Tunggu Jodoh Lambat Sangat, Ini TIP Untuk Wanita Yang Dah Ready Nak Kahwin Tapi Tak Ada Calon!

Share

Perigi mencari timba satu pepatah yang mungkin tak berapa relevan sekarang. Makin lama menunggu jodoh datang, makin cemburu pula masa pada kita terutamanya wanita. Lebih baik bertindak dulu tetapi dengan penuh adabnya. Jom kita cari jodoh!

 

Kata orang, nak mencari jodoh janganlah terlalu gelojoh. Buat pertimbangan sewajarnya sebelum bawa mereka berjumpa kedua ibu bapa kita. Yang nak ditonjolkan bukan pada harta dan kebendaan semata-mata tetapi budi pekerti yang baik.

 

Ini ada 5 tip untuk anda yang sedang ‘memburu’ jodoh ke syurga:

 

Niat

Sebelum buat apa-apa, pastikan anda bermula dengan niat. Letakkan dalam diri dan ‘beritahu’ pada Allah anda mencari jodoh untuk mendapat keredhaanNya dalam kehidupan. Jangan terus letakkan ciri-ciri lelaki idaman tetapi mohonlah agar lelaki yang bakal bertamu di hati anda boleh membawa anda dan keluarga ke syurga.

 

 

Cinta pandang pertama

Percaya pada cinta pandang pertama? Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina. Gitu! Sama ada anda mencari jodoh di laman bertemu jodoh atau melalui keluarga dan rakan, pastikan anda rasa serasi untuk berbual dengannya. Kalau masing-masing ‘keras’, susah juga nak meluahkan perasaan.

 

Sekufu

Selidik latar belakang bakal jodoh anda. Kalau boleh, biarlah jodoh itu dari latar belakang yang lebih kurang sama dengan anda. Malah di dalam Islam juga menggalakkan perkahwinan dari keturunan dan latar belakang sekufu agar tidak ada masalah di kemudian hari.

 

Tempat pertemuan

Di mana anda bertemu dengan jodoh anda menunjukkan siapa anda sebenarnya. Jika bertemu di tempat yang elok, maka eloklah ia. Seandainya anda ingin menghadiri majlis kahwin, pasangkan niat untuk bertemu jodoh. Atau, ketika anda menghadiri majlis agama atau ilmu, berdoalah pada Allah agar anda dapat berjumpa dengan bakal imam anda.

 

Tidak sombong

Sentiasa berfikiran terbuka dan menerima orang lain dalam hidup. Nak hidup berdua tak boleh pentingkan diri. Andai ada yang ‘approach’ untuk berkenalan, cubalah bukakan hati untuk mengenali. Mungkin dari segi fizikal si dia tidak menepati ciri-ciri yang anda suka tetapi pasti ada kebaikan dalam dirinya yang boleh anda terima.

 

Walau apa caranya, jangan lupa untuk banyak berdoa kepada Allah. Seandainya jodoh kita lambat, itu tidak bermakna Allah tidak mendengar doa kita tetapi mungkin Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk anda.

Published by
Anis Nor