Dalam hubungan rumah tangga, kita sering mendengar wanita atau isteri yang selalu merajuk. Menjadi tugas seorang suami untuk mengambil hati dan memujuk hati isteri yang terasa hati atau dalam kesedihan. Namun, Siapa pula yang akan memujuk apabila suami merajuk?
Lelaki juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Mungkin mereka jarang menunjukkan perasaan kecil hati pada si isteri dan sentiasa menerima kerenah anda seadanya. Tetapi bila kerenah anda melampaui batas, mereka mula berjauh hati. Jangan abaikan perasaan mereka. Ambil tahu apa yang anda perlu lakukan untuk memujuk hati si dia yang sedang merajuk.
Buat wanita dan isteri di luar sana, apakah perkara yang anda harus lakukan bila pasangan anda merajuk? Jom kami kongsikan 6 perkara yang boleh anda buat saat suami anda sedang merajuk!
Elak bertanya apa yang dia rasa kerana anda tahu dia sedang marah dan merajuk. Jangan buat si dia rasa jengkel dengan sikap sambil lewa anda. Jika anda berterusan mendesak untuk si dia melayan pertanyaan anda, barangkali boleh membuatkan dia semakin marah dan muak dengan perangai anda. Jangan biarkan si dia hingga keluar dari rumah untuk mencari ketenangan. Khuatir bertemu wanita yang lebih memahami hatinya saat dia berduka lara!
Apabila lelaki kesayangan anda merajuk, mereka memerlukan masa untuk menenangkan fikiran. Jangan sangka perselisihan faham antara kalian hanya memberi kesan kepada anda sahaja. Kebiasaannya, mereka lebih banyak mendiamkan diri. Jangan diganggu dan beri mereka peluang untuk berehat daripada bebelan anda.
Jika wanita merajuk, lelaki sering menghadiahkan jambangan bunga bagi merawat hati nan lara. Apa kata anda lakukan perkara yang sama. Hadiahkannya coklat atau sediakan makan malam romantis dengan hidangan yang dimasak khas untuk si dia.
Bila lelaki melayan rajuk, mereka tidak mengendahkan anda sebagai tanda protes. Jika dia sedang menonton rancangan televisyen kegemarannya, duduk dan temannya tanpa berbicara sepatah pun. Walau tiada komunikasi antara anda, dia tahu anda tetap kekal di sisi walau apa juga berlaku.
Bukan lelaki sahaja mempunyai ego, wanita juga punya rasa angkuh yang sama. Namun, tidak salah sekali sekala anda buang rasa itu demi si dia tersayang. Jika terlalu lama rajuknya, ucapkan maaf dan kucup mesra tangannya. Bertolak ansur itu kunci kejayaan sesebuah hubungan.
Sebaik sahaja berjaya mendapatkan senyumaanya kembali, duduk berbincang dalam keadaan yang tenang mengenai perselisihan faham tersebut. Jangan biarkan persoalan dibiarkan tergantung begitu sahaja. Berbincang dengan baik dan cuba selesaikan masalah bersama-sama.