Menyentuh berkenaan kebahagiaan hidup sebagai suami isteri, ia adalah sesuatu yang dijadikan, diusahakan oleh masing-masing suami dan isteri.
Jika kedua-dua pihak berdiam diri mengharapkan kebahagiaan, ia bukan sahaja tidak akan terjadi malah apa yang akan berlaku ialah sebaliknya, iaitu kebosanan, kemurungan dan penceraian. Oleh kerana itulah ada sebuah pepatah Inggeris yang berbunyi “Being passive in a relationship is a recipe for divorce”.
Apabila suami bertemu isteri, isteri bertemu suami, maka pandanglah muka pasangan masing-masing dengan wajah yang terbaik. Sebaik saja bangun pagi misalnya, pandanglah muka suami dengan ucapan manis “Selamat pagi abang”.
Apabila pulang dari pejabat misalnya, pandanglah muka isteri dengan wajah ceria “Assalamu’alaikum sayang”. Ringkasnya, apabila sahaja bertemu baik di pagi, siang, petang atau malam, hadiahkanlah pandangan dengan wajah yang terbaik.
Petua ini sebenarnya merupakan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadisnya baginda berpesan:Janganlah kamu menganggap remeh sedikit pun terhadap kebaikan, meski pun kamu hanya berwajah ceria kepada saudaramu (sesama muslim) ketika bertemu.
[Shahih Muslim, no: 4760/2626] Dalam sebuah hadis yang lain baginda berpesan: Setiap kebaikan adalah sedekah.Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang ceria, serta kamu menuangkan air dari bekas air kamu ke dalam gelas milik saudaramu. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1893/1970] Berwajah ceria tentu saja dengan memandang ke arah orang yang kita persembahkan wajah ceria tersebut.
Meski pun hadis-hadis ini berbentuk umum agar dipraktikkan apabila bertemu dengan sesama umat Islam, siapakah yang lebih utama untuk kita mempraktikkannya melainkan terhadap pasangan hidup kita?
Janganlah kita berwajah ceria apabila bertemu dengan jiran dan rakan sepejabat, namun berwajah “sepuluh sen” apabila bertemu dengan pasangan sendiri.