya berbeza dengan baju kahwin pengantin berhijab tahun-tahun sebelumnya.
Aksen yang ditambah pada baju kahwin khusus buat pengantin berhijab ini menyuntik sedikit kelainan, begitu juga dari segi potongannya.
Mungkin tahun sebelumnya, baju berwarna putih lebih menjadi pilihan atau identiti bagi baju kahwin pengantin berhijab, namun kombinasi warna yang menarik dan sesuai menyuntik satu dimensi yang berbeza bagi pasangan mempelai yang ingin membina istana cinta, selain gaya busana yang masih berlandaskan syariat Islam.
Oleh itu, jom kita lihat trend yang dijangka hangat untuk baju kahwin pengantin berhijab tahun 2018!
Baju pengantin berhijab terbaharu ini lebih fokus kepada warna-warna pastel. Perubahan warna ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pengaruh dari negara Korea baik dari artis Korea itu sendiri selain pelbagai sinetron dramanya. Namun, pengaruh tersebut terlihat ke arah yang positif pada busana berhijab sekali gus melahirkan penampilan seorang Muslimah yang lebih menawan.
Dominasi warna pastel seperti rose quartz, creamy white, baby blue dan banyak lagi melambangkan kesucian, juga diserlahkan lagi dengan perincian manik serta labuci berkilauan yang masih menjadi trend baju kahwin pengantin berhijab bagi tahun 2018. Pengantin berhijab yang teguh dengan mempertahankan auratnya memiliki banyak pilihan hijab yang menarik untuk digayakan di hari perkahwinan. Ditambah dengan hiasan aksesori berupa tiara, pastinya pengantin berhijab kelihatan bak tuan puteri di alam kayangan.
Gaya yang lebih santai dan kasual pastinya menjadi pilihan bagi trend baju kahwin pengantin berhijab 2018. Dengan pilihan warna-warna pastel, keserian pengantin terserlah dengan potongan yang lebih praktikal, urban, moden dan minimalis untuk menampilkan sisi elegan wanita Muslimah. Aplikasi potongan busana akan didominasi dengan potongan yang lebih rapi, sederhana dan berstruktur lurus seperti potongan empire line, kurung moden, duyung, sheath cut dan princess line.
Pemilihan fabrik yang lebih polos dengan alunan yang mengasyikkan seperti fabrik sifon, como crepe dan dull satin akan menjadi buruan untuk trend baju kahwin pengantin berhijab 2018. Fabrik ini mampu mengalirkan sirkulasi pengudaraan yang lebih baik dan selesa ke seluruh bahagian tubuh badan. Ia juga melahirkan siluet pakaian yang lebih ringkas dan moden sekali gus menyerlahkan lagi aura anggun pengantin. Ia juga bakal melahirkan penampilan yang lebih sofistikated.
Pastinya, trend rekaan ringkas dengan mainan warna pastel menjadi pilihan pengantin berhijab 2018. Kesempurnaan baju pengantin dengan potongan yang tepat dan selesa pastinya mampu menyerlahkan lagi keanggunan si dara menyusuri mahligai cinta.