Salam, adakah jahitan pada stokin wanita yang menampakkan sedikit warna kulit dikira tidak sah untuk dibawa solat dan tawaf? Saya cuba menggunakan dua lapis stokin tapi masih kelihatan sedikit samar-samar warna kulit. Mohon penjelasan.
.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.
Antara syarat-syarat sah solat ialah menutup aurat. Ertinya, jika seseorang, sama ada lelaki atau perempuan, bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie. Mereka berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah R.Anha:
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ
Maksudnya: “Allah tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).“
Hadis riwayat Abu Daud (641), Ibn Majah (655), dan Al-Tirmidzi (377).
Al-Tirmidzi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.” Al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai “ha’id” itu ialah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. Rujuk al-Majmu’ (3/166-167).
Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.”
Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam majlis al-takhotub (sebuah majlis percakapan).”
Rujuk Fath al-Mu’in (1/86)
.
Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai:“Keadaan itu maksudnya jika seseorang memerhatikan orang yang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (solatnya).”
Rujuk I’anah al-Talibin (1/134)
Syeikh al-Syirwani dalam Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj (2/112) juga menyebut: “Dan hendaklah digunakan kaedah demikian dengan tidak memberi mudarat (pada kesahihan solat) apabila dilihat kulit dengan medium (suluhan cahaya) matahari atau api yang apabila tiada maka tidak boleh dilihat.”
Syeikh al-Nawawi al-Bantani dalam Kasyifah al-Saja (hlm. 120) menyebut: “[menutup aurat] dengan suatu jirim yang suci yang boleh menghalang penglihatan kepada warna kulit, dengan tidak dapat diketahui warna putih (kulitnya) daripada hitamnya
dalam majlis al-takhatub.”Istilah majlis al-takhatub ini dihuraikan lagi dabitnya oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf dalam al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 84) dalam bab basuhan janggut yang tebal: “kira-kira satu meter dan separuh.”
Antara ulama muhaqqiq yang berfatwa dengan qiyas kaedah majlis al-takhatub dari bab wudhuk ke dalam bab aurat ialah Imam Ahmad bin Musa bin `Ajil, seperti mana kata pengarang Fath al-Muin (hlm.86); Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj (2/112). Namun mengikut Syeikh Abu Makhramah bahawa pendapat yang muktamad tiada beza antara majlis al-takhatub atau bukan, tetapi jika seseorang itu mendekatkan matanya kepada pakaian maka tidak dikira jika nampak auratnya juga. Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 104). Wallahua’lam.
Setelah meneliti keterangan dan fakta di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon, bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.”
SUMBER : https://muftiwp.gov.my/