Dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak. yakni suami dan isteri, adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing.
Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumahtangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan. Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya.
Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.
Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Jumhur ulama’ berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk dia menguruskan dirinya sendiri.
Ads
Ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.
Walaupun begitu, dalam mazhab Maliki wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu. Lihat al-Syarh al-Kabir dan Hasyiah al-Dusuki (2/510).
Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana beliau tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap.
Sebaliknya jika mampu, maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah. Lihat Fath al-Bari (9/507).
Ads
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah (terj.) 3/144 menyebut, “Perkhidmatan khadam merupakan salah satu bentuk pergaulan yang baik (kepada isteri). Tidak wajib mendapatkan khadam lebih daripada satu kerana haknya adalah khidmat dirinya sendiri.”
Berdasarkan kepada banyak nas dan juga nasihat salafussoleh, jelas menunjukkan para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup kerumahan sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam.
Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.
Ads
Dalam Raudhah al-Nadiyyah oleh Sayyid Siddiq Hasan Khan menyebut: “Ia berbeza mengikut tempat dan masa, keadaan seseorang individu. Nafkah di masa mewah dengan cara baik dan di waktu ekonomi meleset dengan cara yang sepatutnya.”
Walaupun begitu, suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah barang tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.
Justeru, kami katakan bahawa dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati.
Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing. Akhir kalam kami berdoa kepada Allah sebagaimana dinyatakan
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
SUMBER : Kunci Rumah Tangga
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Restu daripada ibu bapa adalah sesuatu yang harus diperolehi terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam sesebuah perhubungan. Namun begitu, kadang-kala untuk menuju ke fasa yang seterusnya ia mungkin sukar bagi sesetengah pihak. Ini kerana ianya dihalang oleh keluarga terutamanya daripada ibu dan bapa bakal pasangan.
Jika anda berhadapan dengan situasi di atas, anda mungkin menjadi bingung dan runsing. Manakan tidak, insan yang anda cintai dan ingin dijadikan pasangan hidup tetapi keluarganya tidak suka kepada anda.
1. Cari Punca
Perkara pertama yang anda dan bakal pasangan anda perlu lakukan adalah mencari punca kenapa ibu bapa bakal pasangan tidak suka kepada anda. Adakah kerana anda pernah menyinggung perasaan bakal mertua atau ada hal lain yang membuatkan mereka tidak suka kepada anda? Ini adalah sesuatu yang perlu disemak bagi mengetahui perkara akar umbi yang membuatkan masalah ini berlaku.
Sebagai contoh, ada sesetengah ibu bapa yang sebenarnya bukan tidak suka kepada peribadi atau fizikal anda. Cuma mereka mungkin risau dari segi kemampuan anda terutama bagi lelaki untuk menyara anak perempuan mereka. Jadi jika ini adalah puncanya, maka si lelaki mesti memainkan peranan bagi meyakinkan bakal mertuanya dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan sebagainya.
2. Perbaiki Tingkah Laku
Tip kedua yang boleh anda lakukan adalah dengan memperbaiki tingkah laku terutama ketika berhadapan dengan bakal mertua. Benar akhlak adalah sesuatu yang spontan dan tidak boleh dilakonkan. Namun begitu, akhlak sebenarnya boleh dibaiki. Sebab itulah kita selalu dengar orang yang tidak baik dan nakal boleh menjadi baik. Ia adalah perubahan ke arah kebaikan yang sangat dituntut dalam agama Islam.
Orang tua biasanya akan tertarik kepada perlakuan sopan-santun dan sikap ramah-mesra. Apabila akhlak dan tingkah laku anda menjadi baik, maka ia mungkin dapat menarik minat dan perhatian bakal mertua anda untuk menjadikan anda sebagai salah seorang menantu pilihannya. Tidak salah mencuba kan?
3. Sering Bertemu Dan Bersua Muka
Berani bertemu dengan ibu bapa si dia akan memberikan gambaran bahawa anda serius untuk menjalinkan hubungan dengan keluarganya. Jika anda tidak pernah bersua muka dengan ibu bapa bakal pasangan, mereka akan lebih mudah menolak hubungan anda dengan anak mereka. Ini kerana mereka tidak kenal siapa anda.
Namun apabila kerap berjumpa, walau pada awalnya mungkin terdapat halangan atau perasaan tidak suka, semuanya boleh berubah. Jika anda bersabar dan memberi masa, mungkin akan timbul pula keserasian dan kemesraan antara keluarga si dia dengan anda.
4. Beli Hadiah Atau Buah Tangan
Sifat manusia secara kebiasaannya sukakan hadiah ataupun buah tangan. Oleh sebab itu, anda harus mengambil tahu apa kesukaan ibu bapa si dia. Sebagai contoh jika si ibu suka memasak, maka hadiah yang boleh anda beli mungkin berupa peralatan memasak.
Saya berpendapat membeli hadiah atau buah tangan merupakan pendekatan yang paling senang yang boleh anda lakukan bagi mengambil hati mereka. Jangan kedekut.
5. Berbincang Dengan Baik
Perbincangan atau dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘syura’ adalah perkara yang sangat digalakkan dalam Islam ketika berhadapan dengan sesuatu krisis atau masalah.
Ketika dalam fasa perbincangan ini, ambil kesempatan untuk menanyakan dengan baik-baik berkenaan perkara yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan restu mereka. Pada masa ini juga teknik komunikasi yang baik sangat diperlukan untuk berhadapan dengan bakal mertua supaya mereka tidak terasa hati dan beremosi.
