Wahai Bakal Pengantin, Pilihlah Pasangan Yang Tepat Barulah Kekal Ke Akhir Hayat

Share

Pilih Karakter, Lebih Dari Keserasian

Lumrah manusia untuk mencari pasangan yang mempunyai daya tarikan dan keserasian dengan mereka. Namun, karakter adalah komponen paling penting dalam mencari bakal suami/isteri kita.
Jadi, apa karakter tersebut?
Merendah diri: Orang yang merendah diri tidak akan sesekali demand atau terlalu meminta, sebaliknya meletakkan prinsip dan nilai mereka melebihi keselesaan diri sendiri. Mereka lebih pandai mengawal marah, sentiasa bersederhana dan tidak materialistik.
Gembira: Orang yang sentiasa gembira adalah orang yang sentiasa bersyukur dengan apa jua yang dia perolehi. Mereka lebih positif dan fokus hanya pada apa yang dia ada, bukan meratapi apa yang dia tiada. Mereka juga jarang merungut.
Tanggungjawab: Orang yang bertanggungjawab mempunyai kewangan, perhubungan, karakter dan kerjaya yang lebih stabil. Anda pasti boleh bergantung padanya dan mempercayai kata-katanya.
Baik hati: Orang yang baik hati lebih mementingkan untuk menggembirakan orang lain, dan meringankan beban orang lain. Untuk mengetahui adakah seseorang itu baik hati atau tidak, perhatikan bagaimana dia melayan ahli keluarganya, adik-beradik dan ibu bapanya.
Adakah dia menghargai segala pengorbanan mereka. Sekiranya tidak, dia selamanya tidak akan menghargai apa jua yang anda lakukan untuknya. Perhatikan juga, bagaimana dia melayan orang lain?
Makcik penjual nasi lemak di pasar malam, tukang sapu sampah di jalanan, pekerja pam stesen minyak dan lain-lain? Bagaimana dia menguruskan perbelanjaan? Bagaimana dia menghadapi perasaan marah dan bagaimanakah respon beliau terhadap kemarahan seseorang?

Tidak Abaikan Perasaan Pasangan

Lelaki dan wanita masing-masing mempunyai keperluan emosi yang tersendiri. Demi mengekalkan perhubungan, keperluan emosi tersebut haruslah dipenuhi. Keperluan emosi hakiki wanita adalah untuk disayangi, sementara keperluan emosi lelaki adalah untuk dihormati dan dihargai.
Berhenti dan berfikir sejenak. Sekiranya anda seorang lelaki, adakah anda mampu untuk menyayangi calon isteri anda sepanjang hayat anda? Adakah dia akan sentiasa menghormati dan menghargai anda?
Cinta semata-mata tidak cukup hanya dengan sekadar menyimpan perasaan sayang padanya. Anda perlu sentiasa meluahkan rasa sayang anda padanya, dengan kata-kata dan perbuatan. Biarkan dirinya rasa disayangi dan dihargai setiap hari.
Memeluk dan menciumnya setiap kali sebelum bertolak ketempat kerja, membantu menguruskan rumah dan anak-anak, sekali sekala belikannya bunga tanda anda berterima kasih atas segala pengorbanannya, puji kecantikannya dan macam-macam lagi.
Dengan cara ini, pasangan anda pasti akan berusaha memberikan yang terbaik untuk anda. Ingatlah, penghormatan dan penghargaan akan datang dengan sendirinya sekiranya anda mampu menunjukkan contoh dan sifat yang terbaik diri anda.
Sekiranya anda seorang wanita, berfikirlah sejenak. Adakah anda mampu menghormati dan menghargai si dia sepanjang hayat anda? Adakah calon suami anda akan sentiasa menyayangi anda?
Sebaik berkahwin, suami seharusnya berada di tempat yang teratas keutamaan anda, melebihi ibu bapa anda, melebihi anak-anak dan melebihi sanak saudara anda. Sekalipun anda berpendapatan dan berpendidikan lebih tinggi darinya, anda seharusnya menghormati dan menghargainya. Sama seperti kasih sayang, penghormatan dan penghargaan tidak seharusnya sekadar dalam hati.
Anda harus meluahkannya dengan kata-kata dan perbuatan. Memasak makanan kegemaran suami, menjaga kata-kata agar tidak melukakan hatinya, meminta izin sebelum keluar kemana-mana, membelanjakan duitnya dengan berhemah, berusaha memberikan yang terbaik buat dirinya, tidak merendah-rendahkan usahanya, sentiasa memberitahunya betapa anda bersyukur mempunyai dia dalam hidup anda, dan macam-macam lagi.
Dengan cara ini, suami akan lebih menyayangi dan melayan anda sebaik mungkin.

