Tutorial Makeup, Tayang Kecantikan Pada Bukan Mahram. Apa Hukumnya?

Share
Ikuti perkongsian Farid Rashidi di Facebook mengenai permasalahan ramai wanita yang semakin berlumba-lumba menunjukkan kecantikan di social media.

Sejak dua menjak ini, selalu sangat melintas lalu di laman FB secara live mempertontonkan tutorial solekan wajah. Ya, beberapa orang wanita menunjukkan cara-cara bersolek di khalayak lalu diminta pula orang ramai yang menonton supaya share ke seluruh pelusuk group FB.

Ada juga disiarkan langsung di Instagram, Twitter, Youtube dan sebagainya.

Maka berpusu-pusulah orang share video live tersebut. Bahkan dijanjikan pula dengan hadiah menarik. Nak bagi hadiah, tak ada masalah. Bagilah. Saya pun mahu. ?

Tapi yang menjadi masalah di sini ialah menyiarkan wajah wanita disolek secara langsung itu.

Apa jua alasan, samaada mahu menjual produk, beriklan, mengajar tutorial dengan mempertontonkan wajah wanita disolek itu adalah ditegah di dalam Islam. Ingat ya, matlamat sesekali tidak menghalalkan cara.

Eh, itukan salah satu marketing berniaga?

Iya, tahu marketing berniaga. Tapi bukankah ramai sifu mengajarkan bahawa marketing itu ada beratus-ratus cara? Kenapa hendak digunakan juga cara yang menyebabkan kita terpalit dosa? Allahu Rabbi.

Saudari-saudari seIslamku, jangan begitu. Mahu buat tutorial, silakan. Tapi cukuplah sesama wanita di tempat terlindung dari mata nakal lelaki. Kenapa disiarkan secara umum begitu. Bukankah laman sosial ini di akses oleh jutaan manusia setiap detik?

Ada anak kecil, ada golongan lelaki bukan mahram, non-muslim, ada lelaki baik, lelaki jahat buaya darat, lelaki tua miang keladi aiskrim yam yam… semua jenis lelaki ada.

Sudah tentu mereka akan menontonnya walaupun terkadang tak sengaja pun nak klik.

Kenapa ditegah?

Sebab ada dalil menyebutkan tentang keharaman wanita berhias atau bersolek berlebih-lebihan ketika di khalayak.

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

“Hendaklah kalian (para wanita) tetap di rumah kalian dan janganlah kalian bertabarruj dan seperti tabarruj orang-orang Jahiliyah yang dahulu…”

[Surah al-Ahzab: 33]

Ibnul Jauzi di dalam tafsirnya menyebutkan dua penerangan ulama’ tentang makna tabarruj:

Pertamanya Abu ubaidah mengatakan:

التبرُّج: أن يُبْرِزن محاسنهن

“Tabarruj: Wanita menampakkan kecantikkannya (di depan lelaki yang bukan mahram).”

Keduanya, az-Zajjaj mengatakan:

التبرُّج: إِظهار الزِّينة وما يُستدعى به شهوةُ الرجل

“Tabarruj: Menampakkan bahagian yang indah (aurat) dan segala yang mengundang syahwat lelaki (bukan mahram).”

[Zadul Masir fi Ilmi at-Tafsir, 3/461].

Justeru, mempertontonkan video tutorial solekan di khalayak itu ditegah dan diharamkan. Wanita bersolek untuk tontonan khalayak pun sudah haram, inikan pula mengajak orang turut melakukan hal yang sama.

Aduhai, berdouble triple dosa. Dosa-dosa lain pun sudah sarat menggunung tinggi, inikan pula mahu ditambah lagi dosa begitu.

Sesungguhnya, tiada guna bisnes juta-juta di mata manusia tetapi miskin maruah, sirna rasa malu dan tak takut dosa. Sia-sia. Hilang keberkatan hidup nanti.

Hawa (Tak kiralah yang berniqab atau tidak), kalaulah hilang rasa malu dalam dirimu. Apalagi yang tinggal? Janganlah biarkan dirimu dieksploitasi oleh anak didik Dajjal yang berleluasa.

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ لِكُلِّ دِينٍ خُلُقًا، وَخُلُقُ الْإِسْلَامِ الْحَيَاءُ

“Sesungguhnya setiap agama ada akhlaknya dan akhlak Islam adalah haya’ (malu)”

[Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4182. Ath-Thabrani dalam al-Mu’jamush Shaghir (I/13-14)]

Oh ya, diharamkan juga lelaki mekap diri sendiri siap buat tutorial solekan. Kena laknat nanti.

Jom kita share banyak-banyak pesanan ini agar sama-sama ingat mengingati. Semoga ramai tersedar. Ingatlah, azab NERAKA itu amat PEDIH.

Published by
Kim