Pada masa yang sama, si anak juga harus bijak memberikan pendapat dan menyokong bakal pasangan mereka. Perbincangan yang baik dan berkesan, insya-Allah akan memberikan keputusan yang baik untuk semua pihak. Semoga bermanfaat.
Sumber : Baitulmuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas kahwin, tolonglah apa yang patut kalau tak nak isteri ‘menggila’ di rumah. Bukan niatnya nak jadi begitu tetapi biasanya bila sudah terlebih uruskan buat kerja, tekanan emosi tak dapat dikawal.
Itu yang para suami wajib tolong apa yang patut. Nampak tak siap, bantu. Jangan hanya tahu mengarah bila tengok benda tak siap. Buat para suami, jemput baca perkongsian ini, betulkan apa yang perlu.
Kalau Tak Nak Isteri ‘Menggila’
Bersyukurlah isteri kita tu tak gila.
Dia pergi kerja, dia berniaga, dia buat part-time, dia jual online, dia jadi ejen, dia cari rezeki, dia bantu ringankan beban, dia bayar hutang-hutang kita, dia tanggung bil utiliti, dia beli keperluan rumah dan belanja dapur.
Dia jaga anak-anak, uruskan anak, dia jaga suami, uruskan suami, dia mengemas, dia menyapu, dia mop lantai, dia kutip mainan, dia lap air tumpah, dia kutip baju, dia basuh baju, dia sidai baju, dia lipat baju, dia memasak, dia buang sampah, dia basuh pinggan, dia kemas dapur, dia ajar anak kerja sekolah.
Dia tidur pun kadang 3,4 jam sehari sahaja. Kemudian kembali bangun untuk buat kerja dan perkara yang sama berulang-ulang setiap hari selagi masih memegang title ibu dan juga isteri.
Itu belum kira dengan dia terasa hati disebabkan perbuatan kita. Tidak kira dia menangis sebab perangai kita. Itu belum kira dengan apa yang dia pendam, apa yang dia simpan, apa yang dia tak luahkan kepada kita.
Kena pula berhadapan dengan mertua yang selalu membanding-bandingkan dia, yang selalu mencari salah dan silap dia. Kena pula berhadapan dgn ipar duai biras yang suka perli-memerli, sindir-menyindir dan mengata belakang.
Syukur Dia Mampu Buat Semua Tugas
Bersyukurlah sebab DIA TAK GILA lagi. Dia masih lagi waras, dia masih lagi sihat. Cumanya, sampai bila dia mampu mengekalkan kewarasan dia? Sampai bila dia akan sihat untuk buat semua perkara tu?
Akan tiba hari di mana dia akan “meletup” disebabkan dia dah buat sesuatu yang diluar kemampuan dia dan dia dah tanggung sesuatu yang melebihi apa yang sepatutnya ditanggungnya.
Kalau tak nak isteri “MENGGILA”, maka tolonglah dia. Kerja dia banyak. Kalau kita kata kita dah keluar mencari rezeki, maka dia pun sama. Kalau kita nak rehat, maka dia juga nak rehat, tapi siapa yang nak buat kerja rumah tangga.
Jika dia rehat dan tak buat, sama-sama lah ambil seorang sedikit, pikul dan bahagikan beban dan urusan rumah tangga kita itu.
Lepas itu tak perlu lah buat masalah atau cari masalah dengan dia. Banyak lagi benda dia nak kena fikir. Jangan tambahkan benda yang dia perlu fikir dalam otaknya.
Jaga perbuatan, jaga pergaulan, jaga percakapan, jaga tingkah laku dan jadi baik.
Sekali pun jarang tolong buat kerja rumah pun tak pa asalkan bukan jenis yang buat masalah.
Wahai wanita andai rasa diri lemah, rendah diri , tidak berkeyakinan bacalah perkongsian oleh Ustazah Siti Khadijah. Moga dirimu wanita rasa bangga sentiasa dan tidak pernah rasa lelah dengan dugaan yang mendatang.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau terlambat menikah, maka ingatlah kisah Saidatina Khadijah radiallahuanha, yang sentiasa bersabar hingga mendapat suami terbaik di muka bumi pada ketika usianya 40.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau tidak menikah, maka ingatlah kisah Saidatina Maryam, yang sentiasa gigih berjuang, hingga Allah mengangkat darjatnya di dunia dan akhirat.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau memiliki suami yang buruk perangainya, maka ingatlah kisah Saidatina Asiah isteri Firaun, yang tetap tabah memegang iman, hingga Allah janjikan kepadanya istana di syurga.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau dimadu, tidak memiliki keturunan atau menjadi janda, maka ingatlah bahawa Saidatina Aisyah radiallahuanha telah mengalami itu semua, namun Allah tetap menguatkannya, menolongnya dan memuliakannya.
Wahai wanita,
Sekiranya engkau telah diceraikan suamimu, maka ingatlah firman Allah, “Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masing dari limpahan kurniaanNya, dan adalah Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Bijaksana.”
Wahai wanita,
Sekiranya engkau adalah seorang ibu, maka syurga anak-anakmu berada di telapak kakimu dan seiranya engkau adalah seorang anak, maka engkau dapat menjadi pelindung kedua orang tuamu dari api neraka dan sekiranya engkau adalah seorang isteri, maka engkau adalah anugerah terindah yang pernah dimiliki oleh suamimu.
Wahai wanita,
Dengarlah agamamu, yang telah bercerita kepadamu dengan sebaik-baik cerita untuk bekalan hidupmu.
Wahai wanita,
Dengarlah agamamu, yang telah memuliakanmu, menghargaimu dan mengangkatmu maka ikutilah segala jalan, yang telah ditunjukkan oleh agamamu.
Hanya Allah Maha Mengetahui
Perkara Yang Benar.