Amalan penjagaan wajah adalah aspek penting untuk memastikan kulit sihat, halus dan gebu tanpa mengira masa serta keadaan. Penjagaan kulit dengan produk dan kaedah yang betul penting terutama mereka yang sering terdedah kepada pencemaran, tekanan, dan tabiat pemakanan yang tidak menentu.
Tidaklah rugi jika anda membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkan rawatan kecantikan wajah. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri anda sendiri juga. Apabila kulit cantik, keyakinan diri kita pun akan semakin bertambah.
Ketahuilah bahawa konsep penjagaan kecantikan adalah satu perkara yang digalakkam dalam Islam. Hal ini kerana kecantikan itu adalah suatu perkara yang amat disukai oleh fitrah setiap manusia.
Melalui satu perkongsian di Facebook, Syahida Nasution berkongsi tentang Ustazah Asma Harun yang berbicara tentang penjagaan kecantikan seorang wanita.
Beberapa hari lepas, saya ada ternampak video Ustazah Asma Harun yang membahaskan tentang penjagaan kecantikan kulit wanita bukanlah satu pembaziran. Saya setuju.
Ustazah Asma Harun bahkan berkongsi kepada penonton video tersebut bahawa beliau juga membuat rawatan laser di bahagian muka untuk menghilangkan sel kulit mati.
Bukan itu saja, beliau juga berkata bahawa beliau sememangnya membuat rawatan facial di spa untuk kesihatan kulit wajah.
Beliau juga berkongsi bahawa sememangnya menggunakan produk kecantikan untuk menjaga kesihatan kulit wajah dan bukanlah kerana awet muda atau kulit natural semata-mata.
Entah kenapa, saya seronok apabila figura semacam beliau berkongsi tentang rutin kecantikan kulit wajah yang begitu.
Maka, jawapan cliché seperti “Wajah berseri kerana air sembahyang.” tidak mengguris hati mereka yang mengalami masalah kulit seperti acne prone dan sebagainya.
Beliau juga menyarankan kepada penonton jika penggunaan produk kecantikan pun masih tak dapat nak selesaikan masalah kulit wajah, berjumpalah dengan mereka yang lebih pakar.
Semua itu bukanlah pembaziran melainkan menjaga kulit badan. Dah nak masuk 2023 ni, suri rumah pun kena pandai jaga diri.
Kesimpulannya sebagai wanita, jagalah diri kita sebaik mungkin kerana jika bukan kita siapa lagi yang akan menghargai diri kita sendiri. Usah terlalu berkira untuk memanjakan diri. Curi sedikit masa untuk membelai diri kerana kadang-kadang kita sering terlupa yang sesungguhnya diri kita kerap diabaikan.
Sumber: Syahida Nasution Kredit foto (top image): Pexels