Menundukkan pandangan amatlah penting kerana memandang merupakan jalan pertama kepada berlakunya kemungkaran lain seperti zina. Pandangan yang dibolehkan jika secara tidak sengaja terpandang, maka itu tidak mengapa.
Namun jangan pula pandangan itu diteruskan untuk sekian lama. Apabila sedar dan teringat, teruslah menundukkan pandangan.
Inilah pesanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh: Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan yang pertama dengan pandangan berikutnya, kerana yang pertama untukmu dan yang kedua bukan lagi untukmu. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2701/2777]
Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anh berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai penglihatan yang tidak disengajakan (terhadap sesuatu yang dilarang). Maka baginda memerintahkanku supaya memalingkan penglihatanku. [Shahih Muslim, no: 4018/2159]
Pertunangan hanyalah sekadar janji untuk bernikah pada tarikh yang dipersetujui dan bukanlah tiket yang menghalalkan sesuatu yang haram serta ditegah agama seperti berdua-duaan, berpegangan tangan, berbual-bual melalui telefon, menyimpan gambar pasangan dan menjadikan gambar tersebut sebagai wallpaper di komputer, tablet dan telefon. Pertunangan juga tidak mengizinkan pasangan saling memandang di antara satu lain.
Jika berjumpa untuk sesuatu urusan penting, perjumpaan mesti ditemani oleh mahram dan tidak boleh berpandangan di antara satu sama lain. Jika terpandang, hendaklah segera menundukkan pandangan atau mengalihkan wajah. Pengecualian hanyalah pada saat saling berkenalan, di mana dianjurkan untuk masing-masing melihat wajah pasangan yang dia sedang berkenalan itu, sekadar yang perlu.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
“Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no:1783/2082]
Secara umumnya hendaklah menundukkan pandangan kecuali di antara suami dan isteri. Apabila sudah bernikah, suami hendaklah kerap memandang wajah isteri dan isteri hendaklah kerap memandang wajah suami.Kekerapan ini bukan sekadar pada tahun-tahun awal perkahwinan, tetapi memanjang sehingga ke akhir hayat.
Apabila bercakap, pandanglah muka pasangan. Apabila menegur, pandanglah muka pasangan. Apabila mononton TV, sekali sekala pandanglah muka pasangan. Bahkan apabila kebosanan, pandanglah muka pasangan.
Adapun selain wajah pasangan masing-masing, maka hendaklah tetap menundukkan pandangan. Ada sebahagian orang yang menganggap dirinya selamat daripada fitnah memandang jika dia sudah berkahwin. Apa yang benar ialah sebaliknya, fitnah memandang adalah lebih besar sesudah berkahwin.
Ini kerana pandangan akan menyebabkan dirinya tertarik kepada seseorang lain sehingga mula merasa bosan terhadap pasangan sendiri. Ini berlanjutan sehingga tidak lagi melakukan hubungan seks dengan pasangan, sebaliknya melakukan onani (masturbation) semata-mata dengan gambar di majalah.