Elakkan Mempunyai Perancangan Hidup Yang Berbeza

Dalam perkahwinan, mempunyai perancangan hidup yang sama adalah sangat penting. Pasangan yang mempunyai perancangan hidup yang berbeza mempunyai kebarangkalian untuk berpisah akibat kehendak dan misi hidup yang berbeza.
Ketahui dahulu apakah perancangan hidup calon pasangan hidup anda. Dalam erti kata lain, apakah yang beliau betul-betul mahu dalam hidup.
Kemudian, tanya pula diri anda. Adakah anda menghormati perancangan hidup beliau? Adakah anda bersedia untuk mengharunginya bersama-sama anda? Adakah perancangan hidup beliau bertentangan dengan cita-cita anda?
Duduk dan berbincang dahulu akan perancangan hidup masing-masing. Pasangan yang tidak mempunyai perancangan hidup juga merbahaya. Ini melambangkan beliau tidak berminat untuk memperbaiki taraf hidup diri sendiri dan keluarga kearah yang lebih baik.

Percaya Pada Gerak Hati

Memilih orang yang anda tidak berasa selamat setiap kali bersamanya bukanlah alamat yang baik untuk rumahtangga yang bahagia dan berkekalan hingga akhir hayat. Apabila anda tidak berasa selamat, anda berasa tidak bebas untuk meluahkan perasaan sebenar dan pendapat anda. Perhatikan perkara-perkara ini:
Mengongkong: Anda terpaksa mengawal perlakuan anda, cara anda berfikir, cara anda berpakaian, dengan siapa anda keluar, apa yang anda suka makan, bagaimana anda menghabiskan masa. Semuanya termasuk dalam perlakuan yang dikawal oleh bakal pasangan.
Dalam erti kata lain, pasangan anda gemar mengongkong! Kenali perbezaan antara cadangan atau arahan beliau. Sekalipun dia mahu mengubah anda menjadi orang yang lebih baik, beliau sepatutnya mengajak anda berubah perlahan-lahan, bukannya dengan cara memaksa.
Masalah mengawal amarah: Terdapat sesetengah orang yang gemar meninggikan suara pada pasangannya sekalipun perkara yang berlaku hanyalah kecil. Ada juga orang yang tidak mampu mengawal stress akibat perkara lain, dan melepaskan kemarahannya pada orang lain.
Tambah memburukkan, orang tersebut gemar mencarut, memaki, menghina dan mencederakan pasangannya. Sekiranya bakal pasangan anda mempunyai ciri-ciri seperti ini, jangan hanya bersabar dan mengharapkan dia berubah menjadi lebih baik selepas berkahwin.
Pasangan yang suka berahsia: Banyak pasangan sering melakukan kesilapan dengan tidak berbincang. Tanya diri anda “Apa yang sepatutnya saya tahu untuk meyakinkan diri saya mengahwini si dia ini?”
Adalah sangat penting anda mengenalpasti apa yang membuatkan anda ragu-ragu untuk menjadikan dia pasangan hidup.
Published by
Kim