Semua pengantin pastinya ingin kelihatan berseri di majlis akad nikah. Bagi yang sudah biasa mengenakan hijab mungkin anda tidak kekok nak melilit dengan pelbagai gaya. Namun bagi yang tidak pernah memakai hijab, pengalaman mengenakan hijab ketika majlis akad nikah ini pastinya suatu yang berbeza.
Tentunya mereka yang kali pertama mengenakan hijab ini rasa kekok atau bimbang tidak selesa. Maklum sahaja majlis akad nikah itu nanti pastinya lama. Jadi jangan bimbang! Tip ini akan membantu anda nampak berseri, menyerlah dan sempurna seolah-olah anda sudah biasa mengenakan hijab.
1. Gunakan fabrik yang paling sesuai untuk hijab seperti sifon, georgette, cita, sari dan lace. Selain kurang berkilat dan fabriknya lembut, penggayaannya juga lebih mudah.
2. Pemakaian hijab dengan warna kontra akan memancarkan gaya yang cukup sempurna di hari bahagia.
3. Jika baju anda sarat dengan manik adalah lebih elok anda memilih hijab yang kosong atau sekadar tampalan manik yang ringkas.
4. Penggayaan hijab sebaiknya disesuaikan mengikut bentuk muka dan warna kulit pengantin.
5. Hijab yang sarat dengan manik lebih sesuai digayakan bersama tiara ringkas rona perak dengan hiasan mutiara kecil.
6. Layah daripada kain net boleh diolah pada bahagian hadapan dan dikemaskan dengan kerongsang emas atau perak sebagai aksesori ringkas.
7. Cipta gaya berbeza dengan penggayaan aksesori headband atau flower crown daripada bunga kering.
8. Hijab sifon kosong lebih sesuai dipadankan bersama layah net atau lace penuh bersama aksesori ringkas tiara kecil atau sanggul.
9. Teknik tampalan renda pada gaya hijab menampilkan kelainan gaya hijab di hari pernikahan anda.
10. Gabungan layah dan hijab yang mempunyai hiasan lace sudah memadai untuk anda kelihatan anggun dan menawan.
11. Sentiasa kekalkan elemen minimalis dalam pengayaan hijab supaya aura anggun anda lebih menyerlah.
12. Gabungan hijab dan layah haruslah senada untuk mencipta gaya anggun dan serba sempurna.
13. Hijab rona pastel sesuai digayakan dengan wajah yang dirias rona lembut dan ringkas.
14. Pastikan aksesori yang anda gunakan untuk menghiasi hijab selesa untuk digayakan.
15. Pastikan anda menggunakan inner hijab yang selesa daripada material kapas dan jangan pakai terlalu ketat.
16. Pilih busana yang sepadan dengan tatahan manik pada hijab kerana penggayaannya boleh menyerlahkan lagi keanggunan anda.
17. Elak memilih hijab satin kerana ia kelihatan berkilat dan panas serta membuatkan anda rasa kurang selesa untuk memakainya dalam tempoh yang panjang.
18. Pakai hijab menutupi dada, tidak jarang, longgar dan tidak menampakkan bentuk telinga, tersembunyi dan menyelaputi bahu.
19. Paling praktikal, padankan baju dan hijab sedondon kerana ia memperlihatkan keanggunan dan kelembutan. Walau bagaimanapun anda boleh menggunakan warna sebaliknya asalkan tidak keterlaluan.
19. Untuk majlis akad nikah, warna lembut seperti krim atau putih adalah pilihan terbaik. Tampak suci dan menawan.
20. Jangan menggunakan layah jika anda memilih untuk menggayakan hijab yang dijahit dengan manik dan rekaan bunga di bahagian kepala.