Walaupun dah bertahun kahwin, tak dinafikan masih ada segelintir isteri yang jarang nak berkongsi isi hatinya dengan suami. Mungkin rasa malu, emosi isteri yang mudah berubah-ubah juga membuatkan ada suami yang kurang mengerti perkara yang terbuku di hati isteri. Orang kata, nak memahami hati wanita bukannya mudah.

Jadi sebagai seorang suami, penting untuk anda fahami hati dan fikiran isteri. Bila suami sudah mengerti, makin bertambah sayang dan bahagialah seorang isteri, malah membuatkan rumah tangga anda berdua semakin harmoni.

1. Dambakan kata-kata cinta dan romantis

Cinta seorang suami dan isteri sememangnya berbeza. Rata-rata isteri lebih suka jika suami melafazkan kata-kata cinta dan romantis sehingga mampu mencairkan hatinya. Nampak remeh untuk suami, tetapi kata-kata cinta daripada suami adalah sesuatu yang sangat bermakna buat seorang isteri. Oleh itu tidak salah jika suami mengungkapkan kata-kata romantis sambil mengimbau kembali saat anda berdua bercinta dahulu. Pasti kata-kata anda itu akan membuatkan isteri rasa terharu dan gembira.

2. Inginkan kejutan istimewa yang menggembirakan

Setiap wanita suka pada kejutan istimewa apatah lagi jika kejutan itu menggembirakan hatinya dan diterima daripada insan tersayang. Oleh itu suami haruslah peka dengan apa jua yang isteri anda inginkan. Sesekali tidak salah jika anda memberi kejutan yang mungkin bagi anda nampak mudah tapi menyenangkan hati isteri sepanjang hari.

Misalnya anda boleh menyiapkan sarapan pagi untuk isteri tersayang dengan masak makanan kegemarannya ataupun mengemas rumah ketika isteri tiada di rumah. Pasti setibanya isteri di rumah dan melihat keadaan rumah yang kemas serta bersih akan memberi satu ketenangan serta kelegaan dalam dirinya. Kejutan-kejutan sebeginilah akan menyentuh jiwa seorang isteri.

Ads

3. Ingin seorang suami yang rajin tanpa disuruh

Melakukan urusan rumah seorang diri setiap hari tanpa bantuan suami tentu sahaja membuatkan isteri penat dan bosan mengatur kehidupan suami dan anak-anak bermula dari pagi hingga ke petang. Itu belum lagi bagi wanita berkerjaya dan dalam masa yang sama perlu menguruskan rumah tangga. Alangkah gembiranya hati isteri apabila mendapat seorang suami yang rajin membantunya di rumah tanpa disuruh.

Setidak-tidaknya bantuan suami itu akan meringankan bebanan isteri. Tidak salah sesekali suami pula merasai kepenatan yang isteri alami selama ini dengan sama-sama menyelenggarakan urusan di rumah. Kerjasama ini akan mempercepatkan urusan di rumah selesai, malah anda berdua akan rasa lebih intim melakukan kerja bersama sambil bergurau senda. Ternyata sikap suami yang ringan tulang akan membuatkan isteri gembira lantas rasa dirinya lebih dihargai apabila suami membantunya.

4. Dambakan ayat puji-pujian

Sebenarnya seorang isteri tidak kisah jika sesuatu penghargaan daripada suami bukan dalam bentuk barangan atau hadiah mahal. Hati seorang isteri akan berbunga gembira jika suami memberikan kata-kata pujian seperti terima kasih atas kerja-kerja yang isteri lakukan di rumah.

Ads

Pujian ini menunjukkan bahawa suami sangat menghargai segala titik peluhnya. Ataupun suami boleh memuji kecantikan isterinya saat isteri sedang bersiap untuk ke pejabat atau memuji tentang kerajinan isteri menguruskan rumah tangga. Selain menitipkan rasa gembira dalam diri seorang isteri, kata-kata pujian ini akan memberi semangat untuk isteri menjadi insan sempurna di mata suaminya.

5. Tidak suka dibandingkan dengan orang lain

Pantang dalam diri seorang isteri apabila dirinya dibandingkan dengan orang lain. Oleh itu, suami jangan sesekali berani menyimbah bara api apabila membandingkan isteri dengan orang lain terutamanya bekas teman wanita, ibu atau mana-mana wanita lain. Sebaiknya suami haruslah menjadikan isteri sebagai seorang insan yang istimewa dalam diri anda tanpa perlu memandang kelebihan wanita lain. Ingatlah bahawa isteri anda merupakan seorang sahabat, teman, isteri dan ibu kepada anda dan anak-anak.

Ads

6. Rasa lelah jika suami tidak mahu berubah

Rata-rata semua suami tidak suka jika isterinya membebel. Hakikatnya suami perlu tahu bahawa bebelan atau kata-kata yang diucapkan isteri itu sebenarnya merupakan perasaan atau kata-kata yang ingin diluahkannya jika dia tidak berpuas hati dengan sikap suami. Ini kerana suami jarang melihat apa yang diucapkan isteri itu dengan pandangan yang serius, malah segelintir daripada suami masih lagi tidak mahu berubah walaupun sering kali ditegur isteri.

Bagi mengelakkan isteri rasa lelah, ambilah pendekatan untuk berubah dan membaiki diri demi menjadi seorang suami yang baik. Misalnya tidak mencampakkan pakaian kotor di merata tempat atau melonggokkan pinggan kotor di singki. Isteri pastinya membebel melihat keadaan tersebut kerana anda bukannya membantu sebaliknya menambahkan lagi bebanan kerjanya.

7. Mengimpikan kebahagiaan yang berpanjangan

Semua isteri pasti mengimpikan kebahagiaan serta mengharapkan perkahwinan yang bersulamkan kasih dan sayang akan bahagia hingga ke penghujung nyawa. Bukan itu sahaja, seorang isteri akan rasa gembira jika memiliki suami yang setia dan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranannya sebagai suami dan ketua keluarga, selain dapat membimbingnya menjadi isteri untuk mencapai impian bersama-sama.

Jadilah seorang suami yang boleh berbincang dalam menyelesaikan masalah, sentiasa sabar dengan sikap isteri dan sering memanjakan isteri dengan belaian mesra. Saat seorang wanita menerima anda sebagai suaminya, dia memang sudah bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai seorang isteri dan bakal ibu. Suami haruslah memainkan peranan sebagai suami yang dapat bersama dengannya membina mahligai cinta yang bahagia.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI