Wahai Isteri! Kalau Nak Rezeki Terus ‘Mengejar’ Suamimu, Pastikan Buat 10 Perkara Ini

Share

Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah. Selain menyempurnakan agama dan memburu keredaan serta pahala Allah SWT, perkahwinan juga merupakan antara pembuka jalan untuk meraih rezeki. Bukan sahaja rezeki diperoleh melalui kerja keras suami dalam mencari nafkah, perilaku seorang isteri juga terkesan agar rezeki terus mengejar suamimu selain mengalir dengan lebih mudah.

Bagi membolehkan rezeki suami dan rumah tangga anda berdua terus mengalir, pastikan isteri lakukan 10 perkara ini.

1. Bertawakal kepada Allah

Jika seseorang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan rezekinya. Walaupun isteri tidak bekerja namun jika dia sentiasa bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupkan rezekinya daripada sumber yang lain. Boleh jadi Allah mengurniakan rezeki yang banyak melalui suaminya lalu rezeki suami itu diberikan kepada isteri sebagai nafkah yang secukup buatnya.

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (QS. Ath Thalaq: 3)

2. Mempunyai agama yang baik

Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu akan bahagia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, aspek ketinggian agama merupakan unsur terpenting dalam menjadikan sesebuah rumah tangga lebih bahagia menuju ke syurga sekali gus menjadi sumber rezeki berharga buat suami.

3. Sentiasa taat kepada suami

Seorang isteri wajib mentaati suaminya selagi perintah suaminya tidak bertentangan dengan agama Islam. Ketaatan seorang isteri terhadap suami akan membuatkan suami lebih tenang sekali gus memberi semangat dalam melancarkan pekerjaan suami mencari nafkah halal untuk isteri dan keluarga.

“Jika aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan menyuruh seorang isteri untuk sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

4. Melayani suami dengan baik

Menjadi kewajipan isteri menjalankan tugas dengan melayani dan mempersiapkan keperluan suami sebaik-baiknya. Ini termasuklah menjaga perasaan suami agar suami tidak terluka dengan sikap isteri. Wanita yang memiliki ciri ini tentu sahaja disayangi suami, malah mampu menjadi peneman terbaik untuk mewujudkan rumah tangga yang sakinah. Ciri positif ini akan menarik sumber yang banyak kepada suami dan rumah tangga.

5. Berhias hanya untuk suami

Wanita yang solehah akan berhias dan menampakkan perhiasannya hanya untuk suami tercinta.

“Sesungguhnya dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Sentiasa meminta reda suami ke atasnya

Berusahalah untuk menjaga sikap dan perilaku anda agar tidak melukakan hati serta perasaan suami. Isteri seperti ini merupakan isteri yang dipermudahkan rezekinya melalui tangan suami kerana amalan dan kesetiaannya terhadap suami.

7. Sering mendoakan suami

Sentiasalah mendoakan suami agar diberi limpahan rezeki yang baik dan halal. Pastinya doa yang baik itu akan dimakbulkan Allah.

Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku kabulkan.” (QS. Ghafir: 60)

8. Suka bersedekah

Apabila seorang isteri banyak bersedekah, ini bermakna isteri telah melipatgandakan rezeki suami. Dan jika nafkah isteri yang diberikan suami itu digunakan untuk bersedekah, kebaikan itu akan dibalas dengan kelancaran pekerjaan suami yang membawa kepada rezeki yang melimpah ruah.

“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah serupa dengan sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan (pahala) bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al-Baqarah: 261)

9. Jalin silaturahim yang baik

Seorang isteri yang menyatukan hubungan silaturahim yang baik dengan kedua orang tua, mertua, keluarga dan saudara mara, pada hakikatnya sedang membantu suaminya melancarkan rezeki. Ini kerana keutamaan silaturahim ialah dilapangkan rezeki dan dipanjangkan usia.

“Siapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

10. Sentiasa bersyukur

Sentiasalah bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kerana ia mampu mengundang nikmat tambahan untuk suami termasuklah sumber rezeki.

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan: jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim: 7)

Published by
Roselinda Mohd Yusof