Setiap kali menjengah ke laman sosial Instagram milik Datin Rita Sosilawati, penulis kagum melihat bagaimana ibu kepada empat cahayamata ini menyediakan sendiri hidangan makan malam untuk keluarganya. Sementelah melihat kepadatan jadual hariannya menguruskan perniagaan dan ahli lembaga pengarah di HRD Corporation, sudah tentu jadual hariannya padat dan membuatkan dirinya kurang mempunyai masa di dapur. Ternyata tanggapan itu salah apabila Datin Rita yang ditemui di majlis perlantikannya sebagai duta ESH Raya 2022 sempena bulan Ramadan dan Syawal berkongsi beberapa tips untuk para isteri memudahkan tugas memasak di dapur.
Menurut isteri kepada Datuk Khamarulazlan Mohamad Hanafiah ini, walaupun mempunyai pembantu rumah, dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan menyediakan juadah untuk dinikmati oleh keluarganya setiap hari.
"Tak dinafikan saya mempunyai pembantu rumah untuk mempercepatkan proses memasak di rumah. Kebiasaannya, saya akan meminta pembantu rumah untuk menyediakan segala bahan-bahan memasak terlebih dahulu seperti memotong bawang, membersihkan ayam dan sebagainya. Jadi, apabila saya masuk sahaja ke dapur, saya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya 20 minit untuk memasak.
Selalunya waktu memasak tidaklah mengambil masa yang lama, tetapi proses penyediaannya sering mengambil masa yang lama. Kebetulan saya mempunyai pembantu rumah. Jadi mereka membantu saya untuk memudahkan tugas-tugas menyediakan bahan-bahan dan sebagainya," ujar Rita yang sinonim dengan hastag #bilaritamasak di laman Instagram miliknya.
Pesona Pengantin turut mengajukan pertanyaan mengenai tip dan trik beliau ligat di dapur. Sambil tersenyum, Rita berkongsi beberapa tips yang berguna untuk dijadikan panduan,
"Pada pandangan saya, untuk memudahkan tugas isteri di dapur, pastikan bahan-bahan mentah untuk memasak disediakan lebih awal. Sebagai wanita berkerjaya sudah tentu tak ada banyak masa dan ingin memasak juadah yang cepat untuk keluarga. Jadi saya rasa cara paling senang siapkan bahan-bahan tersebut terlebih dahulu. Selain itu, fikirkan menu yang hendak disediakan lebih awal supaya tidak kelam kabut dan dapat memasak dengan lebih tenang dan fokus, " ujar ibu kepada 4 cahayamata ini yang gemar menyediakan juadah keluarga sebagai cara melahirkan rasa kasih sayang dan pengikat rasa suami isteri dan anak-anak.
Menyentuh mengenai perlantikannya sebagai Duta ESH Raya 2022, Datin Rita Sosilawati menjalinkan kerjasama dengan ESH Electrical untuk melancarkan program khidmat masyarakat yang diberi nama :"Bersama Menyemarakkan Keikhlasan di Hari Raya". Program ini diwujudkan selaras dengan semangat Ramadan untuk menyebarkan kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan. Kedua-dua pihak mencapai kata sepakat membantu mangsa-mangsa banjir yang melanca negara baru-baru ini. Kira-kira 200 keluarga yang terjejas bakal mendapat bantuan dari segi barangan elektrik manakala Datin Rita akan melengkapkan pemberian tersebut dengan menyediakan barangan keperluan seperti beras, gula, tepung dan bekalan makanan lain untuk membantu keluarga yang terjejeas.
Sebagai sebahagian daripada Program CSR Bersama Menyemarakkan Keikhlasan di Hari Raya, Datin Rita bakal menyerahkan sumbangan di Kampung Kemat dan Kampung Menjing, Terengganu dalam jangka masa terdekat ini untuk sama-sama meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Selain itu, usahama ini turut mendapat sokongan dari Persatuan Anak Niaga dan Aktiviti Nirmala atau PANDAN.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI