Wajib Bayar Fidyah Kalau Tak Sempat Ganti Puasa. Ini Cara Pengiraan & Bayaran Melalui Online!

Share

Setiap wanita yang meninggalkan puasa wajib menggantikan puasa tersebut sebelum bermulanya Ramadan. Namun, masih terdapat sesetengah wanita yang tidak sempat menggantikan puasa atas alasan tertentu.

Sekiranya perkara ini terjadi, anda perlu membayar fidyah. Fidyah merupakan denda ke atas individu Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti bulan Ramadan.

Hukum membayar fidyah adalah wajib dan ia perlu disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Sekiranya ia tidak dibayar, anda diibaratkan berhutang kepada Allah. Jangan memandang ringan hal ini.

Di Mana Boleh Bayar Fidyah?

Fidyah boleh dibayar secara terus kepada fakir miskin atau menerusi Pejabat Zakat atau Pejabat Agama Islam Negeri masing-masing. Untuk memudahkan anda, bayaran fidyah juga boleh dibayar secara online melalui e-zakat atau mengikut bank tertentu.

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.

Cara Bayar Fidyah

1. Tetapkan Negeri Anda

Kadar bayaran fidyah berbeza mengikut harga yang ditetapkan oleh sesebuah negeri. Rujuk laman web Pejabat Agama Negeri untuk mendapatkan nilai secupak beras. Kebiasaannya, kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan adalah secupak beras dan nilai secupak beras itu akan ditukar dalam bentuk Ringgit Malaysia.

2. Buat Kiraan

Seperti Lembaga Zakat Selangor, satu hari puasa yang ditinggalkan bersamaan dengan RM1.80. Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun. Sekiranya seseorang itu meninggalkan puasa selama 3 hari, maka kadar fidyahnya adalah:

RM1.80 (1 cupak) x 3 hari = RM5.40

3. Buat Bayaran

Bayar fidyah secara tunai – Boleh dilakukan di pejabat agama atau pejabat zakat negeri atau melalui wang pos.

Bayar fidyah secara online – Melalui e-zakat negeri masing-masing seperti e-zakat Selangor, e-zakat Penang, laman web Pejabat Agama dan Majlis Negeri, Maybank2U.

Ini cara jika anda mahu membayar fidyah menggunakan Maybank2U:

1. Klik ‘Bill Payment’ dan klik pada ‘Make A One-Off Payment’

2. Klik ‘Zakat & Charity’

3. Pilih Pusat Pungutan Zakat/Fidyah Negeri masing-masing

4. Pilih ‘Fidyah’

5. Masukkan jumlah bayaran yang perlu dibayar. Selesai!

Tetapi ia bergantung kepada jenis bank atau negeri. Ada sesetengah negeri tidak mengaktifkan akaun mereka untuk membayar fidyah online. Jika tiada pembayaran online, lakukan secara manual.

Jadi, jangan tangguhkan lagi bayaran fidyah. Sila bayar sekarang sebelum anda terlupa.

Sumber: Laman Web Lembaga Zakat Selangor & Sirap Limau

Published by
Naqiyatul Uzma