Persefahaman dan sikap toleransi suami isteri penting dalam memastikan kerukunan rumah tangga.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membincangkan liku hidup berumah tangga dalam topik ‘Ramuan kebahagiaan rumah tangga.’
Penciptaan manusia bermula daripada Nabi Adam dan Siti Hawa, membawa kepada sebuah keturunan yang mempunyai jantina lelaki serta perempuan untuk berganding hidup menerusi perhubungan yang halal.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa) dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 1)
Jadikan al-Quran panduan berumahtangga
Garis panduan al-Quran dan sunah disediakan untuk diamalkan oleh pasangan yang menjanjikan kebahagiaan serta kenikmatan lebih besar iaitu syurga yang kekal abadi. Oleh itu, asas mengukuhkan rumah tangga harus dibina atas dasar iman kerana ia berkaitan niat dan tujuan perkahwinan.
Keimanan yang ada dalam diri adalah sebuah penyatuan antara dua hati pasangan suami isteri. Punca daripada keimanan itu akan melahirkan sifat kesabaran, reda dan kasih sayang.
Pahrol menegaskan, pasangan yang beriman kepada Allah SWT mampu beroleh hubungan yang intim penuh dengan kasih sayang. Sebelum memulakan kehidupan perkahwinan, permulaan perjalanan hidup perlu dilalui dengan tujuan terlebih dahulu iaitu menjadi hamba Allah SWT serta khalifah di muka bumi.
Asas utama untuk menjadi khalifah ialah melaksanakansuruhan dan meninggalkan larangan Allah SWT serta membuat segala kebaikan. Oleh itu, tujuan berumah tangga adalah untuk membantu mencapai tujuan hidup pasangan yang dikahwini menjadi hamba Allah SWT yang baik.
Walaupun berlaku beberapa masalah seperti konflik dan ego dalam rumah tangga, suami isteri tidak akan terkesan kepada perkara negatif jika antara mereka mempunyai keimanan yang sentiasa akan merujuk kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Syariat adalah peraturan dan hukum dari Allah SWT terbahagi kepada lima bahagian iaitu halal, wajib, haram, sunat dan makruh. Syariat disediakan oleh Allah SWT akan menjadi penyelesaian terhadap masalah rumah tangga seperti perselisihan faham, konflik dan sebagainya.
Ikut hukum syarak
Rujukan kepada syariat penting buat pasangan suami isteri apabila dihayati, difahami serta diamalkan bagi menyatukan hubungan perkahwinan yang kekal selamanya melalui kesepakatan pendapat berlandaskan hukum syarak.
Pemikiran dan pendapat berlainan antara satu sama lain serta pelaksanaan amalan bertentangan ajaran Islam akan mengundang kepada kejahilan dan kedegilan.
Oleh itu, setiap pasangan haruslah mengutamakan sikap teguran yang baik dan membuat perbincangan untuk menguruskan keserasian jika berlaku masalah.
Keberkatan suami isteri yang menjaga syariat adalah satu penjagaan dari Allah SWT terhadap rumah tangga dan perasaan kasih sayang serta pemikiran akan terus berpandu kepada rasa hati yang tenang serta memperoleh emosi stabil.
GAMBAR : AZFARINA SULAIMAN
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI