Suami wajib memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuannya. Dalam erti kata lain, berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang yang di bawah tanggungannya. Kewajipan itu turut ditegaskan sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadith Riwayat Ibn Majah)
Dalam masyarakat hari ini, meskipun didapati suami isteri sama-sama bekerja, tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Bagaimanapun, isteri boleh membantu di mana yang sesuai.
Sumbangan isteri kepada keluarga ini dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Selaku umat Islam, kita hendaklah mencontohi rumah tangga Rasulullah SAW ke arah menjadikan keluarga sebagai syurga dunia. Untuk itu, perjalanan hidup berumah tangga mestilah berpandukan ajaran Islam dan dijadikan tempat merealisasikan ajaran itu secara menyeluruh.
Selain itu, dalam isu pemberian nafkah, suami juga perlu memahami walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik meskipun dalam situasi di mana pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami.
Islam mensyaratkan setiap lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap kaum wanita. Sebagai pemimpin, suami dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka.
Bagaimanapun, kita dapat melihat pada hari ini, sesetengah suami semakin jauh daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar. Mungkin kerana itulah mahligai indah yang dibina selama ini akhirnya runtuh akibat kurangnya kefahaman dan penghayatan suami terhadap nilai murni yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI